backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Macam Kena 'Renjatan', Ini Cara Terbaik Rawat SAKIT TULANG EKOR Ketika Duduk

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 05/10/2022

    Macam Kena 'Renjatan', Ini Cara Terbaik Rawat SAKIT TULANG EKOR Ketika Duduk

    Sakit tulang ekor atau coccydynia merupakan sejenis kesakitan yang berlaku pada struktur yang terletak di bahagian bawah tulang belakang.

    Selalunya, kesakitan ini terjadi disebabkan trauma pada kawasan tulang ekor seperti jatuh, kemalangan, duduk yang terlalu lama ataupun melahirkan anak.

    Simptom utama sakit di bahagian tulang ekor adalah rasa sakit yang menyengat ketika melakukan beberapa aktiviti seperti duduk ataupun bersandar.

    Kesakitan ini boleh dirasai di kawasan bawah tulang belakang dan di antara punggung. Bagi wanita, sakit tulang ekor boleh menimbulkan ketidakselesaan ketika datang haid.

    Coccydynia merupakan sebuah kondisi yang sukar untuk dikenal pasti kerana terlalu banyak penyakit yang berkongsi simptom yang sama dengannya.

    Oleh sebab itu, penting untuk anda berjumpa dengan doktor untuk memastikan sama ada simptom yang anda alami bertepatan ataupun tidak dengan penyakit coccydynia.

    Bagaimana saya boleh mengurangkan sakit di tulang ekor?

    sakit tulang ekorCoccydynia selalunya akan sembuh dengan sendirinya dalam masa beberapa minggu atau bulan.

    Namun, sementara menunggu sakit tulang ekor benar-benar sembuh, anda boleh melakukan beberapa perkara untuk mengurangkan kesakitan yang dialami.

    Sebagai contoh, cuba:

    1. Condongkan badan ke hadapan semasa duduk.
    2. Duduk di atas bantal berbentuk donat atau berbentuk V.
    3. Letakkan pek pemanas atau pek ais pada kawasan yang sakit.
    4. Ambil ubat tahan sakit secara over-the-counter.

    Jika sakit di bahagian tulang ekor tidak berkurangan, anda mungkin perlu berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

    Doktor mungkin akan mencadangkan agar anda melakukan MRI untuk mengesan sama ada anda mengalami keretakan, tumor, atau masalah lain pada kawasan tulang ekor.

    Dapatkan khidmat fisioterapi

    sakit tulang ekor

    Individu yang mengalami coccydynia yang kronik mungkin akan dirujuk kepada pakar fisioterapi.

    Ahli fisioterapi boleh memberikan anda nasihat mengenai postur badan dan juga pergerakan yang berguna untuk mengurangkan kesakitan.

    Selain itu, beliau juga akan mencadangkan beberapa jenis senaman yang dapat membuatkan otot pada kawasan tulang ekor lebih relaks dan kurang menyakitkan.

    Anda juga bebas untuk mencuba teknik lain seperti kaedah urutan atau regangan untuk mengurangkan kesakitan akibat coccydynia.

    Suntikan untuk sakit tulang ekor

    Jika sakit tulang belakang yang anda alami tidak berkurangan setelah mengambil ubat tahan sakit atau melakukan fisioterapi, suntikan kortikosteroid dapat mengurangkan inflamasi dan melegakan kesakitan.

    Walaupun suntikan ini boleh melegakan simptom pesakit coccydynia, kesannya hanya mampu bertahan dalam masa beberapa minggu.

    Malah, suntikan bukanlah rawatan yang kekal. Terlalu banyak mengambil suntikan juga hanya akan mendatangkan keburukan kepada pesakit. 

    Oleh sebab itu, suntikan kortikosteroid hanya boleh diambil sekali atau dua kali setahun.

    Pembedahan untuk merawat coccydynia 

    Jika semua jenis rawatan tidak berkesan untuk anda, doktor akan mencadangkan agar anda melakukan pembedahan.

    Pembedahan ini mungkin melibatkan pembuangan sebahagian daripada tulang ekor (partial coccygectomy) anda atau semua sekali (total coccygectomy).

    Selepas pembedahan, ramai pesakit yang mengakui simptom dapat dikurangkan. 

    Walau bagaimanapun, pesakit masih perlu menunggu selama beberapa bulan sebelum kesannya dapat dirasai.

    Namun, pembedahan juga bukan jawapan bagi sesetengah pesakit. Ada yang masih mengalami kesakitan walaupun selepas menjalani pembedahan.

    Bolehkah saya mengelakkan sakit tulang ekor?

    sakit tulang ekor

    Disebabkan kebanyakan kes sakit tulang ekor berlaku kerana kecederaan, pencegahan yang terbaik adalah dengan cara mengelakkan sebarang luka atau trauma pada kawasan tulang ekor.

    Sebagai contoh, elakkan aktiviti yang:

    1. Boleh menyebabkan kecederaan seperti jatuh. Hati-hati semasa berjalan dan elakkan bermain telefon bimbit. Pastikan lantai dan tangga bebas daripada sebarang objek yang boleh menyebabkan kemalangan.
    2. Boleh membuatkan simptom menjadi lebih teruk seperti berbasikal atau duduk dalam satu jangka masa yang panjang.

    Walaupun agak mustahil untuk mengelakkan kemalangan secara 100%, namun risikonya boleh dikurangkan jika kita mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.

    Bukan semua yang mengalami kemalangan akan menghidap sakit di tulang ekor dan begitulah sebaliknya.

    Sakit tulang belakang merupakan kondisi yang boleh menjejaskan hidup anda jika tidak dirawat.

    Sama seperti sakit belakang, sakit leher dan sebagainya, jika tidak dirawat ia boleh mengganggu aspek lain dalam hidup anda seperti pekerjaan dan juga masa tidur.

    Jangan sesekali simpan masalah ini seorang diri. Sakit di tulang ekor boleh dirawat dan simptomnya boleh dikurangkan jika anda mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan.

    Kesimpulan

    Kesakitan pada tulang ekor boleh dikurangkan jika anda pandai menjaga diri sendiri. Sebagai contoh, elakkan duduk dalam satu masa yang panjang. Jika boleh, berdiri sebentar dan lakukan regangan.

    Selain itu, elakkan juga senaman yang boleh menyebabkan kesakitan yang dialami menjadi semakin teruk. Salah satunya ialah aktiviti berbasikal.

    Pesakit coccydynia amat digalakkan untuk tidur pada sisi badan untuk mengelakkan tekanan pada bahagian punggung. Pastikan anda mengikuti pelan rawatan dan sentiasa berhubung dengan doktor anda.

    Sakit tulang ekor merupakan sejenis penyakit yang boleh mendatangkan ketidakselesaan, namun ia boleh dirawat dan akan sembuh dalam masa beberapa minggu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan