Obesiti
Obesiti adalah salah satu faktor risiko untuk kegagalan buah pinggang yang boleh dikawal dan diubahsuai. Menurut kajian epidemiologi berskala besar di Sweden, berat badan yang berlebihan (mengikut pengkelasan BMI) walaupun pada usia 20 tahun, didapati mempunyai kaitan risiko sebanyak 3 kali ganda untuk menghidap penyakit kronik buah pinggang. Peranan obesiti dalam mengakibatkan penyakit kronik buah pinggang dikatakan disebabkan oleh proses keradangan, stres oksidatif, kecederaan endotelial, dan juga peningkatan isipadu cecair badan (hypervolemia). Selain BMI yang tinggi, membawa berat berlebihan pada bahagian perut/abdomen turut dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk menghidap penyakit kronik buah pinggang.
Status Sosioekonomi
Status sosioekonomi dapat ditentukan berdasarkan pendapatan, pekerjaan, pendidikan, aset dan juga keadaan perumahan seseorang. Mereka yang mempunyai pendapatan bawah USD 16,000 setahun berbanding mereka yang mempunyai pendapatan lebih USD 35,000 setahun, dikaitkan dengan 2.4 kali ganda peningkatan penyakit buah pinggang. Dalam kajian lain, mereka yang menghidap penyakit buah pinggang adalah lazimnya mereka yang berasal daripada keluarga pekerja yang tidak berkemahiran.
Merokok
Merokok dikatakan ibu segala penyakit kerana keupayaannya untuk mengakibatkan kecederaan sistemik kepada tubuh badan, termasuklah organ dan struktur-struktur lain. Ianya meningkatkan risiko penyakit buah pinggang dengan meletakkan tubuh badan dalam keadaan yang cenderung untuk keradangan, kecederaan endotelial dan juga stres oksidatif.
Bahan Toksik Terhadap Buah Pinggang (Nefrotoksik)
Alkohol, dadah rekreasi, sesetengah ubat tahan sakit dan pendedahan kepada logam berat telah dikaitkan dengan penyakit kronik buah pinggang. Penggunaan pil yang mengandungi Acetaminophen dengan kerap dikaitkan dengan risiko penyakit buah pinggang yang lebih tinggi.
Kencing Manis (Diabetes)
Kencing manis adalah salah satu punca utama penyakit kronik buah pinggang dan juga kegagalan buah pinggang bukan sahaja dalam negara maju, bahkan dalam negara membangun. Menurut senarai pendaftar Badan Nefrologi Turki, 37.3% daripada mereka yang menggunakan khidmat dialisis adalah pesakit kencing manis. Di Amerika Syarikat, separuh daripada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang adalah penghidap penyakit diabetik nefropati (kecederaan buah pinggang akibat kencing manis).
Darah Tinggi (Hipertensi)
Tekanan darah tinggi atau Hipertensi telah lama dikenal pasti sebagai punca utama kepada berlakunya proses penyakit kronik buah pinggang dan juga kegagalan buah pinggang, dan ianya mewakili 27% daripada kesemua kes kegagalan buah pinggang dalam pesakit di Amerika Syarikat. Tekanan darah tinggi sistemik, dalam tempoh yang lama, menyebabkan berlakunya kecederaan dan pembentukan parut pada struktur glomerulus yang akhirnya membawa kepada terjejasnya fungsi buah pinggang. Justeru, adalah sangat penting untuk anda lakukan saringan kesihatan untuk memeriksa tekanan darah anda dan juga meneruskan pengambilan ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi (sekiranya anda telah didiagnos dengan Hipertensi). Antara faktor risiko Hipertensi di Malaysia adalah merokok dan juga pengambilan garam yang berlebihan.
Pada peringkat awal, penyakit tekanan darah tinggi mungkin tidak mempunyai apa-apa simptom atau tanda yang jelas dan nyata. Lazimnya, apabila penyakit ini telah menjadi lebih teruk dan kerosakan sudah mula berlaku, barulah simptom-simptom mula muncul. Justeru, sekiranya anda berisiko untuk menghidap penyakit kronik buah pinggang berdasarkan faktor-faktor yang disebut dalam artikel ini, pastikan anda berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan pemeriksaan, ujian saringan dan juga konsultasi.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen