Fakta menarik mengenai asam jawa
- Asam jawa adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga fabaceae yang berasal daripada Afrika
- Genusnya adalah monotypic taxon dan hanya mempunyai satu spesies sahaja
- Nama Inggerisnya iaitu tamarind adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu tamar hindi yang bermaksud ‘kurma India’
- Di Jepun, Colombia, Mexico, Peru, Puerto Rico, Venezuela, Itali, Sepanyol dan Republik Dominikan, ia dikenali sebagai tamarindo
- Ia tumbuh dengan liar di negara Afrika seperti Sudan, Cameroon, Nigeria dan Tanzania
- Di Tanah Arab, ia tumbuh dengan liar di Oman terutamanya Dhofar
- India adalah negara pengeluar asam jawa terbesar di dunia
- Asam jawa adalah pokok yang tumbuh sederhana dan boleh hidup lama yang mampu mencapai tinggi sehingga 12 ke 18 meter atau 39 ke 59 kaki
- Daun pokok ini berwarna hijau cerah, berbentuk bujur, berurat daun selari dan kurang daripada 5 cm atau 2 inci
- Bunganya adalah berukuran lebih kurang 2.5 cm atau 1 inci, lebar, lima kelpak dan berwarna seakan kemerahan dan keorenan
- Hampasnya yang telah matang boleh dimakan dan memiliki tekstur yang berair dan berjus
- Di Asia Tenggara, asam jawa digunakan untuk dijadikan sebagai lapik untuk diletakkan di dahi individu yang mengalami demam
- Ia mungkin akan mendatangkan kesan kepada perut kerana ia tinggi kandungan asid malic, tartaric dan potassium bitartrate
- Di rumah atau di kuil, terutamanya bagi penginap agama Buddha, hampasnya digunakan untuk membersihkan patung berhala
- Kayu pada pokoknya boleh dibuat perabot atau pelbagai lagi objek kayu-kayuan
- Di beberapa negara Asia, ia digunakan sebagai spesies bonsai
- Bahagian-bahagian padanya dikenali untuk pelbagai manfaatnya yang unik
Khasiat asam jawa untuk kesihatan
Tumbuhan ini yang kaya dengan vitamin, antioksidan dan mineral adalah sangat bagus untuk kesihatan dan kecantikan individu. Berikut merupakan antara manfaat-manfaat asam jawa untuk kesihatan:
#1. Membantu meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan
Untuk pengetahuan anda, tumbuhan ini mengandungi antioksidan yang dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi kita. Disebabkan itu, pengambilannya sangat membantu untuk melindungi kita dari pelbagai jenis penyakit seperti demam, selesema, batuk dan jangkitan virus yang lain-lain.
#2. Membantu menurunkan berat badan
Tumbuhan ini juga sebenarnya mampu membantu meningkatkan tahap metabolisma tubuh badan kita. Oleh itu, pengambilannya dapat membantu individu yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan. Ia mengandungi asid sitrik yang membantu mengurangkan pembentukan lemak dalam tubuh badan. Dalam pada itu juga, pengambilannya juga dapat membantu merangsang produksi enzim-enzim yang dapat mengurangkan penyimpanan lemak di dalam tubuh badan.
#3. Membantu mengurangkan pembengkakan
Tumbuhan ini sangat bagus untuk membantu mengurangkan pembengkakan pada sendi dan otot serta mampu membantu meningkatkan aliran pada darah. Oleh itu, pengambilannya secara rutin juga dapat membantu mengurangkan masalah refluks asam dalam tubuh badan kita.
#4. Membantu mengatasi masalah pencernaan
Tumbuhan ini mengandungi sifat diuretik ringan yang membantu mengatasi masalah pencernaan. Sekiranya anda kerap mengalami sembelit, kekembungan dan kekejangan perut, maka apa kata anda cuba mengambilnya sebagai makanan atau minuman pada setiap pagi. Ini pasti dapat membantu anda untuk membuatkan usus anda menjadi lebih sihat,
Khasiat asam jawa untuk kecantikan
Selain untuk kesihatan, asam jawa juga adalah sangat baik untuk kecantikan individu terutamanya kecantikan kulit. Berikut merupakan antara manfaat-manfaat asam jawa untuk kesihatan:
#1. Mencerahkan kulit
Caranya adalah mudah sahaja, cuba rendam beberapa asam dalam air panas sehingga ia mula berubah menjadi ekstrak. Kemudian, campurkan serbuk kunyit dan sapukan pada kulit wajah atau mana-mana bahagian kulit anda. Tunggu sehingga 10 minit dan bilas bahagian kulit tersebut sehingga bersih. Ulang cara ini sekurang-kurangnya 2 kali seminggu untuk mendapatkan kesan yang lebih maksimum.
#2. Memutihkan kulit
Ya, putih itu tidak bermaksud cantik manakala hitam pula tidak bermaksud buruk. Pun begitu, jika anda mahu kulit yang lebih putih, tidak salah jika anda mencubanya, bukan? Apa yang anda boleh lakukan adalah campurkan madu dan lemon dalam ekstrak asam dan kemudian jadikannya sebagai jus. Selepas itu, sapukan pada kulit dan bilas selepas 10 minit. Jika anda konsisten melakukannya, kulit anda mungkin akan terlihat lebih putih daripada sebelumnya.
#3. Merawat bahagian kulit yang gelap
Ini adalah masalah yang sering dialami oleh ramai individu terutamanya yang berbadan sedikit gempal. Sekiranya anda memiliki kulit yang gelap di sekitar leher, ketiak, punggung, bawah paha atau mana-mana bahagian kulit sekalipun, cuba gunakan cara ini. Campurkan air mawar dan madu dalam ekstrak asam. Kemudian, sapukan ia pada bahagian kulit yang gelap dan bilas dengan air selepas 15 minit. Anda pasti akan terkejut dengan hasilnya selepas melakukannya beberapa kali.
#4. Menghilangkan selulit
Selulit memang terkenal dengan sifatnya yang degil. Hakikatnya, ia memang sangat sukar untuk dihilangkan. Jadi, apa kata anda cuba cara yang ini pula. Ambil beberapa ekstrak asam, tambahkan sedikit lemon, gula dan serbuk penaik di dalamnya. Kemudian, gosok kulit yang mengalami selulit itu dengan sikat yang telah dicelupkan ke dalam campuran ini. Lakukannya beberapa kali dalam seminggu untuk mendapatkan kesan yang lebih memuaskan.
#5. Mengelupaskan sel-sel kulit mati
Asam mengandungi asid alfa hidroksi yang merupakan bahan yang bagus untuk mengelupaskan sel-sel kulit mati. Ini disebabkan oleh asam memiliki kemampuan semula jadi untuk menghilangkan kotoran yang terjebak di dalam pori-pori kulit. Caranya, ambil beberapa ektrak asam dan satu sudu garam. Kemudian, gaulkannya dengan rata dan sapukan perlahan-lahan pada kulit anda dengan menggunakan jari. Selepas beberapa minit membiarkannya, bilas dengan air bersih. Anda pasti akan berpuas hati apabila semua sel kulit mati akan hilang daripada kulit anda.
#6. Mengelakkan masalah rambut gugur
Bukan sahaja untuk kulit, ia juga sebenarnya adalah sangat bagus untuk rambut anda. Asam dapat membantu anda mengurangkan rambut gugur dan rosak. Caranya, urutkan kulit kepala anda dengan asam yang sudah diekstrak dan balutkan kepala anda dengan kain tuala. Selepas 15 minit, cuci rambut anda dengan syampu dan perapi rambut. Jadikannya ia sebagai rutin mandian anda untuk menguatkan lagi rambut anda.
#7. Mencegah penuaan
Dan sudah pasti, asam dapat membantu mencegah penuaan daripada terlihat dan terkesan kepada anda. Ini kerana ia mengandungi vitamin, serat, asam dan antioksidan yang sangat bagus untuk kulit terutamanya. Caranya, campurkan ekstrak asam dengan madu, adunkan dan sapukan ia pada bahagian tubuh badan yang mula menunjukkan penuaan.
Jadi, terbuktilah bahawa asam jawa sememangnya mempunyai 1001 manfaat buat kesihatan dan kecantikan individu.
Siapa yang sebaiknya tidak mengambil asam jawa?
Walaupun mereka adalah golongan yang rugi, pun begitu lebih baik ia dielakkan untuk mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku. Berikut adalah kondisi yang membuatkan anda tidak seharusnya memakan atau minuman tumbuhan ini:
Wanita hamil dan sedang menyusukan anak
Walaupun masih terdapat banyak kekeliruan mengenai kesan tumbuhan ini kepada wanita hamil dan sedang menyusukan anak, satu hal adalah pasti. Satu cawan ekstrak tamarindus indica mengandungi 3.36 mg zat besi yang merupakan 12 peratus daripada 27 mg zat besi yang diperlukan oleh wanita hamil pada setiap hari.
Seperti yang diketahui umum, zat besi adalah sangat penting untuk membantu meningkatkan isi padu darah. Akan tetapi ia juga akan menyebabkan peningkatan risiko bayi lahir kurang berat atau kelahiran bayi pramatang akibat terlebih pengambilan zat besi.
Penderita diabetes
Tumbuhan ini mampu membantu mengurangkan kadar gula dalam darah. Namun disebabkan itu, ada individu yang khuatir kebolehan ini mampu menganggu kawalan gula dalam darah sehingga ia menjadi terlalu rendah. Sebenarnya, ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaiknya, pantau kadar gula dalam darah anda dengan lebih ketat. Selain itu, perhatikan juga kesesuaian ubat dan dos yang sering anda gunakan. Selepas itu, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum anda menggunakan apa-apa suplemen berkaitan dengan asam jawa.
Individu yang akan melakukan apa-apa pembedahan
Sebelum melakukan apa-apa operasi pembedahan, anda seharusnya tidak mengambil asam jawa. Ini kerana ia mampu mengganggu kawalan gula dalam darah selama dan selepas anda melakukan pembedahan tersebut. Sebaiknya, hentikan apa-apa penggunaannya sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum anda melakukan apa-apa pembedahan.
Konklusi
Konklusinya, asam jawa adalah antara tumbuhan yang sangat bagus untuk kesihatan dan juga kecantikan tubuh badan kita. Di negara kita, ia sudah tidak lagi asing untuk dijadikan salah satu menu dalam makanan kita. Rasanya yang unik menjadikannya sebagai pelengkap sesuatu hidangan yang lain. Bukan itu sahaja, ia juga boleh dijadikan minuman penyegar dahaga yang sangat sedap.
Pun begitu, anda perlu sedikit berhati-hati ketika mengambilnya kerana ada beberapa golongan individu yang disarankan untuk tidak mengambilnya ketika berlaku sesuatu situasi seperti yang telah diperkatakan. Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda mengenali tumbuhan ini dan mengetahui setiap manfaat yang dibawanya sama ada untuk kesihatan atau kecantikan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen