Epal Merah Vs Epal Hijau: Mana Lebih Berkhasiat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Anda semestinya pernah terdengar atau terbaca bahawa makan sebiji epal sehari mampu ‘menjauhkan’ seorang doktor. Adakah ia benar atau sekadar hiperbola semata-mata? Adakah buah epal sememangnya mempunyai nutrisi dan khasiat tersendiri yang mampu mencegah dan melawan penyakit? Ikuti artikel ini untuk mengetahui khasiat buah epal yang mungkin anda tidak tahu.

Sedikit sebanyak mengenai epal

Epal atau nama saintifiknya malus domestica adalah sejenis tanaman berbuah dalam genus malus dan keluarga mawar. Ia berasal daripada Asia Barat dan merupakan tanaman yang paling banyak dicucuk tanam di dunia.

Terdapat lebih daripada 7,500 kultivar atau baka epal di dunia ini dan mempunyai sifat-sifatnya yang tersendiri. Ia berbeza antara satu sama lain dari aspek hasil tanaman dan saiz mutlak pokok itu, walaupun ia bercambah dari penanti yang sama.

Pokoknya adalah kecil sahaja dan mempunyai daun yang luruh. Ia boleh mencapai ketinggian antara 3 hingga 12 meter dengan silara yang lebar dan mempunyai ranting yang banyak. Daun-daunnya berbentuk bujur sepanjang 5 hingga 12 cm dan selebar 3 hingga 6 cm. Hujungnya adalah tajam, tepinya bergerigi dan bawahnya berbulu. 

Bunganya berwarna putih dengan baur merah jambu dan mempunyai 5 kelopak. Ia boleh mencapai diameter 2.5 hingga 3.5 cm dan akan mekar pada musim bunga seiring dengan percambahan daunnya. Buahnya pula akan masak pada musim luruh dan biasanya berdiameter 5 hingga 9 cm. Teras buah epal mengandungi lima karpel yang tersusun seperti bintang lima mata dan setiap satunya mengandungi satu hingga tiga biji benih di dalamnya.

Dalam bidang pertanian, pokok epal merupakan antara tumbuhan terawal yang menjadi tanaman pertanian. Alexander The Great adalah individu yang dikreditkan sebagai pembawa yang memperkenalkan buah ini ke persada dunia. 

Beliau pada awalnya menemui tumbuhan epal kerdil di Asia Minor pada 300 SM dan kemudian membawanya kembali ke Macedonia. Ekoran itu, penanamannya mula meluas dari semasa ke semasa. Ia kemudiannya menjadi makanan penting di Asia dan Eropah selama ribuan tahun lamanya. Di Amerika, epal dibawa masuk bersama kolonis pada abad ke-17 dan dusun yang pertama dibangunkan adalah dipercayai berdekatan dengan Boston pada tahun 1625.

Petani pada ketika itu akan menyimpan epal dalam bilik kalis ibun pada musim sejuk untuk kegunaan diri sendiri atau perniagaan. Kemajuan pengangkutan epal segar dengan kereta api atau jalan raya menidakkan keperluan menyimpan. Pada abad ke-20 pula, projek pengairan di Washington dilancarkan untuk memacu pembangunan industri buah-buahan bernilai jutaan dolar yang diterajui oleh buah epal. 

Sehingga kini, ia tidak dapat disangkal lagi sebagai salah satu daripada buah yang paling digemari di seluruh dunia. Selain itu, ia juga sebenarnya mempunyai 1001 manfaat buat pemakannya dan dapat ‘menjauhkan’ doktor daripada kita. Tidak percaya dengan kenyataan ini? Sila baca artikel ini dengan lebih lanjut.

Meskipun ia bukanlah buah tempatan, ia masih lagi baik dan bagus untuk kesihatan kita. Berikut adalah antara khasiat yang dibawa oleh buah epal:

#1. Bernutrisi tinggi

Sebiji epal secara anggarannya mempunyai kandungan nutrisi seperti berikut:

Kalori: 95

Karbohidrat: 25 gram

Serat: 4 gram

Potasium: 6% daripada Reference Daily Intake (RDI)

Vitamin C: 14% daripada RDI

Vitamin K: 5% daripada RDI

Selain itu, sebiji epal juga mengandungi kandungan polyphenols, vitamin A, E, B1, B2 dan B6 yang mempunyai anggaran sebanyak 2 – 4% RDI.

#2. Baik untuk otak

Menurut kajian yang dibentangkan di Alzheimer’s Association’s International Conference pada 2017, individu yang gemar makan makanan berasaskan tanaman mempunyai kurang risiko demensia. Menurut kajian lagi, individu yang mengamalkan diet Nordic Prudent Dietary Pattern (NPDP) cenderung mempunyai fungsi kognitif yang lebih bagus berbanding mereka yang makan makanan diproses dan berlemak. Dalam diet ini, terdapat banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang terbukti mempunyai nutrisi tinggi, antaranya adalah buah ini.

#3. Baik untuk jantung

Menurut kajian yang dilakukan oleh Florida State University, buah ini yang tinggi kandungan serat dapat membantu mengawal paras kolesterol agar kandungan kolesterol ‘baik’ melebihi kolesterol ‘jahat’. Menurut kajian lagi, individu yang gemar makan keseluruhan buah-buahan termasuklah buah ini agak kurang berisiko menghidapi tekanan darah tinggi. Selain itu, terdapat pelbagai lagi kajian di seantero dunia yang menyimpulkan bahawa epal dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok ekoran kandungannya yang tinggi serat flavonoid dan quercetin.

#4. Mengurangkan berat badan

Menurut sebuah kajian, individu yang gemar makan buah ini sebagai pembuka selera akan membuat mereka berasa kenyang sebelum makan sajian utama. Kajian tersebut menyambung lagi bahawa individu tersebut akan memperoleh kalori yang lebih rendah iaitu sebanyak 200 kurang daripada individu yang tidak melakukannya. Ia merupakan langkah yang baik buat mereka yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

#5. Mengurangkan risiko diabetes

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pengkaji daripada Universiti Harvard, individu yang makan buah ini atau buah-buahan lain seperti anggur dan beri sekurang-kurangnya dua kali seminggu, ia akan menurunkan risiko menghidapi diabetes sebanyak 23 peratus berbanding mereka yang hanya mengambilnya sekali sebulan atau kurang daripada itu. Menurut pakar, ia adalah disebabkan kandungan serat dan flavonoid dalam buah-buahan tersebut yang membantu menstabilkan kandungan gula dalam darah.

#6. Melawan kanser

Kandungan antioksidan dalam buah ini yang sangat tinggi menjadikan ia antara sumber makanan yang mampu melawan kanser. Menurut kajian yang dilakukan di Itali, makan buah ini sekali sehari dapat membantu mengurangkan risiko kanser kolorektal berbanding buah-buahan yang lain.

Menurut kajian yang lain pula, buah ini dapat membantu mencegah kanser paru-paru dan prostat. Namun, anda harus tahu bahawa kulit buah ini merupakan bahagian yang paling kaya dengan antioksidan. Oleh itu, jangan buang kulitnya apabila hendak memakannya.

#7. Melawan asma

Disebabkan kandungan antioksidannya yang tinggi, buah ini juga mampu melindungi paru-paru anda. Menurut kajian yang dilakukan terhadap 68,000 wanita, mereka yang makan buah ini akan mempunyai risiko menghadapi asma yang rendah. Selain itu, kulit buah ini yang kaya dengan flavonoid  dan quercetin, akan membantu memperkuatkan sistem imun dalam badan sekali gus mengurangkan risiko asma dan alahan.

#8. Membantu perkembangan tulang yang sihat

Makan buah-buahan sememangnya dikaitkan dengan ketumpatan tulang yang lebih kuat. Para pengkaji percaya bahawa antioksidan yang terdapat dalam buah-buahan terutamanya buah ini mampu membantu kekuatan tulang.

#9. Bagus untuk perut

Paling penting, buah ini adalah buah-buahan yang sangat bagus untuk perut. Ini kerana ia mengandungi pectin, sejenis serat yang berfungsi sebagai prebiotik. Ini bermakna ia akan membantu perkembangan bakteria baik dalam perut anda. Buah ini juga adalah tinggi kandungan serat yang mampu membantu sistem pencernaan anda.

Selamatkah makan epal gugur dari pokok?

Ya, ia adalah selamat. Namun begitu, terdapat risiko keracunan makanan jika dusun yang menanamnya juga merupakan tempat menternak haiwan yang boleh mencemar pokok epal. Risikonya juga semakin tinggi sekiranya buah itu digunakan untuk membuat jus atau sider buatan sendiri tanpa pempasteuran sehingga menggandakan bakteri E.coli.

Rekod epal terbesar di dunia

Pernahkah anda membayangkan buah ini dalam saiz yang agak berbeza dengan yang sepatutnya? Pasti agak unik dan menarik bukan?

Guinness World Records pernah melaporkan bahawa epal terbesar yang pernah ditemui dalam dunia mempunyai berat 1.849 kg (4 lb 1 oz) dan pernah ditanam di bandaraya Hirosaki, Jepun pada tahun 2005.

Epal merah vs epal hijau

Ya, epal merah sudah tentu lebih digemari daripada epal hijau kerana rasanya yang lebih menarik. Pun begitu, yang mana satu sebenarnya lebih berkhasiat untuk kita?

Menurut sebuah laporan kesihatan daripada Amerika Syarikat, satu cawan epal hijau mengandungi 14 gram karbohidrat manakala satu cawan epal merah pula mengandungi 15 gram karbohidrat. Ia sebenarnya adalah tidak banyak berbeza dan kebanyakan pakar diet akan mengesyorkan untuk mengambil 45% kalori daripada karbohidrat.

Kandungan Gula

Buah ini sangat terkenal dengan khasiat yang mampu melawan penyakit diabetes. Epal merah mengandungi kandungan gula yang lebih manis dan tidak masam. Tetapi jika dikira daripada jumlah kandungan gula, epal hijau lebih selamat untuk penghidap diabetes.

Buah ini juga terbukti megandungi lebih banyak nutrisi terutamanya pada bahagian kulitnya. Tidak kira merah atau hijau, anda disarankan untuk tidak memarut kulitnya sebelum memakannya. Kedua-duanya adalah berkhasiat apatah lagi jika ia adalah jenis yang organik.

Paling penting, anda tidak digalakkan makan buah ini melebihi enam biji sehari kerana kadar gula dalam tubuh akan meningkat. Jangan sesekali mengamalkan diet yang hanya makan buah ini setiap hari tanpa mengambil makanan lain. Cukup hanya satu atau dua biji sahaja sehari.

Secara umumnya, epal merah adalah lebih digemari kerana rasanya yang lebih sedap dan manis. Namun begitu, tidak ramai individu yang menggemari epal hijau kerana rasanya yang sedikit masam. Sebenarnya, ia juga akan mendatangkan banyak manfaat kesihatan dan kecantikan kepada pemakannya. Ia dilengkapi dengan nutrien, serat, mineral dan vitamin yang baik untuk keseluruhan kesihatan secara total. 

apple-seeds-contain-cyanide

Khasiat epal hijau

#1. Kaya dengan Vitamin A, C dan K

Ia adalah sumber vitamin A yang membantu mengekalkan penglihatan yang baik. Selain itu, ia juga adalah sangat kaya dengan vitamin C yang memelihara sel-sel kulit daripada kerosakan oleh radikal bebas dan juga mengurangkan risiko kanser kulit. Ia juga kaya dengan vitamin K yang memberikannya kemampuan untuk menyembuhkan pembekuan darah.

#2. Rendah lemak

Ia mengandungi kandungan lemak rendah dan membantu mengekalkan aliran darah yang baik di dalam tubuh badan. Peredaran yang lebih baik boleh membantu mencegah penyakit jantung dan strok. 

#3. Bagus untuk tulang dan gigi

Selain menjadi sumber vitamin dan mineral yang sangat baik, ia juga kaya dengan kandungan kalsium. Makannya setiap hari mampu menguatkan tulang dan gigi.

#4. Meningkatkan metabolisma

Ia mengandungi kandungan serat yang tinggi yang membantu meningkatkan metabolisma tubuh. Semasa memakan buah ini, pastikan anda tidak membuang kulitnya. Mengambil epal bersama kulitnya meningkatkan kesihatan keseluruhannya. Oleh kerana kandungan seratnya yang tinggi, epal membantu dalam proses detoksifikasi. Ia memastikan hati dan sistem penghadaman daripada unsur-unsur berbahaya.

#5. Membantu melawan masalah penuaan

Ia mempunyai manfaat tambahan lain iaitu membantu memperlahankan proses penuaan dan meningkatkan keindahan keseluruhan. Ia juga membantu dalam penjagaan kulit yang betul dan menghilangkan lingkaran hitam pada bawah mata.

Jadi, jawapan kepada persoalan epal mana yang lebih berkhasiat mungkin adalah epal hijau. Pun begitu, jangan terus membuat kesimpulan kerana epal merah juga adalah tidak banyak berbeza manfaat dengannya.

Di sebalik kesemua khasiat yang dibawa oleh buah ini, terdapat satu kebimbangan yang ketara iaitu ada individu yang akan mengalami alahan terhadapnya dan ia adalah sesuatu yang agak jarang ditemui.

Alahan terhadap buah epal

Alahan makanan adalah biasa dan ia disebabkan oleh sistem imunisasi dalam tubuh badan yang mengalami reaksi yang kadangkala adalah berlebihan. Paling menakutkan, ia mungkin boleh membawa maut. Bagaimana pula dengan individu yang mengalami alahan buah ini?

Simptom-simptom alahan

Individu yang mempunyai alahan ini akan mengalami pelbagai jenis simptom sejurus apabila memakan atau termakan buah ini. Simptom-simptomnya adalah bergantung kepada jenis alahan yang dialami:

  • Gatal pada tekak dan mulut
  • Bengkak pada bibir
  • Kekejangan perut
  • Ruam pada tubuh badan
  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit

Jenis-jenis alahan

Individu tanpa mengira usia, jantina atau etnik boleh mengalami alahan terhadap buah ini. Walau bagaimanapun, ia mungkin berbeza mengikut individu.

Terdapat 2 jenis alahan yang utama. Jenis pertama, individu yang mengalami alahan terhadap protein yang terdapat di dalam buah ini yang agak sama dengan protein yang dijumpai dalam buah pic. Bagi jenis ini, simptomnya mungkin akan lebih teruk dan akan terjadi serta-merta selepas individu telah memakan atau termakan buah epal. Alahan jenis ini seringkali dialami oleh individu yang tinggal di kawasan Mediterranean.

Jenis kedua, individu yang mengalami alahan terhadap protein di dalam buah ini yang agak sama dengan protein yang dijumpai dalam debunga pokok birch. Bagi jenis ini, simptomnya mungkin agak ringan dan simptomnya hanya berlaku pada sekitar mulut sahaja. Ia juga turut dikenali sebagai sindrom oral. Ia lebih mudah menjangkiti individu yang lebih tua dan yang tinggal di kawasan sejuk di mana pokok birch lebih mudah ditemui. Individu mungkin akan lebih banyak mengalami sindrom ini pada musim luruh apabila debunga pokok ini berterbangan di udara. Mereka yang mengalami sindrom alahan oral ini juga mungkin akan lebih berisiko menghidapi demam dan masalah pada sistem pernafasan mereka. 

Buat individu yang mengalami sindrom alahan ini, epal bukannya satu-satunya makanan yang mampu menyebabkannya. Ia juga boleh berlaku apabila individu memakan atau termakan makanan yang mempunyai kaitan dengan alergan-alergen berikut:

  • Debunga pokok birch
  • Debunga pokok ragweed
  • Debunga rumput

Antara contoh makanan lain yang akan menyebabkan sindrom alahan ini adalah makanan-makanan yang berikut:

Peluang untuk anda mengalami reaksi alahan sindrom oral adalah tinggi jika anda memakan makanan-makanan seperti yang dinyatakan selain buah ini. Oleh itu, sila berhati-hati dalam pemilihan diet anda.

Konklusi

Konklusinya, buah ini adalah buah yang sangat menyihatkan dan membawa banyak manfaat. Bukan setakat kesihatan sahaja, ia juga baik untuk kecantikan tubuh badan anda terutamanya kulit wajah. Oleh itu, sememangnya ia boleh mmebuatkan kita kurang ke klinik untuk berjumpa doktor, kerana manfaat yang ada pada buah ini. Jadi, apa kata anda masukkan buah ini ke dalam diet anda.

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda mengenali sedikit sebanyak mengenai buah ini dan 1001 khasiatnya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 27, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 26, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut