backup og meta

Hubungan Perkahwinan, Kenapa Sukar Untuk Dikekalkan?

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/12/2019

    Hubungan Perkahwinan, Kenapa Sukar Untuk Dikekalkan?

    Sebuah hubungan perkahwinan takkan pernah dapat lari daripada cabaran. Apatah lagi melibatkan perkahwinan dalam kalangan belia muda. Tetapi mengapakah perhubungan itu sukar untuk dikekalkan?

    Kahwin muda

    Perkahwinan di usia muda adalah satu fenomena biasa dalam kalangan belia di Malaysia. Ia didorong oleh pelbagai faktor seperti percintaan, tempoh kesuburan individu, sokongan dan galakkan daripada ibu bapa untuk menyegerakan perkahwinan, keinginan untuk menjaga agama dan maruah yang mendorong kebanyakan individu untuk berkahwin pada usia muda.

    Namun, malangnya, kebanyakan hubungan perkahwinan tersebut sukar untuk dipertahankan sehingga berlakunya perpisahan. Lebih menyedihkan apabila usia perkahwinan tersebut belum pun mencecah setahun. 

    Jadi apakah sebenarnya cabaran yang dilalui sehingga menyebabkan sukarnya sesebuah perkahwinan itu untuk dikekalkan?

    Punca perkahwinan sukar untuk dikekalkan

    Berikut merupakan antara punca-punca utama mengapa sesebuah perkahwinan itu berakhir dengan perpisahan, antaranya:

    Emosi

    Kebanyakan pasangan yang berkahwin pada usia muda akan berdepan cabaran untuk mengawal emosi dalam perhubungan dengan pasangan serta masyarakat setempat. Ia adalah satu perkara normal untuk belia mempunyai tahap kesabaran yang rendah dan sukar untuk mengawal kemarahan.

    Situasi ini boleh menyebabkan wujudnya sikap tidak rasional dan membenci pasangan apabila berada di dalam kemarahan. Kegagalan mengawal emosi akan mengakibatkan pasangan untuk sering bergaduh dan sukar mencari kesefahaman. 

    Kewangan

    Isu kewangan merupakan satu isu yang paling kerap dialami oleh kebanyakan pasangan yang berkahwin pada usia muda. Ini kerana kebanyakan mereka ini merupakan antara graduan yang baru tamat belajar dan sudah tentu mempunyai nilai pendapatan yang rendah.

    Lebih menyukarkan keadaan apabila pasangan tidak bekerja dan ia sudah tentu akan meningkatkan lagi kos sara hidup yang sememangnya sudah tinggi berikutan hidup di kawasan bandar.

    Kesukaran kos sara hidup ini sudah tentu akan lebih dirasai bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dan belum mempunyai pekerjaan tetap. Bebanan kewangan akan bertambah seiring dengan pertambahan keperluan harian dan isi rumah. 

    Perhubungan

    Pasti anda pernah mendengar bidalan “Kita takkan dapat mengenal seseorang itu selagi kita belum duduk serumah dan tidur sebantal”, begitu jugalah keadaannya dalam sesebuah perhubungan perkahwinan.

    Ketika bercinta, sudah tentu segalanya indah belaka, namun cabaran mula wujud dalam mengekalkan perhubungan tersebut. Kesetiaan dalam perhubungan bagi pasangan berkahwin muda ini pastinya akan sentiasa teruji. 

    Keadaan ini biasanya dipengaruhi oleh rakan sebaya yang masih belum berkahwin. Walau bagaimanapun, situasi ini sudah tentu akan dapat diatasi jika setiap pasangan berfikiran secara matang walaupun pada usia yang usia dan menyedari mengenai tanggungjawab masing-masing kepada perkahwinan yang didirikan. 

    Penyesuaian Diri

    Sukar untuk menyesuaikan diri pada awal perkahwinan juga boleh menjadi antara faktor mengapa sesebuah perkahwinan itu sukar untuk dikekalkan. Berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan pasangan dan ahli keluarganya sudah tentu boleh menyebabkan wujudnya pergolakan dalam perkahwinan.

    Jika selama bercinta, dunia hanyalah mengenai dua individu, namun sebaik terjalin ikatan perkahwinan, ia bukan sahaja melibatkan dua individu. Tetapi ia melibatkan keluarga pasangan seperti ibu bapa, datuk nenek, adik-beradik, ipar duai, anak-anak saudara, ibu dan bapa saudara, sepupu serta lain-lain lagi. 

    Lebih besar keluarga pasangan, maka lebih tinggi keperluan penyesuaian diri. Cabaran akan lebih besar jika pasangan tersebut memutuskan untuk tinggal sebumbung bersama keluarga pasangan. 

    Pengurusan rumah tangga

    Berkahwin bermakna anda perlu memberikan komitmen yang tinggi kepada pasangan anda. Bagi individu wanita, jika sebelum ini komitmen anda mungkin hanya kepada kerja dan ibu bapa, namun selepas bergelar isteri, anda mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan rumah tangga. Sudah tentu ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan. 

    Ia melibatkan pengurusan hal berkaitan rumah tangga seperti mengemas rumah, mencuci pakaian, memasak dan sebagainya. Keadaan ini sudah tentu boleh menimbulkan cabaran besar kepada mereka. 

    Sesungguhnya apa yang disenaraikan di atas bukan hanya melibatkan sebuah institusi perkahwinan belia muda, namun ia sebenarnya turut melibatkan pasangan yang sudah berkahwin lebih bertahun-tahun.

    Malahan ada pasangan yang sudah mempunyai cucu, akhirnya memilih untuk mengakhiri hubungan dengan perpisahan. Jadi bagaimana solusi terbaik untuk mengatasi isu perkahwinan yang sukar untuk dikekalkan?

    Tip menguruskan hubungan perkahwinan

    Setiap masalah yang berlaku sudah pasti ada penyelesaian. Ia bergantung kepada anda untuk mengatasinya atau membiarkan masalah untuk terus berkembang dan akhirnya meruntuhkan institusi perkahwinan anda.

    Berikut adalah beberapa tip yang boleh anda cuba dalam mempertahankan hubungan perkahwinan anda dan pasangan.

    Komunikasi

    Perkara paling penting dalam sesebuah hubungan perkahwinan adalah komunikasi. Komunikasi positif antara pasangan pastinya dapat membantu meningkatkan kesejahteraan dalam perkahwinan.

    Oleh kerana itu, setiap pasangan perlu mengetahui kaedah komunikasi positif yang dapat membantu meningkatkan persefahaman, keserasian dan keharmonian rumah tangga. Anda perlu belajar untuk mengenali pasangan anda.

    Perkara paling utama dalam setiap hubungan perkahwinan sudah tentulah melibatkan kejujuran, kesetiaan dan saling bertolak ansur. Ciri-ciri tersebut pasti dapat membantu anda untuk lebih memahami pasangan anda dan mengelakkan konflik dalam perhubungan.

    Jika berdepan sebarang masalah, pilihlah jalan terbaik dengan berkomunikasi dan hindari daripada mendiamkan diri. Ini kerana berdiam diri tidak akan menjadikan keadaan bertambah baik, sebaliknya boleh menyebabkan hubungan perkahwinan lebih sukar untuk diselamatkan. 

    Merancang kewangan

    Masalah kewangan bukan sahaja dialami oleh pasangan muda yang baru berkahwin, tetapi ia turut merupakan isu yang berlaku dalam kalangan pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga.

    Puncanya adalah kerana tidak tahu menguruskan isu kewangan keluarga dengan sebaiknya. Oleh sebab itu pengetahuan dalam menguruskan dan merancang kewangan adalah sangat penting. 

    Jika sebelum berkahwin, seseorang individu gemar berbelanja secara boros, maka sikap itu harus dihindari selepas mendirikan berumah tangga, melainkan anda memiliki kewangan yang kukuh. 

    Pengurusan kewangan yang baik dan teratur perlu melibatkan kerjasama antara kedua-dua pasangan suami isteri. Kesepakatan dalam menguruskan kewangan keluarga perlulah dicapai dengan sebaiknya. 

    Akhir kata

    Hubungan perkahwinan yang terjalin harus dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab bersama sifat kematangan sesama pasangan. Ia bukan dibina hanya untuk tempoh sehari dua, sebaliknya ikatan tersebut perlu dipertahankan sebaik mungkin. Sayangilah pasangan anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan