Kini terdapat cara yang jauh lebih berkesan untuk membantu anda mengurangkan beban masalah yang dialami. Cara yang telah terbukti ini juga lebih mudah dan dikatakan boleh mengurangkan kemurungan atau depresi. Anda pasti ingin tahu apakah cara tersebut. Silakan baca pendedahan di bawah ini.
Makanan sihat bantu kurangkan kemurungan
Kajian mendapati, pertukaran daripada diet yang tidak sihat kepada yang lebih sihat boleh membantu mereka yang sedang kemurungan dalam tempoh masa kurang daripada satu bulan. Kajian tersebut telah dijalankan terhadap 76 orang pelajar universiti yang mana kebanyakan daripada mereka mengambil makanan yang diproses, gula dan lemak tepu.
Walau bagaimanapun, terdapat perubahan yang siginifikan dalam hanya tiga minggu setelah pelajar-pelajar ini bertukar kepada diet seperti buah-buahan, sayur, ikan dan daging tanpa lemak.
Apa yang menyebabkan perubahan tersebut?
Pakar menyatakan bahawa, makanan yang mengandungi banyak kandungan vitamin, mineral dan antioksidan membantu mengekalkan kesihatan otak dan mengurangkan keradangan dan ‘stres dalaman’ yang berkait rapat dengan kemurungan. Ini menunjukkan bahawa diet yang baik turut memainkan peranan terhadap kesihatan mental yang lebih baik.
Apa yang dimakan oleh responden kajian?
Dalam kajian ini, responden kajian yang terdiri daripada para pelajar universiti ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan; ‘perubahan diet’ dan ‘diet biasa’. Mereka yang berada dalam kumpulan ‘perubahan diet’ diminta untuk mengambil jenis makanan seperti berikut:
- 5 hidangan sayur-sayuran
- 2 atau 3 potong buah setiap hari
- 3 hidangan bijirin penuh
- 3 bahagian daging tanpa lemak
- Telur
- Tauhu atau legum
- 2 sudu makan minyak zaitun
- 1 sudu teh serbuk kunyit atau kayu manis
Mereka juga diminta untuk mengurangkan pengambilan karbohidrat halus, gula, lemak dan makanan yang diproses.