Melalui kajian tersebut, para pengkaji mendapati kedua-dua lelaki dan wanita yang terlibat mempunyai kadar penggunaan tenaga yang meningkat setelah melakukan aktiviti selama 30 minit.
Namun, aktiviti yang mereka lakukan tidak mengurangkan kadar ketidakaktifan otot. Ini bermaksud, walaupun mereka bersenam, otot mereka tidak menjadi aktif ataupun kuat semula.
Tambah lagi, terdapat sebuah kajian yang dilakukan oleh para penyelidik di University of Copenhagen yang menyokong kenyataan di atas.
Eksperimen yang mereka lakukan mendapati bahawa individu yang kerap bersenam akan kehilangan kekuatan otot jika mereka secara tiba-tiba menjadi sangat tidak aktif.
Menurut mereka, perubahan ini hanya perlukan masa selama 2 minggu.
Kedua-dua kajian ini membuktikan bahawa tempoh masa yang tidak aktif akan membuatkan kekuatan otot merosot.
Walaupun peserta di dalam kajian di atas melakukan senaman, otot mereka tidak kembali pulih disebabkan masa duduk yang terlampau lama melebihi 10 jam.
Kebaikan bersenam tidak dirasai jika tidak aktif semasa bekerja

Erin Michos, Ahli Kardiologi daripada Johns Hopkins Medicine mencadangkan agar individu yang mempunyai kerja yang tidak aktif untuk bangun dan bergerak dengan lebih banyak ketika bekerja.
Menurut beliau, tempoh masa yang beliau sendiri terpaksa habiskan di pejabat tidak termasuk dengan masa di dalam pengangkutan awam ataupun kereta boleh memakan masa 5 hingga 6 jam sehari.
Jika ditambah, tempoh masa yang mungkin seseorang habiskan dalam posisi duduk boleh mencecah 10 hingga 12 jam sehari!
Duduk dalam satu jangka masa yang lama boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan kanser.
Gaya hidup yang tidak aktif juga dapat meningkatkan risiko penyakit sama ada disebabkan oleh penyakit jantung ataupun masalah kesihatan yang lain.
Walaupun anda melakukan senaman selama 30 minit sehari, apa yang anda lakukan pada masa lain turut memainkan peranan penting.
Saya ingin jadi lebih aktif, tapi bagaimana?
Menurut Michael Blaha, aktiviti dan senaman merupakan dua perkara yang berbeza.
Senaman merupakan pergerakan untuk menguatkan otot dan menambah fleksibiliti badan yang boleh meningkatkan kadar degupan jantung anda.
Aktiviti pula merujuk kepada betapa aktif anda sepanjang hari.
Individu yang aktif mempunyai kerja yang memerlukan mereka untuk berdiri dan bergerak sepanjang hari. Mereka mungkin mempunyai kerja yang perlu dilakukan secara fizikal dan menggunakan tenaga yang banyak.
Namun, berapa banyak senaman dan aktiviti yang perlu dilakukan untuk lebih sihat?
Sebagai permulaan, anda boleh:
- Lakukan senaman yang berat 3 hingga 5 kali seminggu.
- Bergerak selama 5 minit setiap satu jam.
- Berjalan 10,000 langkah setiap hari.
Secara ideal, anda digalakkan untuk bersenam dan juga aktif semasa bekerja. Jika anda mampu lakukan kedua-dua perkara ini, pasti badan anda akan jadi lebih sihat!
Kesimpulan
Individu yang mempunyai pekerjaan yang tidak aktif perlu bergerak dengan lebih aktif supaya senaman yang dilakukan tidak menjadi sia-sia.
Kenyataan di atas adalah bertepatan kepada individu yang duduk lebih daripada 10 jam sehari.
Kajian mendapati bahawa individu yang menghabiskan masa dengan duduk mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit kardiovaskular.
Jika anda ingin menjadi lebih aktif, anda boleh cuba mengira langkah anda menggunakan alat penjejak langkah, pedometer ataupun hanya dengan menggunakan telefon bimbit anda.
Cuba berjalan lebih daripada 10,000 langkah sehari. Jika anda sebelum ini amat tidak aktif, anda boleh cuba berjalan sebanyak 2,000 langkah ataupun 4,000 langkah sehari.