Simptom yang perlu diberikan perhatian
Sebagai ibu bapa, terdapat beberapa tanda atau simptom yang boleh diperhatikan dan perlu dibimbangkan dalam isu berkaitan lambat bercakap atau speech delay ini. Antara:
- Anak tidak menghasilkan sebarang bunyi atau respons kepada sebarang bunyi
- Anak masih belum boleh bercakap walaupun mencecah usia 18 bulan
- Tidak menunjukkan sebarang komunikasi melalui gerakan tubuh pada usia 12 bulan seperti melambai atau bertepuk tangan
- Sukar memahami arahan atau rutin mudah pada usia 2 tahun
- Lebih menggunakan bahasa tubuh dari bertutur untuk berkomunikasi dan tidak boleh meniru bunyi pada usia 18 bulan
- Tidak berminat melakukan eye contact atau berbual dengan individu lain
- Menghasilkan bunyi tidak normal seperti ah, ohh
- Percakapan yang sukar difahami
Jika terdapat simptom-simptom yang dinyatakan di atas, ia mungkin didasari oleh beberapa masalah berkaitan perkembangan atau kesihatan anak-anak, seperti:
- Masalah pendengaran
- Kurangnya rangsangan bunyi, contoh keadaan ibu bapa yang bisu
- Masalah fizikal berkaitan lidah, tekak, hidung dan sebagainya
- Masalah perkembangan seperti autism, global developmental delay
- Masalah genetik
Sekiranya anda mengesan sebarang simptom seperti yang di senaraikan, anda adalah dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan awal daripada doktor atau pakar pertuturan kanak-kanak.
Galakkan anak bercakap

Anda perlu melatih dan memberikan galakkan kepada anak anda untuk lebih bercakap. Berikan mereka sebab untuk berkomunikasi dengan anda. Beberapa contoh perkara yang boleh anda lakukan untuk merangsang anak anda bercakap, seperti:
Bermain dengan anak
Berikan barang mainan kesukaan mereka satu per satu supaya mereka mempunyai peluang untuk ‘meminta lebih’ dan berlatih untuk mengambil giliran bercakap serta kemahiran komunikasi lain
Cipta peluang berkomunikasi
Anda boleh berpura-pura tidak tahu mengenai apa yang disukai atau tidak disukai oleh anak anda. Ini memberikan mereka peluang untuk memberitahu anda mengenainya atau sekurang-kurangnya membolehkan mereka untuk bercakap ‘no’
Ringkaskan perbualan
Banyakkan bercakap dengan anak anda, tetapi pastikan ia adalah pendek dan mudah untuk difahami serta ditiru oleh anak anda. Apabila anak anda sudah boleh memahami, mungkin anda boleh memperkembangkan penggunaan kosa kata dan ayat.
Bahasa isyarat
Gunakan gerak badan dan bahasa isyarat untuk menambah maksud perkataan yang anda cakapkan terutama ketika anak anda masih belum boleh bercakap. Cara ini sekurang-kurangnya dapat membina motivasi kepada anak-anak untuk bercakap.
Banyakkan bercakap
Katakan mengenai apa sahaja, sama ada mengenai apa yang anda sedang lakukan dan apa yang anak anda lakukan. Bercakap tentang segalanya yang boleh anda bualkan dengan anak anda.
Gangguan perkembangan
Seperti yang dinyatakan, speech delay berkemungkinan besar boleh menjadi indikator menunjukkan bahawa anak anda mungkin mempunyai masalah gangguan lain seperti autism. Salah satu ciri utama gangguan autism adalah kegagalan untuk berkomunikasi walaupun selepas mencapai peringkat usia tertentu. Tetapi kajian daripada Psychology Today membuktikan bahawa hampir 70 peratus kanak-kanak dengan isu lambat bercakap tidak mempunyai masalah autism.
Tidak semua kanak-kanak autism mempunyai masalah lambat bercakap dan tidak semua anak yang lambat bercakap mengalami masalah autism. Jika anda merasakan anak anda lambat bercakap, dapatkan pandangan doktor atau pakar pertuturan kanak-kanak untuk mendapatkan kepastian mengenai isu ini.
Yang paling penting, berkaitan dengan topik ini, memakan pulut langsung tiada kaitan dengan masalah anak lambat bercakap atau speech delay. Itu adalah sekadar kepercayaan yang tidak sahih.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: