Kepentingan zat besi untuk perkembangan bayi
Apa yang diketahui sebelum ini adalah anemia dalam ibu mengandung dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk kelahiran bayi yang lebih kecil dan/atau dilahirkan pramatang. Kaitan ini mengukuhkan pendapat bahawa zat besi yang mencukupi adalah penting dalam perkembangan janin khususnya dalam peringkat awal di mana organ-organ mereka sedang terbentuk, termasuklah organ – organ di dalam sistem saraf tunjang. Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal JAMA Psychiatry pada 18 September yang lepas. Ia melibatkan data daripada 532 232 anak-anak Sweden yang bukan anak angkat dan data yang diperoleh diambil daripada tempoh masa bermula 1 Januari 1987 sehinggalah 31 Disember 2010. Analisis data pula dilakukan bermula daripada 15 Januari 2018 sehingga 20 Jun 2018.
Kaitan yang dibuat dalam kajian ini mungkin menunjukkan peranan zat besi kepada otak yang sedang berkembang. Zat besi diperlukan untuk pelbagai jenis proses dalam badan. Untuk perkembangan saraf, zat besi digunakan dalam proses pembentukan selaput myelin dan juga pembentukan struktur pecahan dendrit. Lebih penting lagi, zat besi juga diperlukan sintesis neurotransmiter berteraskan monoamin (monoamine neurotransmitters), bahan yang memainkan peranan dalam keterjadian ASD dan juga ADHD. Walau bagaimanapun, kajian susulan yang lebih teliti diperlukan bagi memastikan kaitan punca dan sebab untuk zat besi dan kumpulan penyakit gangguan pembelajaran. Apa yang pasti, kekurangan hemoglobin bermakna bekalan oksigen kepada janin yang sedang membesar menjadi terhad sekaligus mempengaruhi perkembangan otak mereka.
Pengambilan zat besi dan hematinik yang lain seperti asid folik dan juga vitamin B12 adalah penting bagi menyokong keperluan hemoglobin dalam badan ibu yang mengandung dan juga untuk mencegah masalah saraf bayi. Memandangkan kekurangan zat besi dan juga anemia adalah sesuatu yang lazim dalam kalangan wanita dalam usia reproduktif, kajian ini dapat memberi sokongan kepada amalan pengambilan hematinik yang lebih awal sebelum merancang untuk hamil. Jika anda sedang hamil, pastikan anda datang mengikut jadual kedatangan yang disediakan di klinik ibu mengandung bagi membolehkan masalah anemia dikesan dengan lebih awal.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen