home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Ketegangan Otot: Ini Info Lengkap Anda Perlu Tahu

Definisi|Simptom|Punca|Faktor risiko|Diagnosis & rawatan|Perubahan gaya hidup & rawatan rumah
Ketegangan Otot: Ini Info Lengkap Anda Perlu Tahu

Definisi

Apakah itu ketegangan otot?

Ketegangan otot, atau otot ditarik, berlaku apabila otot anda terlebih regangan atau terkoyak.

Ketegangan boleh berlaku pada mana-mana bahagian otot, tetapi ia sering berlaku pada bahagian belakang, leher, bahu dan hamstring – otot di belakang paha.

Bagaimana kekerapan ketegangan otot berlaku?

Masalah ini adalah perkara biasa. Otot tegang boleh berlaku kepada mana-mana individu, pada sebarang peringkat usia.

Otot tegang boleh diatasi dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan lebih maklumat lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tulang/Otot, sila dapatkannya di sini.

Simptom

Apakah simptom ketegangan otot?

Anda akan rasa otot tegang apabila masalah ini terjadi. Antara simptom lain yang biasa berlaku adalah:

  • Kesakitan secara tiba-tiba
  • Sakit pada bahagian tubuh
  • Pergerakan terhad
  • Lebam atau perubahan warna kulit
  • Bengkak
  • Kekejangan atau otot tegang
  • Kaku
  • Lemah badan

Dalam ketegangan ringan, otot yang terkoyak mungkin akan berasa sedikit kaku tetapi masih cukup fleksibel untuk berfungsi.

Ketegangan yang serius adalah apabila otot tegang dan terkoyak teruk. Ini akan menyebabkan kesakitan dan mengehadkan pergerakan.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak dinyatakan di atas. Jika anda mempunyai keraguan tentang simptom, anda boleh berjumpa dengan doktor.

Bilakah saya perlu berjumpa doktor?

sakit belakang

Jika kecederaan yang anda alami ketara (atau rawatan di rumah tidak mendatangkan sebarang kelegaan dalam tempoh 24 jam), hubungi doktor anda.

Jika anda mendengar bunyi ‘pop’ bersama kecederaan, tidak boleh berjalan, terdapat bengkak, kesakitan, demam atau luka, anda patut mendapatkan pemeriksaan di jabatan kecemasan hospital.

Cara paling baik, jika anda mengalami sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau terdapat pertanyaan, sila berjumpa dengan doktor anda.

Setiap badan mempunyai tindak balas yang berbeza. Ia adalah cara terbaik untuk berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan penyelesaian terbaik.

Punca

Apa yang menyebabkan berlakunya ketegangan otot?

Ketegangan otot akut adalah apabila otot anda terkoyak secara tiba-tiba dan tanpa diduga. Koyakan ini boleh berlaku kerana kecederaan atau trauma. Otot tegang boleh disebabkan oleh:

  • Tidak memanaskan badan dengan betul sebelum sebarang aktiviti fizikal
  • Fleksibiliti badan yang lemah
  • Keadaan badan yang lemah
  • Keletihan yang keterlaluan

Ketegangan akut boleh berlaku apabila anda:

  • Terjatuh atau hilang keseimbangan badan
  • Melompat
  • Berlari
  • Membuang sesuatu
  • Mengangkat sesuatu yang berat
  • Mengangkat sesuatu apabila anda berada dalam posisi yang tidak sesuai/janggal

Masalah ini juga kerap berlaku dalam cuaca yang sejuk. Ini kerana otot menjadi kaku dalam suhu yang rendah.

Jadi, penting untuk anda mengambil masa tambahan bagi memanaskan badan dalam situasi seperti ini untuk mengelakkan ketegangan.

Ketegangan kronik terjadi apabila pergerakan berulang dilakukan. Ini boleh disebabkan oleh:

  • Sukan seperti mendayung, tenis, golf atau besbol
  • Menahan belakang badan atau leher dalam posisi yang janggal atau tidak bersesuaian untuk tempoh yang lama, seperti apabila anda di tempat kerja
  • Postur badan yang lemah

Faktor risiko

Terdapat banyak faktor risiko untuk berlaku ketegangan otot, seperti:

  • Keadaan atlet yang lemah. Individu yang cuba melakukan aktiviti sukan berat tanpa menyesuaikan diri terlebih dahulu, seperti rutin senaman pergelangan kaki atau regangan otot betis dan senaman regangan, akan meningkatkan risiko untuk mengalami terseliuh atau ketegangan pada ligamen pergelangan kaki dan otot semasa beraktiviti
  • Keletihan otot dan ligamen. Apabila otot dan ligamen dalam keadaan letih atau pada penghujung aktiviti berat, seseorang individu berisiko tinggi untuk cedera jika mereka ‘memaksa’ atau ‘menolak’ keletihan, demi untuk melakukan lebih banyak aktiviti berbanding berehat. Contohnya, bagi seseorang individu yang berlari maraton cenderung berisiko untuk mengalami kecederaan seperti terseliuh atau ketegangan pergelangan kaki pada beberapa batu terakhir perlumbaan
  • Tidak melakukan aktiviti pemanasan badan. Atlet yang melakukan aktiviti berat tanpa sesi pemanasan badan terlebih dahulu, seperti regangan mudah atau berjalan sebelum memulakan aktiviti pecut, berisiko mengalami masalah pergelangan kaki terseliuh dan ketegangan. Sebelum tempoh pemanasan badan, otot dan ligamen berada dalam keadaan ketat, kurang fleksibiliti, bermakna risiko besar untuk otot tegang dan terkoyak
  • Mengangkat berat berlebihan. Berat yang berlebihan meletakkan impak bebanan yang besar pada badan semasa berjalan, berlari dan melompat. Ini meningkatkan kemungkinan ligamen dan/atau otot meregang dan koyak. Sesetengah kajian mendapati bahawa risiko untuk berlaku ketegangan dan terseliuh otot adalah sangat tinggi untuk individu lelaki dengan berat badan berlebihan berbanding individu wanita dengan berat badan berlebihan
  • Atlet wanita berusia lebih 30 tahun. Beberapa kajian menunjukkan bahawa wanita berusia lebih 30 tahun, lebih berisiko untuk berdepan masalah pergelangan otot terseliuh berbanding individu lelaki dalam kumpulan usia yang sama, bergantung kepada indeks jisim badan mereka

Diagnosis & rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SENTIASA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

menangani ketegangan otot

Bagaimana ketegangan otot didiagnosis?

Doktor akan mengambil kira sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal.

Semasa pemeriksaan, ia adalah penting untuk menentukan sama ada sebahagian atau keseluruhan otot mengalami koyakan, yang mungkin akan menyebabkan tempoh penyembuhan bertambah, (berkemungkinan melibatkan pembedahan) dan mungkin akan merumitkan lagi proses penyembuhan.

Sinar-X atau ujian makmal selalunya tidak diperlukan, kecuali terdapat sejarah trauma atau bukti berlaku jangkitan.

Bagaimana masalah ini dirawat?

Rawatan mungkin melibatkan ubat antiradang dan penghilang kesakitan bagi mengurangkan rasa sakit dan pembengkakan, bersama terapi fizikal untuk membantu menguatkan otot dan memulihkan pergerakan.

Dalam kes yang teruk, pembedahan mungkin diperlukan untuk membaiki otot.

Perubahan gaya hidup & rawatan rumah

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan di rumah yang boleh membantu mengatasi masalah ini?

Berikut adalah perubahan gaya hidup dan rawatan yang mungkin dapat memulihkan masalah ketegangan yang dihadapi:

Kebanyakan masalah ketegangan otot ini boleh dirawat di rumah. Masalah ketegangan otot yang kecil boleh dirawat dengan rehat, menggunakan ais, pemampatan, dan ketinggian (Rice, ice, compression, elevation – RICE).

Rehat

Elak daripada menggunakan otot beberapa hari, terutama jika pergerakan akan menyebabkan kesakitan bertambah. Terlalu lama berehat akan menyebabkan otot menjadi lemah, yang akan memanjangkan proses pemulihan. Selepas dua hari, cuba untuk menggunakan otot yang terjejas, tetapi harus berwaspada agar tidak terlebih melakukannya.

Ais

Letakkan ais sebaik sahaja selepas berlaku kecederaan pada otot. Ini akan mengurangkan bengkak. Jangan letak ais secara langsung kepada kulit. Gunakan pek ais atau balutkan dengan tuala. Biarkan ais pada otot selama 20 minit. Ulangi setiap jam pada hari pertama. Untuk hari yang berikutnya, gunakan ais setiap empat jam.

Pemampatan

Untuk mengurangkan bengkak, balut bahagian yang terjejas dengan pembalut elastik sehingga bengkak surut. Elakkan daripada membalut terlalu ketat kerana ia akan mengganggu dan mengurangkan peredaran darah anda.

Ketinggian

Jika boleh, pastikan kecederaan otot tegang yang dialami diangkat melebihi paras jantung.

pemanasan badan elak otot tegang

Kaedah penjagaan diri lain, termasuk:

  • Menggunakan ubat antiradang, seperti ibuprofen (Advil). Ini boleh membantu mengurangkan kesakitan atau bengkak. Acetaminophen (Tylenol) boleh membantu mengurangkan kesakitan
  • Selepas tiga hari, sapukan haba pada otot beberapa kali sehari. Ini boleh membantu membawa peredaran darah ke bahagian terjejas untuk penyembuhan
  • Jangan rehatkan otot untuk terlalu lama. Ini boleh menyebabkan otot menjadi kaku dan lemah. Mulakan dengan regangan ringan secepat yang mungkin. Secara perlahan tingkatkan tahap aktiviti anda
  • Apabila anda kembali melakukan aktiviti seperti biasa, pastikan anda buat pemanasan badan dan regangan sebelum bersenam. Ini boleh membantu meningkatkan aliran darah kepada otot dan mengurangkan risiko kecederaan
  • Anda harus berusaha untuk kekal sihat. Anda akan kurang berisiko untuk mengalami ketegangan jika otot anda sihat dan kuat
  • Jika ketegangan yang dialami adalah teruk, anda memerlukan perhatian perubatan. Terapi fizikal adalah digalakkan

Langkah pencegahan seterusnya elak otot tegang:

  • Elak kecederaan dengan melakukan regangan setiap hari
  • Mulakan program senaman dengan mendapatkan nasihat doktor
  • Lakukan regangan selepas bersenam
  • Lakukan rutin pemanasan badan sebelum melakukan sebarang aktiviti berat, seperti berlari perlahan setempat untuk beberapa minit

Seandainya anda mempunyai sebarang persoalan, sila berunding dengan doktor untuk mendapatkan pemahaman dan penyelesaian terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Mayo Clinic Staff. (2017). Back pain.
mayoclinic.org/diseases-conditions/back-pain/symptoms-causes/syc-20369906
Accessed October 18, 2017

Muscle strain (pulled muscle). (n.d.).
hopkinsmedicine.org/orthopaedic-surgery/specialty-areas/sports-medicine/conditions-we-treat/muscle-strains.html  Accessed October 18, 2017

Sprains and strains: In-depth. (2015).
niams.nih.gov/health-topics/sprains-and-strains  Accessed October 18, 2017

Malachy P, McHugh MP, et al. Risk factors for noncontact ankle sprains in high school athletes: the role of hip strength and balance ability. Am J Sports Med, March 2006; 34 (3):464-470. doi:10.1177/0363546505280427. Accessed October 18, 2017

Waterman BR, Owens BD et al. The epidemiology of ankle sprains in the United States. J Bone Joint Surg Am. 2010 Oct 6;92 (13):2279-84. doi: 10.2106/JBJS.I.01537. Accessed October 18, 2017

Barrett J, Bilisko T. The role of shoes in the prevention of ankle sprains. Sports Medicine. Accessed October 18, 2017

 

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 21/06/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman