Makanan merupakan topik yang kompleks tidak kiralah bagi bayi, remaja ataupun orang dewasa. Jika dibuka pada mana-mana laman sesawang jualan yang menawarkan buku khidmat nasihat pemakanan, terdapat lebih daripada 50,000 panduan yang dijual. Banyak kan?
Bagaimana pula dengan makanan bagi wanita selepas bersalin? Adakah ia sama seperti pemakanan yang diambil oleh masyarakat setempat setiap hari?
Betul ke ada makanan yang tidak boleh diambil oleh wanita selepas bersalin? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai makanan berpantang.
Kenapa perlu berpantang?
Dalam adat orang Melayu, amalan berpantang seringkali dikatakan menyusahkan dan sebahagian daripadanya melibatkan penggunaan wang yang banyak.
Mana tidaknya, terdapat pelbagai jenis peraturan yang mesti diikuti seperti berurut, bertungku, bengkung, mandian herba dan pilis di dahi. Gaya pemakanan juga tidak terlepas daripada senarai perkara yang perlu dipantangkan.
Perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan amalan berpantang tersebut tidak bercanggah dengan sistem fisiologi badan adalah bertanyakannya kepada golongan profesional. Jika tidak, sukar untuk anda bezakan sama ada perkara tersebut selaras dengan konsep asas fisiologi atau mitos semata-mata. Banyak je maklumat berkenaan dengan makanan berpantang namun tidak diketahui akan kebaikan sebenarnya atau adakah ia boleh memberikan kemudaratan.
Sebagai contoh, dakwaan bahawa kononnya pengambilan air yang banyak boleh menyebabkan urat di kaki bengkak. Itu merupakan tanggapan pihak yang tidak bertanggungjawab berdasarkan logik dan tidak bersandarkan kepada ilmu sains. Selepas bersalin, wanita perlu mengambil minuman sekurang-kurangnya 3 liter air bagi memenuhi kehendak badan dalam menyediakan susu untuk si manja.
Namun, salah ke jika anda ingin berpantang? Tidak sama sekali. Jika perkara tersebut tidak memudaratkan, anda boleh mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan tradisional yang mungkin menjadi pegangan individu dalam keluarga anda. Makanan berpantang juga baik untuk kesihatan secara umum, namun perlu dilihat juga pada makanan tersebut. Jika ragu-ragu, tanyalah kepada doktor, bukan kepada mereka yang hanya beranggapan semata-mata.