home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Jangan Ambil Mudah Kalau Kaki Selalu Kebas, Kadang-Kadang Ia Petanda Penyakit!

Jangan Ambil Mudah Kalau Kaki Selalu Kebas, Kadang-Kadang Ia Petanda Penyakit!

Pernahkah anda rasa kebas kaki setelah duduk terlalu lama? Kondisi ini turut dikenali dengan nama paraesthesia yang bermaksud kehilangan sensasi pada beberapa bahagian badan.

Kadangkala, kondisi yang ramai orang panggil sesemut ini berlaku secara sementara. Malah, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa jika kaki kita rasa kebas setelah duduk atau berbaring dalam satu jangka masa yang panjang.

Namun, jangan sesekali pandang remeh masalah kebas kaki. Selalunya, rasa kebas ini merupakan simptom kepada penyakit lain yang mungkin anda tidak tahu.

Oleh sebab itu, jika anda kerap mengalami masalah semut-semut ini, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, tambah lagi jika ia berlarutan lebih daripada beberapa minit.

Apakah punca rasa kebas pada kawasan kaki?

Sebenarnya, ada banyak punca yang boleh menyebabkan rasa kebas pada kawasan kaki. Antaranya:

1. Anda duduk terlalu lama

Selalunya, jika anda duduk dalam satu jangka masa yang panjang, saraf pada bahagian kaki akan termampat.

Akibatnya, pengaliran darah akan tersekat dan menyebabkan anda mengalami rasa kebas dan sensasi sesemut pada bahagian yang terjejas.

Tetapi, jangan risau, kondisi ini selalunya tidak kekal lama dan akan pulih selepas beberapa minit.

2. Kaki kebas semasa bersenam

rasa kebas

Kadangkala, kaki anda boleh menjadi sakit dan kebas ketika anda bersenam. Aktiviti larian contohnya boleh memberikan tekanan kepada saraf dan menyebabkan kaki menjadi kebas.

Ia juga boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti kasut yang terlalu ketat atau mengayuh basikal dalam satu tempoh yang lama.

Walau bagaimanapun, sama seperti kaki yang kebas ketika duduk, mereka yang mengalami sesemut ketika bersenam juga tidak akan mengalaminya dalam jangka masa yang panjang.

Selalunya, rasa kebas tersebut akan hilang secara beransur-ansur apabila anda berhenti bersenam.

Jika anda mahu kelegaan yang lebih cepat, cuba goyang-goyangkan kaki anda sedikit untuk menggalakkan pengaliran darah.

3. Kaki kebas disebabkan penyakit

Rasa kebas pada bahagian kaki mungkin merupakan tanda penyakit yang serius jika ia berlaku berulang kali. Sebagai contoh, sesemut yang anda alami mungkin berlaku disebabkan:

  • Penyakit sklerosis berbilang

Sklerosis berbilang merupakan sejenis penyakit autoimun yang mempengaruhi sistem saraf pusat. Kebas kaki yang berlaku disebabkan sklerosis berbilang boleh menyebabkan rasa sakit dan gatal yang amat sangat.

Malah, rasa kebas ini kadangkala boleh menjadi amat serius sehinggakan pesakit tidak mampu berjalan dengan baik.

  • Penyakit diabetes

rasa kebas

Kadar gula yang tinggi di dalam badan boleh menyebabkan kerosakan saraf, lebih-lebih lagi jika ia dibiar berlarutan dalam satu jangka masa yang panjang.

Doktor mungkin akan menggelar kondisi ini sebagai neuropati periferal (peripheral neuropathy) – Satu penyakit yang terjadi disebabkan kerosakan saraf di luar kawasan otak dan saraf tunjang.

Pesakit yang mengalami kondisi ini akan rasa lemah dan kerap diserang rasa kebas pada kawasan tangan dan kaki.

Selain itu, pesakit diabetes yang mengalami neuropati periferal juga sukar untuk mengimbangkan badan.

  • Penyakit arteri periferal

Penyakit arteri periferal merupakan satu keadaan yang menyebabkan arteri pada kawasan kaki atau tangan menjadi sempit.

Kaki atau tangan pesakit arteri periferal selalunya akan menjadi kebas kerana tidak menerima bekalan darah yang mencukupi.

Kesimpulan

rasa kebas

Kaki kebas mungkin perkara yang biasa dan tidak serius, tetapi jika ia berlaku dengan kerap dan menyebabkan kesakitan, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar segera.

Rasa kebas pada kaki yang berlaku disebabkan duduk terlalu lama boleh dihilangkan dengan cara mengurut tempat yang terkesan.

Anda juga boleh meletakkan pek ais di atas kaki anda selama 15 minit untuk mengurangkan kekejangan.

Kadangkala, masalah kejang atau kebas yang anda alami merupakan simptom kepada penyakit lain.

Oleh itu, jangan tunggu lagi. Cepat-cepatlah berjumpa doktor ya!

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. HealthDirect. 2020. Limb numbness. July. Accessed February 25, 2021. https://www.healthdirect.gov.au/limb-numbness.
  2. Loma Linda University Health. n.d. 5 ways sitting is killing your nerves. Accessed February 25, 2021. https://ntc.lluh.org/blog/5-ways-sitting-killing-your-nerves.
  3. Mayo Clinic. 2019. Numbness. April 20. Accessed February 25, 2021. https://www.mayoclinic.org/symptoms/numbness/basics/causes/sym-20050938.
  4. Mayo Clinic. 2019. Peripheral neuropathy. May 22. Accessed February 25, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/peripheral-neuropathy/symptoms-causes/syc-20352061.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 01/03/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor