backup og meta

Selalu Letak Bawang Merah Dalam Masakan? Ia Bagus Untuk Jantung & Ketahanan Badan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/09/2023

    Selalu Letak Bawang Merah Dalam Masakan? Ia Bagus Untuk Jantung & Ketahanan Badan

    Boleh dikatakan hampir semua jenis masakan di Malaysia memerlukan bawang merah. Namun, tidak ramai individu mengetahui tentang khasiat bawang merah kepada kesihatan manusia.

    Ikuti artikel ini untuk mengetahui tentang lebih lanjut mengenai bawang ini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Khasiat bawang merah

    Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa bawang merah mempunyai khasiat yang banyak terutama kepada kesihatan.

    Ia sudah digunakan secara berkurun lamanya untuk merawat pelbagai penyakit termasuk juga digunakan dalam rawatan tradisional.

    Berikut adalah beberapa manfaat kesihatan yang boleh diperolehi daripada bawang ini:

    khasiat bawang merah

    1. Menguatkan sistem ketahanan badan

    Bawang merah kaya dengan vitamin C yang merupakan sejenis antioksidan. Kehadiran vitamin C ini membantu melawan radikal bebas yang berpotensi merosakkan sel-sel di dalam badan.

    Risiko penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan kanser dapat dikurangkan. Kandungan quercetin dan antosianin di dalamnya dipercayai mampu melawan dan menghancurkan sel kanser dalam badan.

    Ia turut mengandungi selenium, yang dipercaya mampu meningkatkan sistem imun.

    2. Membantu penghadaman

    Oleh sebab bawang ini kaya dengan serat yang baik bagi pertumbuhan bakteria baik dalam usus, ia membantu melancarkan sistem penghadaman dan memastikan pergerakan usus yang baik.

    Serat juga membersihkan usus serta membuang kotoran di dalam badan dan mencegah masalah sembelit.

    Bawang juga mengandungi bahan kimia saponin yang boleh mengurangkan sakit dan kekejangan perut.

    3. Antipenuaan, antara khasiat bawang merah

    Khasiat daripada antioksidan bukanlah satu yang baru dan misteri. Antara punca penuaan adalah pengumpulan radikal bebas di dalam badan.

    Di samping membekalkan antioksidan, ia juga merangsang penghasilan antioksidan di dalam badan.

    Selain itu, bawang juga membantu membuang toksik di dalam badan, seterusnya membantu melambatkan lagi proses penuaan.

    khasiat bawang merah

    4. Tingkatkan hemoglobin

    Penghidap anemia mempunyai kadar hemoglobin yang rendah. Hemoglobin adalah sejenis protein di dalam sel darah merah yang dihasilkan daripada zat besi.

    Ia berfungsi membawa oksigen di dalam darah. Bawang merah mengandungi kadar zat besi yang baik. Ia sekali gus membantu meningkatkan zat besi serta hemoglobin di dalam badan.

    Khasiat bawang merah #5. Mengawal kadar glukosa

    Mineral kromium di dalam bawang membantu mengawal kadar gula dalam darah. Perkara ini adalah sangat penting bagi individu yang mengalami diabetes atau prediabetes.

    Sulfur di dalamnya pula merangsang penghasilan insulin. Khasiat ini adalah bermanfaat khusus bagi mereka yang mengalami kencing manis.

    Sebatian khusus yang terdapat dalam bawang, seperti sebatian quercetin dan sulfur, mempunyai kesan antidiabetik.

    Sebagai contoh, quercetin telah ditunjukkan untuk berinteraksi dengan sel-sel dalam usus kecil, pankreas, otot rangka, tisu lemak dan hati untuk mengawal peredaran gula darah seluruh badan.

    6. Mencegah keradangan

    Kandungan quercetin pada bawang merah dipercayai dapat meredakan radang.

    Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit pada bahagian kepala yang disebabkan selesema dan hidung tersumbat.

    Hal ini disebabkan oleh kandungan sulfur pada bawang merah yang mampu memecahkan mukus.

    7. Meningkatkan kesihatan jantung

    Kandungan flavonoid pada bawang merah ini dapat membantu fungsi jantung.

    Selain itu, kandungan organosulfur pada bawang ini dapat mencegah risiko munculnya penyakit kardiovaskular.

    Di samping itu, bahan masakan paling popular ini juga mengandungi tiosulfinat yang dapat mengurangkan dan menurunkan risiko penyakit strok (angin ahmar).

    Baca juga:

    Khasiat bawang merah #8. Meningkatkan kualiti tidur

    Bawang mempunyai probiotik yang dapat membantu meningkatkan kualiti tidur dan mengurangkan tekanan.

    Di samping itu, dikatakan terdapat bakteria baik dalam bawang ini yang dipercayai dapat merangsang fungsi otak dengan lebih baik.

    9. Baik untuk mata

    Kandungan sulfur yang terdapat pada bawang merah ternyata baik untuk kesihatan mata.

    Zat tersebut mampu merangsang produksi protein iaitu glutathione, yang berperanan sebagai antioksidan.

    Vitamin E yang terkandung pada bawang merah sangat baik untuk mata.

    10. Ketumpatan tulang

    Sememangnya produk tenusu merupakan antara makanan terbaik yang dapat menjaga dan meningkatkan kesihatan tulang.

    Tetapi selain itu, bawang juga dipercayai dapat menyokong pertumbuhan tulang yang kuat. 

    Dipercayai bawang ini berkeupayaan untuk mengurangkan tekanan oksidatif, meningkatkan tahap antioksidan dan mengurangkan kehilangan tulang, mencegah osteoporosis dan meningkatkan ketumpatan tulang.

    11. Melawan bakteria salah satu khasiat bawang merah

    Bawang boleh melawan bakteria berbahaya seperti Escherichia coli (E. coli), Pseudomonas aeruginosa, Staphylococcus aureus (S. aureus) dan Bacillus cereus.

    Tambahan pula, ekstrak bawang menunjukkan ia membantu menghalang pertumbuhan Vibrio cholerae, bakteria yang menjadi kebimbangan kesihatan awam utama di negara yang membangun.

    Quercetin yang diekstrak dari bawang dipercayai menjadi satu kaedah yang sangat kuat untuk melawan bakteria.

    Dalam satu kajian, quercetin yang diekstrak daripada kulit bawang kuning berjaya menghalang pertumbuhan Helicobacter pylori (H.pylori) dan Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA). 

    H. pylori adalah bakteria yang dikaitkan dengan ulser perut dan kanser pencernaan tertentu, sementara MRSA adalah bakteria yang menghalang antibiotik yang mengakibatkan jangkitan pada bahagian-bahagian badan yang tertentu.

    khasiat bawang merah

    12. Melawan kanser

    Memakan sayuran seperti bawang putih atau bawang merah dipercayai mempunyai kaitan untuk mengurangkan risiko kanser tertentu seperti kanser perut dan kanser kolorektal.

    Bawang juga mengandungi fisetin dan quercetin, antioksidan flavonoid yang dipercayai boleh menghalang pertumbuhan tumor.

    13. Merawat gigi

    Bawang mentah sememangnya boleh membuatkan nafas kita berbau. Tetapi dalam masa yang sama ia amat berguna untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan mulut.

    Antara khasiat bawang merah mentah dipercayai dapat menguatkan gigi dan dalam masa yang sama menghilangkan bakteria yang menyebabkan kerosakan gigi.

    14. Asma & pernafasan, antara khasiat bawang merah

    Bawang mempunyai kesan antihistamin kerana terdapat quercetin, antioksidan yang bertindak seperti antihistamin dan agen antiradang.

    Bawang dipercayai dapat membantu mengurangkan asma kerana ia bertindak sebagai antioksidan yang kuat dan menunjukkan bahawa quercetin menyebabkan bronkus, iaitu saluran pernafasan untuk menjadi lebih luas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan