backup og meta

Jering dan Kandungan Asid Djenkolik yang Dimilikinya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    Jering dan Kandungan Asid Djenkolik yang Dimilikinya

    Jika di Malaysia, jering sering dimakan dengan cara direbus dan dimakan bersama-sama parutan kelapa bersama sedikit gula dan garam. Ia juga dimakan secara mentah, dipanggang atau digoreng. Jika di Indonesia pula, jering kerap dimasak seakan-akan seperti sambal yang dipanggil sebagai ‘semur jengkol’. Walau bagaimanapun, tahukah anda bahawa, pengambilan jering secara berlebihan boleh menyebabkan keracunan dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap fungsi buah pinggang disebabkan kehadiran asid djenkolik didalam jering? Anda mungkin tidak tahu mengenai hal ini, oleh itu, ikuti kupasan mengenainya di bawah.

    Apakah sebenarnya jering?

    Jering yang dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Archidendron pauciflorum, A. jiringa, Pithecellobium jiringa, dan P. lobatum adalah tumbuhan yang berasal dari rantau Asia Tenggara. Penduduk di bahagian Barat memanggilnya sebagai dog fruit. Buahnya sangat popular di Malaysia (dipanggil sebagai jering), Myanmar (disebut “da nyin thee“), dan Thailand (disebut “luk-nieng‘ atau “luk neang“). Penduduk di Indonesia pula memanggilnya sebagai jengkol.

    Jering termasuk dalam keluarga legum (Fabaceae). Buahnya adalah pod dan bentuknya berputar dalam lingkaran lenggainya yang berwarna ungu tua. Terdapat biji buah didalam podnya dengan warna coklat yang sedikit berkilat. Jering boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan dalam air kencing selepas ia diproses oleh sistem pencernaan dalam tubuh, terutama sekali ketika ia dimakan secara mentah. Faedah kesihatan jenis legum ini tidak terlalu diketahui oleh masyarakat umum, walaupun buah ini cukup baik untuk memberikan kesihatan pada tubuh. Jering seringkali dihidangkan sebagai hidangan sampingan atau menu utama.

    Fakta nutrisi buah jering

    Berikut merupakan nilai nutrisi bagi setiap 100 gram hidangan buah jering.

    • Tenaga: 140 kcal
    • Protein: 6.3 gram
    • Lemak: 0.1 gram
    • Karbohidrat: 28.8 gram
    • Kalsium: 29 mg
    • Fosforus: 45 mg
    • Zat besi: 0.9 mg
    • Vitamin A: 0 IU
    • Vitamin B1: 0.65 mg
    • Vitamin C: 24 mg

    Manfaat kesihatan buah jering

    jering

    Disebalik baunya yang kurang menyenangkan, terdapat beberapa faedah buah jering terhadap kesihatan yang kebiasaannya tidak diketahui oleh orang ramai. Berikut merupakan antara beberapa manfaat yang boleh didapati daripada pengambilan buah jering.

    Pembentukan tisu badan

    Kandungan protein yang tinggi dalam buah jering dapat membantu pembentukan tisu dalam tubuh. Kandungan protein dalam buah ini adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan kandungan protein dalam kacang hijau dan kacang soya.

    Mencegah anemia

    Jering juga kaya dengan zat besi di mana zat besi ini sangat penting untuk mencegah dan mengatasi kekurangan pengeluaran sel darah merah di dalam tubuh. Anda pasti mengetahui bahawa apabila tubuh badan mengalami kekurangan zat besi, pengeluaran sel darah merah akan berkurang. Akibatnya, bekalan oksigen dan nutrien yang diperlukan oleh semua sel dalam badan juga akan dikurangkan. Kesan kekurangan bekalan oksigen dan nutrien dalam sel akan mengurangkan fungsi/prestasi sel. Untuk golongan wanita, dengan memakan buah jering semasa haid sangat disyorkan agar tubuh badan anda tidak mengalami kekurangan zat besi disebabkan oleh banyaknya darah haid yang keluar dari badan.

    Mengelakkan kehilangan tulang dan menguatkan tulang serta gigi

    Selain kandungan zat besi dan protein, zat lain yang terdapat dalam buah jering adalah kalsium dan fosforus. Kedua-dua bahan ini adalah bahan yang diperlukan oleh tulang. Kalsium dan fosforus boleh mencegah kehilangan tulang (osteoporosis). Oleh itu, dengan memakan buah jering dengan jumlah yang sederhana dan tidak berlebihan boleh membantu tulang anda untuk menjadi lebih kuat.

    Mencegah radikal bebas

    Buah jering mengandungi beberapa jenis vitamin seperti vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, dan vitamin C. Vitamin A bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan mata dan dapat meningkatkan ketajaman visual penglihatan. Vitamin A dan vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan. Faedah antioksidan telah diketahui berpotensi untuk mengatasi bahan radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser.

    Bersifat antimikrob

    Terdapat aktiviti antimikrob ekstrak metanol daripada daun, pod dan buah jering. Kajian menunjukkan bahawa kesemua ekstrak buah jering mempunyai aktiviti antibakteria dan aktikulat yang melawan organisme yang diuji. Lektin daripada buah jering pula mempunyai aktiviti antikulat dalam melawan Exserohilum turcicum, Fusarium oxysporum dan Colletotrichum cassiicola walaupun dengan kepekatan yang rendah

    Mencegah diabetes

    Buah jering boleh mengelakkan kejadian kencing manis. Ini kerana didalam buah jering, terdapat beberapa bahan yang tidak terdapat dalam kandungan makanan yang lain. Bahan ini dipanggil bahan asid djenkolik. Asid djenkolik ini adalah kristal, ia tidak larut oleh kandungan air. Disebabkan oleh sifatnya yang diuretik, buah jering ini tidak digalakkan untuk dimakan oleh pesakit yang mengalami masalah buah pinggang. Adalah dikhuatiri bahawa buah pinggang tidak dapat menapis asid djenkolik daripada buah ini. Kesan buah pinggang tidak dapat menapis asid djenkolik ini adalah sukar untuk menghentikan pembuangan air kencing. Selain itu, terdapat kajian yang pernah dijalankan keatas tikus yang menunjukkan bahawa pengambilan buah ini oleh tikus yang mempunyai diabetes telah mengurangkan gula darah tikus tersebut setelah diambil selama 12 minggu. Walaupun ia menunjukkan kesan yang baik terhadap mata, pankreas dan paru-paru tikus, ia turut menyebabkan hypertrophy dan kesan negatif pada hati, buah pinggang, jantung, paru-paru dan pankreas terhadap tikus normal. Kajian yang lebih lanjut mengenai kesannya terhadap manusia diperlukan untuk melihat sama ada kesan tersebut bersifat sama atau tidak keatas manusia. Manfaat lain yang boleh diperoleh daripada buah jering adalah untuk mengawal paras gula darah, oleh itu ia sangat bermanfaat untuk digunakan oleh pesakit kencing manis. Buah jering mengandungi bahan gula yang ‘mesra’ dengan pesakit kencing manis. Gula dalam buah ini adalah gula yang paling mudah diuraikan yang selamat untuk pesakit kencing manis. Gula dalam buah ini tidak sepertimana bahan gula dalam makanan lain seperti makanan yang mengandungi karbohidrat. Gula daripada buah ini mudah untuk diuraikan dan kemudiannya akan ditukar menjadi tenaga oleh tubuh. Hasilnya, stamina badan akan meningkat. Proses penguraian bahan gula yang sempurna tidak akan menyebabkan deposit gula darah dalam tubuh.

    Menyelesaikan masalah penyempitan saluran darah

    Pesakit yang mengalami penyakit jantung akan mengalami penyempitan pembuluh darah dan kemudiannya menyebabkan aliran darah ke bahagian hati menjadi tidak lancar. Kandungan mineral dalam buah ini dapat melebarkan saluran darah yang sempit dan mencegah saluran darah daripada menjadi sempit.

    Boleh menstabilkan organ penting dalam badan

    Organ-organ penting dalam badan akan berfungsi dengan baik dan stabil jika badan memenuhi keperluan asid folik dan vitamin B6. Keadaan sebaliknya akan berlaku jika tubuh badan kekurangan asid folik dan vitamin B6. Tidak hairanlah jika wanita hamil juga dinasihatkan untuk mengambil makanan yang kaya dengan asid folik untuk perkembangan janin. Salah satu contoh makanan yang kaya dengan asid folik ialah buah jering. Tetapi sebaiknya diingatkan agar mengambil buah ini secara mencukupi tanpa berlebih-lebihan. Jangan terlalu berlebihan kerana penggunaan buah ini secara berlebihan akan menjadi kesan yang kurang baik kepada organ buah pinggang.

    Antioksidan bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan jantung

    Buah jering mengandungi bahan antioksidan yang sangat baik untuk kesihatan tubuh. Begitu juga untuk kesihatan jantung. Toksin dalam tubuh badan akan menjadi sukar untuk memasuki badan terutamanya di bahagian jantung, disebabkan oleh perlindungan yang disediakan oleh antioksidan ini. Sebarang perkara yang menghalang aliran darah di dalam saluran darah juga akan hilang disebabkan oleh bahan yang terkandung dalam buah ini. Aliran darah akan menjadi lebih lancar dan jantung akan berfungsi dengan baik dan optimum.

    Mengurangkan masalah perut

    Buah ini juga dapat melegakan perut kembung. Kandungan serat yang tinggi boleh membantu melancarkan pengeluaran najis sehingga secara tidak langsung menjadikan perut tidak bermasalah. Salah satu punca perut kembung pada seseorang adalah disebabkan oleh pembuangan air yang tidak lancar dan tidak teratur.

    Manfaat lain buah jering

    Terdapat lebih banyak manfaat jering untuk kesihatan. Ini termasuklah:

  • Mengatasi penyakit jantung koronari
  • Mengatasi sembelit dalam kalangan wanita hamil
  • Mencegah kecacatan pada bayi
  • Pertumbuhan tulang dan gigi janin yang masih dalam rahim
  • Menyuburkan mata
  • Antioksidan untuk jantung
  • Mengawal gula darah
  • Kesan sampingan pemakanan buah jering 

    jering

    Terdapa beberapa kesan sampingan yang mungkin anda dapati selepas pemakanan buah jering.

    • Pengambilan buah jering secara berlebihan boleh menyebabkan kesan toksik ke atas jantung, ginjal, hati dan pankreas.
    • Buah jering adalah bersifat sedikit toksik disebabkan oleh kandungan asid djenkolik, asid amino yang boleh menyebabkan djenkolisme (keracunan buah jering). Simptom yang berlaku termasuklah kekejangan otot, muntah-muntah, gout, pengekalan kencing, dan kegagalan buah pinggang akut.
    • Memakan buah jering dalam jumlah yang kecil akan menyebabkan masalah penampilan kerana ia menghasilkan nafas, peluh, najis, dan air kencing yang berbau. Bau ini dapat diatasi dengan membersihkan diri dengan peralatan kebersihan yang mengandungi wangian, seperti ubat gigi, pencuci mulut, sabun dan deodoran. Bau yang terhasil semasa pembuangan air kencing dapat dikurangkan jika pembilasan dilakukan sebelum dan selepas pembuangan air kencing dengan jumlah air yang mencukupi atau jika perlu, bilas dengan menggunakan cecair pembersih.
    • Buah ini juga boleh mengganggu kesihatan seseorang kerana pengambilan buah ini secara berlebihan dapat menyebabkan pembentukan kristal dalam saluran, yang disebut “jengkolan’. Ini berlaku kerana buah ini mengandungi asid djenkolik yang tinggi dan sukar untuk larut dalam air pada pH berasid. Risiko jengkolan ini bervariasi dalam setiap individu dan secara genetik dipengaruhi oleh persekitaran.

    Ciri-ciri fisiokimia buah jering

    Kaedah memasak seperti merebus, menggoreng dan memanggang buah jering ini tidak menghalang ketoksikannya daripada menghilang. Buah ini terkenal dengan bau tidak menyenangkan pada pernafasan yang dihasilkannya jika dimakan. Air kencing pula akan berbau sulfur. Keracunan buah jering akan berlaku jika ia dimakan secara mentah atau kekurangan pengambilan air selepas memakannya.

    Benarkah buah jering boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang?

    Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, buah ini mengandungi kandungan asid djenkolik yang berisiko menyebabkan keracunan kepada pemakannya. Asid djenkolik adalah sejenis asid amino bukan protein yang mengandungi sulfur. Peranan unsur sulfur inilah yang menyebabkan buah ini mempunyai bau yang tajam. Kandungan asid dejnkolik dalam buah jering bergantung kepada jenis dan usia buah. Biji buah yang muda mengandungi asid djenkolik yang agak kurang berbanding daripada biji buah yang lebih tua. Biji buah yang tua mengandungi sekitar 1 – 2% asid djenkolik dari jumlah berat keseluruhannya, manakala bagi biji buah yang masih muda (berat 15 gram) ia mengandungi kira-kira 0.15 – 0.30 gram asid djenkolik.

    Keracunan asid djenkolik adalah keadaan yang jarang berlaku, tetapi ia merupakan faktor penyebab utama kegagalan buah pinggang akut. Di pedalaman Kalimantan, berdasarkan laporan kajian dari Nur C. Bunawan et al pada tahun 2014 yang dilaporkan dalam National Center for Biotechnology Information (NCBI), terdapat sebanyak 96 kes keracunan jering yang dilaporkan – kebanyakan pesakit pulih dengan rawatan pesakit luar, tetapi seramai empat orang telah dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang akut. Satu kajian dari Universiti Malaysia Sarawak pada tahun 2007, yang dilaporkan oleh Science Daily pula melaporkan, seorang pesakit mengadu sakit kolik di bahagian pinggang kiri, sakit semasa membuang air kecil, kencing berdarah (hematuria), dan air kencing berbau busuk sehari setelah beliau memakan jering. Beliau juga mengadu mengenai pengeluaran air kencing yang sedikit dan tidak berupaya untuk membuang air kecil – kesemuanya menunjukkan kegagalan buah pinggang akut.

    Keracunan asid djenkolik boleh berlaku selepas memakan buah yang masih mentah atau kurang matang. Hal ini disebabkan oleh sebatian asid djenkoliknya yang masih kekal dan aktif. Walau bagaimanapun, tidak kesemua individu yang memakan buah ini akan mengalami keracunan ini, kerana tahap sensitiviti seseorang terhadap asid djenkolik akan bergantung kepada keadaan asid perut, jumlah buah yang dimakan, atau kaedah memasaknya.

    Bagi individu yang mempunyai keadaan asid perut yang tinggi, mereka akan lebih berisiko untuk mengalami keracunan. Ini adalah kerana asid djenkolik yang tidak larut dalam air akan menjadi mengalami proses kristalisasi dalam kepekatan asid perut yang tinggi. Kristal ini boleh menyebabkan penyumbatan dalam saluran kencing dan juga buah pinggang. Dalam beberapa kes yang agak teruk, pemakanan buah ini yang terlalu banyak boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Oleh itu, asid djenkolik dianggap toksik kepada buah pinggang.

    Bagaimanakah cara untuk mengubati keracunan asid djenkolik?

    jering

    Keracunan asid djenkolik yang ringan (sakit belakang dan kesakitan kolik di dalam perut) secara umumnya boleh diuruskan dengan meningkatkan pengambilan air minuman untuk mengalkalinisasi air kencing. Manakala dalam kes keracunan yang teruk (oliguria, hematuria, anuria), pesakit perlu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Apakah yang perlu dilakukan untuk mencegah keracunan buah pinggang akibat daripada pengambilan jering yang berlebihan?

    Anda harus mengelakkan daripada memakan buah ini apabila perut kosong, dan jangan disertai dengan pengambilan makanan atau minuman lain yang juga berasid. Selain itu, elakkan juga daripada memakan buah ini dalam keadaan mentah. Masak buah ini sehingga ia masak sepenuhnya agar kandungan asid djenkolik memecah dan mengurangkan kepekatannya.

    Kajian telah menunjukkan bahawa buah jering mempunyai sifat antibakteria, antioksidan, anti-gastrik, antinematod, dan antidiabetes. Walau bagaimanapun, sebatian nitrogen yang terdapat dalam buah ini boleh menyebabkan djenkolisme. Elakkan pemakanan buah ini secara berlebihan untuk memastikan anda tidak terkesan dengan djenkolisme dan masalah buah pinggang yang mungkin terjadi. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan