backup og meta

Selalu Rasa Sakit-sakit Sendi? Atasinya Dengan Lakukan 6 Gaya Hidup Sihat Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nur Es Naini · Disemak pada 17/01/2024

    Selalu Rasa Sakit-sakit Sendi? Atasinya Dengan Lakukan 6 Gaya Hidup Sihat Ini

    Radang sendi atau nama perubatannya, sakit arthritis merupakan sakit sendi yang biasa berlaku dalam kalangan kita. Bolehkah gaya hidup sihat membantu mengatasi masalah ini?

    Dilaporkan seramai 5 dalam setiap 1,000 orang di Malaysia menderita akibat artritis. Ia boleh terjadi tidak mengira peringkat umur dan jantina.

    Sakit sendi adalah salah satu gejala kepada lebih 100 jenis penyakit terutamanya berkaitan sistem tulang dan otot. Yang lain termasuk penyakit endokrin, sistem autoimun dan lain-lain.

    Contoh penyakit radang sendi yang sering kita dengar ialah osteoarthritis, rheumatoid arthritis dan gouty arthritis.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tulang / Otot, sila dapatkannya di sini.

    Bagaimana sakit arthritis berlaku?

    Sendi merupakan rongga yang menyambungkan di antara dua tulang. Ini termasuk sendi lutut, sendi bahu, sendi siku dan pergelangan tangan.

    Fungsi utama sendi adalah untuk membenarkan pergerakan antara tulang.

    Keradangan boleh berlaku apabila ruang ini berkurangan dan menyebabkan pergeselan di antara dua permukaan tulang, sekali gus menjadi radang.

    Antara faktor yang boleh mengakibatkan sakit arthritis:

    #1 Sakit arthritis – Umur

    Semakin meningkat umur, semakin merosot struktur di kawasan sendi, seterusnya menipiskan sendi dan pergeseran tulang kerap berlaku.

    Selain itu proses degeneratif juga menyebabkan kualiti tulang berkurangan dan permukaannya menjadi tidak rata atau bergigi.

    sakit arthritis

    #2 Sakit arthritis – Berat badan berlebihan

    Bagi mereka yang overweight atau obes, sama ada tua atau muda memang berisiko tinggi untuk menyebabkan sakit sendi.

    Ini kerana bebanan berat berlebihan itu memberi tekanan kepada sendi dan boleh menyebabkan kecederaan atau keradangan sendi tersebut.

    #3 Sakit arthritis – Sejarah kemalangan atau trauma

    Jika ada kecederaan terdahulu pada sendi akibat trauma atau bersukan, sendi tersebut akan menjadi tidak stabil serta mudah mengalami keradangan dan sakit.

    #4 Pekerjaan

    Bagi anda yang memerlukan untuk bekerja berdiri, duduk yang lama atau mengangkat barang berat secara berterusan, lama-kelamaan ia akan membebankan sendi anda dan menyebabkan radang sendi.

    #5 Penyakit kronik lain

    Terdapat beberapa jenis penyakit kronik yang gejalanya adalah sakit sendi seperti penyakit kencing manis (diabetes), SLE (Systemic Lupus Erythematous) dan hampir semua jenis kanser.

    #6 Jangkitan

    Ada jangkitan yang berpunca daripada virus atau bakteria boleh bergejala sakit sendi akibat keradangan sendi.

    Secara amnya, gejala bagi radang sendi selain sakit adalah kawasan sendi itu berasa suam atau panas apabila disentuh, bengkak dan tegang.

    Kulit sekitarnya mungkin menjadi merah dan pergerakan sendi tersebut menjadi terhad atau terus keras.

    Elak sakit arthritis dengan ubah gaya hidup!

    1) Senaman yang konsisten

    Mungkin anda keliru? Sudah sakit sendi pun kena senaman?

    Banyak kajian menunjukkan aktiviti fizikal dapat mengurangkan sakit sendi, melancarkan pergerakan sendi dan menguatkan otot.

    Senaman juga dapat meningkatkan kesihatan mental anda.

    Jenis senaman yang disarankan adalah seperti yoga, tai chi, berjalan, berenang dan sukan akuatik lain. Malahan, terapi fisio juga selalunya fokus kepada medium ini untuk rawatan pesakit artritis.

    Tapi berhati-hati! Sekiranya anda rasa sangat sakit atau terbeban dengan aktiviti fizikal itu maka berhenti dan cubalah sukan alternatif lain.

    2) Capai berat badan ideal

    Setiap lebihan kilogram dalam berat badan menyumbang secara langsung kepada bebanan ke atas sendi. Tekanan bebanan ini yang mengakibatkan sakit sendi yang teruk.

    Laporan penyelidikan mengatakan tisu lemak yang berlebihan memburukkan lagi keradangan dan boleh menambah lagi bengkak serta sakit artritis.

    3) Makan diet seimbang

    Menurut kajian yang dijalankan di Harvard, sesetengah makanan boleh melawan keradangan, menguatkan tulang dan sistem imun badan.

    Antaranya ialah:

    Lemak asid omega-3 seperti ikan salmon, tuna, minyak zaitun dan kacang soya

    Antioksidan seperti teh hijau

    Vitamin C seperti buah-buahan

    Makanan tinggi fiber seperti gandum, oat dan kekacang

    4) Berhenti merokok dan vape

    Bahan-bahan kimia yang terkandung dalam rokok atau vape boleh membahayakan anda yang menghidap artritis.

    Merokok menyebabkan keradangan. Kajian juga menunjukkan pesakit artritis yang merokok lebih cenderung untuk mendapat komplikasi kelesuan dan rasa terbakar berbanding pesakit tidak merokok.

    5) Kurangkan stres

    Cukup rehat dan cukup tidur adalah penting untuk mengelakkan stres. Jika anda stres, cari punca tekanan anda dan ubah.

    Amalkan teknik-teknik untuk tenang (relaxation techniques) termasuk senaman, meditasi, bersiar-siar dan membuat apa yang anda suka. Ini secara langsung akan mencuri tumpuan anda daripada rasa sakit sendi.

    6) Cuba perubatan alternatif

    Terdapat beberapa pilihan perubatan komplementari di luar sana. Pilih yang selamat dan dilakukan pengamal yang bertauliah.

    Sebagai contoh, akupunktur terbukti dapat membantu pesakit Rheumatoid arthritis dalam mengurangkan kesakitan sendi artritis.

    Terapi transcutaneous electrical nerve stimulation (TENS) adalah alatan perubatan yang menggunakan arus elektrik yang terkawal dan tidak berbahaya ke sistem saraf untuk mengawal sakit keradangan sendi.

    sakit arthritis

    Maka jawapan bagi persoalan di atas, ya, dengan mengubah gaya hidup serta rutin harian yang lebih aktif dan sihat bukan sahaja dapat mengurangkan derita sakit sendi, malahan menaik taraf kualiti hidup pesakit yang mengalami sakit arthritis.

    Cubalah, dan anda boleh nikmati hidup bebas daripada sakit radang sendi!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nur Es Naini · Disemak pada 17/01/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan