Anda lebih selesa duduk bersila atau di atas kerusi? Sudah tentulah bersila, sebab itulah anda memilih untuk membaca artikel ini untuk mengetahui kebaikannya, betul tak?
Kebanyakan daripada kita akan lebih menghabiskan masa dengan duduk di kerusi atau sofa, terutamanya buat mereka yang bekerja di pejabat.
Bahkan, mungkin ketika membaca perkongsian artikel Hello Doktor ini juga anda sedang duduk di atas kerusi. Tetapi tidak dinafikan, ada sesetengah individu lebih gemar duduk di lantai seperti bersila atau bersimpuh.
Dan tabiat duduk bersila ini boleh dikatakan sebahagian daripada gaya hidup harian bagi kebanyakan sesetengah kaum seperti ketika waktu makan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.
Suka duduk bersila di atas lantai? Ada manfaatnya!
Namun mungkin ramai yang tidak mengetahui, sebenarnya tabiat duduk di lantai ini ada faedah dan manfaat yang tersendiri.
Amalan ini dikatakan dapat membantu meningkatkan fleksibiliti dan mobiliti tubuh.
Keadaan ini kerana ia membolehkan anda secara aktif meregangkan bahagian bawah badan.
Di samping itu, tabiat bersila, bersimpuh atau duduk seakan berlutut seperti budaya Jepun atau dikenali sebagai ‘seiza’ ini dapat meningkatkan kestabilan semula jadi otot teras anda.
Tetapi, jika ia dilakukan dengan cara yang salah, cara duduk di lantai ini boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan.
Keadaan ini akan lebih cenderung terjadi sekiranya seseorang individu itu telah sedia ada mempunyai masalah berkaitan sakit sendi otot.
Tetapi betul ke tabiat ini ada kebaikannya?
Ayuh, kita ketahui apakah mungkin kelebihan dan kekurangan amalan duduk di lantai ini.
Baca juga:
- BAHAYA! 5 Kesan Duduk Bersilang Kaki, Ibu Hamil Wajib Baca Nombor 5
- Macam Kena Renjatan, Ini Cara Terbaik Rawat SAKIT TULANG EKOR Ketika Duduk
Mengapa anda perlu duduk bersila?
Antara kelebihan duduk di atas lantai termasuklah:
- Menggalakkan kestabilan semula jadi diri. Apabila duduk bersila di lantai tanpa sokongan kerusi, anda perlu menggunakan teras diri untuk keseimbangan
- Masalah ketegangan pada pinggul akan berkurangan. Tabiat duduk di atas kerusi untuk jangka masa yang lama boleh menyebabkan bahagian pinggul berasa kebas dan tegang. Namun apabila duduk di atas lantai, anda boleh meregangkan fleksor pinggul dengan mudah
- Meningkatkan fleksibiliti. Kedudukan duduk di lantai membolehkan anda meregangkan otot badan bawah
- Mobiliti meningkat. Semasa anda meregangkan otot tertentu secara aktif, pergerakan akan bertambah baik
- Lebih banyak aktiviti otot. Beberapa postur duduk seperti berlutut atau mencangkung, adalah dikenali sebagai posisi rehat aktif (active rest). Amalan ini memerlukan lebih banyak aktiviti otot berbanding daripada sekadar duduk di kerusi
Kelemahan duduk di lantai
Walaupun duduk di atas lantai mungkin mempunyai faedah, tetapi sekiranya ia dilakukan dengan cara yang tidak betul boleh mengundang masalah.
Antara kesan sampingan yang berpotensi untuk terjadi termasuklah:
- Mewujudkan tekanan berlebihan atau tambahan pada sendi. Dalam beberapa posisi duduk, berat badan atas membebani bahagian anggota bawah. Keadaan ini boleh menyebabkan tekanan pada lutut dan pergelangan kaki
- Mengurangkan peredaran darah. Beban bahagian atas badan juga boleh mengakibatkan kurangnya peredaran darah pada bahagian bawah badan
- Postur yang lemah. Elakkan duduk secara membongkok atau bermalasan (slouching). Jika tidak, anda berkemungkinan besar akan mengalami atau memburukkan lagi masalah postur badan dan sakit belakang
- Amalan duduk bersila atau bersimpuh mungkin akan memburukkan lagi masalah sendi sedia ada. Umumnya, tabiat duduk di atas lantai tidak begitu sesuai untuk individu yang mengalami masalah pada bahagian pinggul, lutut atau pergelangan kaki
- Kesukaran untuk berdiri kembali. Jika anda mempunyai masalah sendi, ia juga akan menyukarkan anda untuk berdiri selepas bersila di lantai
Jadi adakah terdapat cara atau langkah untuk mengelakkan berlakunya sebarang masalah jika ingin duduk bersila?
Langkah berjaga-jaga semasa duduk bersila
Untuk mengelakkan kesakitan atau kecederaan, berikan perhatian kepada badan anda. Inilah yang harus anda perhatikan semasa duduk:
1. Seiza (berlutut)
Duduk dalam posisi seiza atau berlutut boleh memberikan tekanan pada sendi lutut atau pergelangan kaki.
Lenturan lutut yang mendalam juga boleh mengakibatkan kerengsaan pada tulang rawan lutut.
Sebaiknya, ubah posisi duduk di lantai anda jika anggota badan bawah terasa sakit atau kebas.
Anda juga boleh cuba duduk di atas sebelah lutut manakala, sebelah kaki dibengkokkan ke perut.
2. Mencangkung
Posisi duduk ini dikatakan kurang stabil berbanding kedudukan lain kerana punggung tidak berada di atas lantai.
Oleh itu ia memerlukan lebih banyak aktiviti dan keseimbangan otot. Ia juga melibatkan lenturan lutut yang melampau.
Sekiranya anda berdepan kesukaran dengan gaya duduk ini, bersandar pada sofa atau dinding untuk keseimbangan.
Anda juga disarankan untuk menukar ke posisi seperti duduk bersila jika berasa sakit pada pergelangan kaki atau lutut.
3. Duduk bersila
Sekiranya dilakukan dengan salah, duduk dalam posisi ini boleh memburukkan lagi masalah sakit belakang dan postur badan yang lemah.
Elakkan membongkok belakang badan semasa duduk dalam posisi ini. Pastikan kedudukan tulang belakang dalam keadaan yang neutral.
Jangan lupa untuk pastikan berat badan berada pada bahagian pinggul dan bukannya kaki. Ini akan membantu mengurangkan tekanan pada sendi pergelangan kaki anda.
Sentiasa berwaspada
Sekiranya anda menghabiskan banyak masa dengan duduk di kerusi, menukar amalan kepada duduk bersila mungkin akan memberikan manfaat.
Ia dapat membantu meregangkan otot di bahagian bawah badan anda.
Paling penting, tidak kira bagaimana atau di mana anda duduk, elakkan berada dalam satu posisi terlalu lama.
Tukar kedudukan jika anda mengalami kesakitan atau ketidakselesaan, okay?
[embed-health-tool-bmi]