Selami Khasiat Tapai, Makanan Tradisional Popular Sabah

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tempeh, yogurt atau kimchi merupakan beberapa contoh daripada beberapa jenis makanan fermentasi lain yang sangat popular di dunia. Tapai pula boleh berada sebaris dengan makanan-makanan tradisional ini. Selain sangat kaya dengan sumber probiotik, adakah anda tahu bahawa terdapat beberapa lagi khasiat lain yang terdapat di dalamnya?

Tapai sangat sinonim dengan masyarakat Melayu di negara kita serta masyarakat lain yang tinggal di negara serantau terutamanya di benua Asia Tenggara. Ia dikatakan berasal dari negeri Sabah yang dipopularkan oleh etnik Kadazan-Dusun-Murut dan selalu dimakan ketika hari perayaan atau hari perkahwinan. Untuk pengetahuan anda, sebenarnya terdapat beberapa jenis tapai tetapi antara yang paling popular di negara kita adalah tapai pulut. Ingin mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.

Tapai di Asia Tenggara

Selain tempe, tapai juga merupakan makanan tradisional yang diperbuat secara fermentasi dan popular di negara serantau kita. Makanan yang dikatakan berasal dari Sabah ini sebenarnya sangat terkenal di Asia Tenggara dan selalu dijadikan sebagai pencuci mulut ketika hari perayaan atau hari perkahwinan. Disebabkan cara pembuatannya yang menggunakan teknik fermentasi, ia dikatakan mempunyai kandungan mikrob dan alkohol yang kononnya boleh membahayakan kesihatan pemakannya. Adakah ini benar atau mitos semata-mata?

Apa itu tapai?

Tapai, juga disebut sebagai tapay atau tape adalah sejenis makanan tradisional yang berasaskan beras atau makanan berkanji. Ia dimakan oleh masyarakat yang tinggal di hampir seluruh Asia Tenggara dan sebahagian Asia Timur, terutamanya di kawasan Austronesia. Selalunya, ia diperbuat daripada beras putih atau pulut, tetapi ia juga boleh digantikan dengan pelbagai sumber karbohidrat yang lain seperti ubi kayu atau ubi kentang. Bergantung kepada inti pembuatannya, rasa makanan tradisional ini adalah manis atau masam.

Pasti anda pernah terbaca atau terdengar tentang proses penapaian makanan yang menggunakan kulat dalam pembuatannya, bukan? Ya, makanan tradisional ini juga menggunakan kaedah yang sama dengan makanan fermentasi yang lain seperti tempe, yogurt atau kimchi. Antara jenis kulat yang digunakan untuk proses pembuatannya adalah Aspergillus oryzae, Rhizopus oryzae, Amylomyces rouxii, Saccharomyces cerevisiae, Saccharomycopsis fibuliger, Endomycopsis burtonii atau spesies Mukor bersama dengan bakteria yang lain.

Sesuai dengan proses pembuatannya, makanan tradisional ini dinamakan sebagai “tapai” yang merupakan perkataan bahasa Melayu yang memberi maksud proses fermentasi itu sendiri. Pun begitu, ada juga sejarah yang mengatakan bahawa nama makanan tradisional ini dinamakan sempena bekas yang digunakan ketika proses pembuatannya yang dikenali sebagai “tapay” dalam bahasa Indonesia dan berkognat dengan perkataan “tapayan” dalam bahasa tagalog, “tepayan” dalam bahasa Iban atau “tempayan” dalam bahasa Melayu.

Bagaimanakah proses pembuatan tapai?

Untuk pengetahuan anda, makanan tradisional yang kian mendapat tempat dalam hati masyarakat kita kini sudah boleh diperbuat dengan cara moden. Pun begitu, ada yang mengatakan bahawa hanya cara tradisional yang boleh menjadikan rasa tapai itu original. Atau mungkin ia sebenarnya bergantung kepada selera dan cita rasa anda sendiri.

Berikut merupakan 2 proses pembuatan makanan tradisi ini:

  • Tradisional

Secara tradisinya, ia memerlukan bahan-bahan yang tidak terlalu rumit iaitu beras putih atau pulut, ragi dan gula yang dicampurkan sekali semua sehingga sebati. Kemudian, ia akan dibungkus di dalam daun tapai. Pun begitu, disebabkan daun ini kian sukar untuk ditemui, alternatif baginya adalah menggunakan daun pisang atau daun getah dan sudah pasti, rasanya juga mungkin akan agak berbeza bergantung kepada penggunaan daun.

Setelah siap dibungkus, ia akan dimasukkan ke dalam pasu tempayan yang sangat besar dan ditutup dengan kain. Selama 3 hari, ia akan diperam dan disimpan sehingga makanan tradisional ini benar-benar “masak” sebelum boleh dimakan. Ini bertujuan untuk mengeluarkan airnya yang memberi rasa manis. Air tapai juga selalu diminum begitu sahaja untuk dijadikan sebagai ubat tradisional.

  • Moden

Pada zaman moden kini, pelbagai jenis sumber karbohidrat lain seperti ubi kayu atau ubi kentang turut digunakan dalam proses pembuatannya bagi menggantikan beras putih atau pulut. Proses pembuatannya secara umum adalah membasuh, mengupas dan memasak bahan utamanya. Kemudian, ia akan dicampurkan dengan serbuk ragi dan disejukkan sehingga 30°C, atau suhu bilik. Selepas itu, ia akan disimpan dan diperam dalam balang yang ditutupi selama sekurang-kurang 1 atau 2 hari.

Setelah siap, ia boleh dimakan begitu sahaja. Jika terus dimakan selepas dibiarkan selama 1 atau 2 hari sahaja, rasanya agak manis dan jika dibiarkan selama beberapa hari lagi, rasanya akan berubah menjadi lebih masam.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa proses fermentasi ini akan menyebabkan kewujudan mikrob dan alkohol di dalam makanan tradisional ini dan ia mungkin akan membahayakan kesihatan anda. Pun begitu, adakah ini benar atau mitos semata?

Khasiat tapai yang anda perlu tahu

Seperti yang anda ketahui, proses pembuatan makanan tradisional ini adalah dengan penggunaan kulat dan bakteria sebagai mana makanan fermentasi yang lain. Pun begitu, anda tidak perlu takut akan mikrob-mikrob ini kerana ia tidak akan mendatangkan kesan negatif kepada anda, malahan boleh berfungsi memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan kita.

Berikut merupakan beberapa khasiat makanan tradisional ini yang anda perlu tahu:

#1. Kaya dengan sumber probiotik

Makanan tradisional ini dikatakan sangat kaya dengan sumber probiotik. Ini adalah fitur utama dalam makanan yang dihasilkan melalui proses fermentasi lain seperti tempe, yogurt atau kimchi. Proses ini menggunakan pelbagai mikroorganisma yang baik dan boleh berfungsi untuk melawan bakteria jahat yang wujud di dalam sistem penghadaman. Selain itu, ia juga dikatakan mampu meningkatkan sistem imun dalam tubuh badan kita.

#2. Membantu melancarkan sistem penghadaman

Makanan tradisional ini dikatakan sebagai “superfood” yang sangat bagus untuk sistem penghadaman kita. Proses fermentasi bukan sahaja akan menghasilkan probiotik, malahan juga meningkatkan asid laktik, yang sangat bermanfaat untuk memperbaiki sistem pencernaan dengan membunuh kesemua bakteria jahat dan membenarkan bakteria baik untuk berfungsi dengan lebih baik. Pengambilannya boleh membuang toksik di dalam badan sekali gus mengelakkan masalah sembelit.

#3. Membantu menguatkan tulang dan gigi

Makanan tradisional ini dikatakan mampu membantu menguatkan tulang dan gigi ekoran kandungan mineral seperti kalsium dan fosforusnya yang tinggi. Sama seperti produk tenusu yang lain, pengambilannya yang kerap dapat memberi kesihatan tulang dan gigi yang kuat.

#4. Membantu menstabilkan suhu tubuh badan

Makanan tradisional ini dikatakan mampu membantu menstabilkan suhu tubuh badan kita. Sekiranya anda mengalami demam biasa, pengambilannya mungkin dapat membantu menstabilkan suhu dalam darah dan kulit anda. 

#5. Membantu memberi tenaga kepada tubuh badan

Makanan tradisional ini dikatakan mampu membantu memberi tenaga kepada tubuh badan kita. Ini kerana ia mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi, dan akan mendatangkan kesan yang sama seperti memakan nasi atau makanan berkarbohidrat yang lain. Ia mampu menjadi punca tenaga untuk tubuh badan serta membantu memisahkan protein untuk diberi kepada sel-sel tubuh badan. Selain itu, ia juga sangat membantu dalam menguraikan lemak dan kolesterol dalam tubuh badan dan ditukarkan menjadi tenaga. Kesannya, tubuh badan kita akan menjadi lebih bertenaga.

#6. Membantu memperbaiki sistem neuron dan otot

Makanan tradisional ini dikatakan mampu memperbaiki sistem neuron dan otot kita. Disebabkan ia diperbuat melalui proses fermentasi, ia akan menghasilkan thiamin, yang berfungsi untuk membantu memperbaiki sistem neuron serta otot. Disebabkan itu, tubuh badan kita akan berasa lebih cergas.

#7. Membantu merawat masalah jerawat

Makanan tradisional ini dikatakan mampu menjadi metode tradisional untuk merawat masalah jerawat. Ia mampu membantu meneutralkan kandungan toksik yang wujud di dalam pori-pori pada kulit muka anda. Kekotoran ini sebenarnya merupakan punca utama kulit anda sangat mudah dijangkiti masalah jerawat. Jadi, apa salahnya jika anda mula menggantikan snek tidak sihat anda itu dengan tapai? Sudah pasti ia lebih sedap malah lebih sihat!

#8. Membantu mengelakkan anemia

Makanan tradisional ini dikatakan mampu membantu individu mengelakkan anemia. Penyakit ini berlaku disebabkan oleh kurang sel darah merah yang menjadikan tubuh badan lemah dan tidak bertenaga. Disebabkan itu, pengambilannya yang sangat kaya dengan pelbagai jenis vitamin B seperti vitamin B1 (thiamin), vitamin B12 (cobalamin) dan vitamin B9 (asid folik) yang diperoleh semasa proses fermentasi adalah sangat penting. Vitamin ini sangat membantu dalam menyokong lebih banyak penghasilan sel darah merah sekali gus membantu mengelakkan anemia.

#9. Membantu mengelakkan hipertensi

Makanan tradisional ini dikatakan mampu membantu individu mengelakkan hipertensi. Penyakit ini adalah salah satu daripada penyakit berbahaya yang mampu mendorong kepada penyakit lain seperti strok atau sakit jantung. Disebabkan itu, pengambilannya yang merupakan sumber potasium yang tinggi mampu membantu mengawal tahap tekanan darah dan degupan jantung sekali gus membantu mengelakkan hipertensi.

#10. Membantu mengekalkan kesihatan kulit

Makanan tradisional ini dikatakan mampu mengekalkan kesihatan kulit. Ini kerana ia mempunyai ciri-ciri antiradang yang sangat membantu dalam mengurangkan iritasi pada kulit sekali gus menjadikannya lebih cantik.

#11. Membantu mencegah pembentukan sel kanser

Makanan tradisional ini dikatakan mampu melawan pembentukan sel kanser. Ini kerana ia mengandungi kandungan asid laktik yang dipercayai mampu membantu mencegah pembentukan sel kanser di dalam tubuh badan kita.

#12. Sesuai dimasukkan ke dalam menu diet

Untuk pengetahuan anda, makanan tradisional ini adalah sangat rendah lemak. Selain itu, ia mengandungi kandungan karbohidrat dan serat yang tinggi yang mampu membantu melancarkan lagi sistem penghadaman anda. Ini membuatkan ia sangat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan dalam menu diet anda.

Pun begitu, khasiat-khasiat ini belum begitu terbukti keberkesanannya kerana masih tidak banyak kajian mengenai tapai dilakukan. Akan tetapi, ia masih merupakan makanan yang berkhasiat terhadap tubuh badan kita secara umum kerana kandungan nutrisinya yang tinggi. Jadi, pengambilan makanan tradisional bukan sesuatu yang merugikan, bukan? 

Selain itu, terdapat satu lagi kebimbangan mengenai makanan tradisional ini. Persoalannya, adakah ia mengandungi alkohol? Jika ya, adakah anda perlu bimbang mengenainya?

Alkohol di dalam tapai

Jawapannya adalah ya. Disebabkan proses fermentasi, makanan tradisional ini mungkin akan mengandungi sedikit sebanyak alkohol di dalamnya, sama juga seperti makanan fermentasi yang lain. Persoalannya, adakah ia boleh dimakan oleh individu beragama Islam dan adakah ia boleh dimakan oleh wanita hamil?

Adakah tapai boleh dimakan oleh individu beragama Islam?

Bagi individu yang beragama Islam, pengambilan sebarang bentuk alkohol atau apa-apa yang memabukkan akal dan membahayakan tubuh badan adalah haram sama sekali. Ini akan mendatangkan tanda tanya kepada kita iaitu adakah makanan tradisional yang dinyatakan tadi mengandungi alkohol atau tidak?

Disebabkan makanan tradisional ini diperbuat menggunakan proses fermentasi, ia mungkin akan mengandungi sedikit sebanyak kandungan alkohol di dalamnya. Prinsip pembuatannya adalah lebih kurang sama dengan tuak, sejenis minuman beralkohol yang diminum oleh masyarakat Sabah. Jadi, adakah kita boleh memakannya?

Menurut Portal Rasmi Fatwa Malaysia, terdapat beberapa perkara yang perlu kita titikberatkan di dalam menentukan sama ada sesuatu makanan atau minuman itu adalah haram atau tidak dan yang paling penting adalah bukan semua alkohol itu adalah arak.

Makanan atau minuman beralkohol yang tidak haram untuk diambil adalah yang bukan daripada proses pembuatan arak, serta kuantiti alkohol di dalamnya itu adalah sedikit sahaja dan paling penting, tidak memabukkan.

Selain itu, kewujudan alkohol di dalam sebarang makanan atau minuman yang terjadi akibat kesan sampingan proses pembuatannya seperti fermentasi adalah tidak haram. Jadi, tapai adalah halal dan boleh dimakan oleh individu yang beragama Islam.

Pun begitu, terdapat satu lagi kebimbangan mengenai pengambilan tapai iaitu adakah ia selamat untuk dimakan oleh wanita yang sedang hamil?

food aversions

Adakah tapai selamat dimakan oleh wanita hamil?

Menurut pakar diet Natalie Allen, sebenarnya tidak terdapat sebarang kebimbangan yang perlu ditimbulkan jika seorang wanita hamil itu ingin makan tapai. Akan tetapi, ada satu perkara yang anda perlu ketahui iaitu wanita hamil tidak perlu untuk memakannya dalam kuantiti yang terlalu banyak. Ini kerana makanan fermentasi mungkin akan menimbulkan rasa kurang selesa terhadap perut anda. 

Manakala menurut ahli gastroenterologi Will Bulsiewicz pula, adalah lebih baik untuk anda berbincang terlebih dahulu dengan doktor pakar sebelum makan apa-apa makanan atau minuman fermentasi. Ini kerana kandungan alkohol yang terdapat di dalamnya mungkin tidak sesuai diambil oleh beberapa individu. Jadi, dapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan untuk mengambilnya.

Jika anda masih mahu untuk mengambil juga makanan fermentasi seperti ini, apa kata anda tukar selera anda kepada makanan lain yang ternyata lebih sihat dan selamat seperti yogurt? Sudah pasti ia mengandungi probiotik yang mencukupi untuk anda dan juga bayi.

Dalam erti kata yang lain, tapai sebenarnya selamat untuk dimakan oleh wanita hamil. Pun begitu, ia mungkin tidak begitu sesuai buat beberapa individu. Jadi, berbincang terlebih dahulu dengan doktor anda sebelum mengambilnya.

Konklusi

Konklusinya, tapai adalah makanan yang sihat sama seperti makanan fermentasi lain seperti tempe yang sangat kaya dengan probiotik. Pun begitu, kandungan alkohol yang mungkin wujud di dalamnya akibat proses fermentasi itu sendiri akan mendatangkan kebimbangan terhadap individu yang beragama Islam serta wanita hamil. Sebenarnya, anda  tidak perlu terlalu bimbang tentangnya kerana ia bukan satu makanan yang berbahaya dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada anda.

Pihak Hello Doktor amat berhadap artikel ini dapat membantu anda mengetahui mengenai makanan fermentasi ini dengan lebih mendalam dan menjawab semua persoalan yang bermain di fikiran anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut