backup og meta

Kedudukan Rahim Wanita Penentu Boleh Hamil Ke Tidak? Ini Ciri-cirinya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/03/2022

    Kedudukan Rahim Wanita Penentu Boleh Hamil Ke Tidak? Ini Ciri-cirinya!

    Agak mengejutkan namun hakikatnya tidak semua kedudukan rahim wanita adalah normal. Bagaimana pula dengan peluang kehamilan? Adakah keadaan ini boleh menjejaskannya? 

    Secara amnya, rahim wanita berbentuk seperti buah pir terbalik yang melebar di bahagian bawah. 

    Walau bagaimanapun, sesetengah wanita boleh mengalami keabnormalan rahim, seperti rahim terbalik.

    Untuk butiran lanjut, berikut adalah penjelasan mengenai lokasi rahim yang normal dan tidak normal.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Kedudukan rahim wanita normal

    Rahim adalah organ pembiakan wanita yang memainkan peranan penting dalam kitaran haid, kehamilan dan melahirkan anak.

    Ia terletak pada kawasan pelvis wanita, di belakang pundi kencing dan di hadapan rektum.

    Anggaran saiz rahim wanita dewasa adalah kira-kira 7.5 cm panjang, 5 cm lebar di bahagian atas, hampir 2.5 cm tebal dan berat kira-kira 30-40 gram.

    Umumnya, organ rahim wanita terbahagi kepada empat bahagian iaitu:

    • Fundus rahim – bahagian atas rahim
    • Badan rahim – tempat janin berkembang
    • Isthmus – kawasan serviks bawah
    • Serviks – bahagian bawah rahim yang menghubungkannya dengan faraj

    kedudukan rahim wanita

    Jadi, apakah kedudukan atau lokasi rahim yang sihat dan normal?

    Kedudukan rahim wanita yang normal ialah rahim berada di hadapan rektum – hujung usus besar dan di belakang pundi kencing.

    Walaupun begitu, kedudukan sebenar rahim tidak selalu sama. Ini kerana kedudukan rahim boleh berubah dan berbeza dari segi saiz dan bentuk.

    Ini semua bergantung kepada hormon seks dan pembiakan wanita. Berikut adalah saiz dan bentuk rahim mengikut fasa pembiakan wanita:

    • Umur sebelum akil baligh: Rahim kecil dan serviks lebih panjang daripada badan dengan nisbah 2:1
    • Umur reproduktif: Badan lebih besar daripada serviks dan nisbah serviks kepada badan ialah 1:2
    • Selepas menopaus: Atrofi rahim, saiz badan lebih kecil daripada serviks dengan nisbah 2:1

    Baca juga:

    Keadaan rahim mula atrofi (mengecut) kerana hormon estrogen berkurangan dan menghentikan haid.

    Selain itu, kedudukan rahim wanita yang sihat kadangkala berubah disebabkan oleh keadaan pundi kencing. 

    Biasanya apabila pundi kencing kosong, rahim kelihatan sedikit ke hadapan. Manakala, dalam keadaan pundi kencing penuh dengan air kencing, rahim akan beralih sedikit ke belakang.

    Kedudukan rahim lain

    Rahim boleh berada dalam kedudukan yang berbeza, mungkin sedikit tidak normal seperti:

    Kedudukan rahim wanita terbalik

    Rahim terbalik atau retroverted uterus ialah posisi rahim melengkung dalam kedudukan ke belakang dan bukannya ke hadapan serviks – satu perempat wanita mengalami keadaan ini.

    Dalam kes rahim terbalik ini, ovari dan tiub fallopio juga terbalik ke belakang.

    Secara amnya, wanita dengan keadaan rahim ini tidak mengalami sebarang gejala. Namun, bagi sesetengah individu, rahim terbalik ini boleh menyebabkan gejala seperti:

    kedudukan rahim wanita

    Rahim anteverted

    Dalam situasi ini, organ rahim akan condong ke arah pundi kencing yang berada di hadapan – ia dikenali sebagai anteverted. Wanita dengan posisi rahim ini mungkin mengalami peningkatan tekanan di kawasan serviks.

    Komplikasi lain rahim anteverted adalah:

    • Sakit semasa hubungan seksual
    • Sakit semasa haid
    • Kesukaran memasukkan tampon
    • Risiko tinggi untuk mengalami jangkitan saluran kencing
    • Perut bawah menonjol

    Retroflexed

    Posisi rahim ini mungkin condong ke belakang dengan teruk, menyebabkan ketegangan melampau pada ligamen serta tekanan teruk di bahagian bawah belakang.

    Komplikasi lain rahim jenis ini adalah:

    • Sakit faraj dan bahagian bawah belakang semasa hubungan seksual
    • Sakit semasa haid
    • Kesukaran memasukkan tampon
    • Jangkitan saluran kencing kerap
    • Inkontinens ringan 
    • Penonjolan bahagian bawah abdomen

    Kesan kedudukan rahim wanita dengan kesuburan & kehamilan

    Ramai wanita bimbang bahawa keadaan rahim tidak normal akan menjejaskan keupayaan mereka untuk hamil. Berita baiknya, kedudukan rahim biasanya tidak menjejaskan kesuburan.

    Doktor mungkin akan menganggap ia sebagai penyebab kesukaran untuk hamil – tetapi hanya selepas punca ketidaksuburan lain diketepikan.

    Posisi rahim walaupun tidak normal, tidak akan menjejaskan keupayaan seseorang untuk mendapatkan kehamilan sihat. Malahan kesan mengandung juga boleh mengakibatkan rahim yang semakin membesar terbalik ke belakang.

    Dalam kebanyakan kes, sama ada rahim terbalik atau anteverted, ia tidak memberikan kesan ke atas proses melahirkan anak.

    kedudukan rahim wanita

    Rawatan 

    Bagi masalah posisi rahim wanita anteverted, anda tidak memerlukan sebarang prosedur rawatan. Anda seharusnya dapat menjalani kehidupan normal dan tanpa sebarang kesakitan.

    Manakala untuk rahim terbalik yang menyebabkan masalah, pilihan rawatan boleh termasuk:

    • Merawat keadaan kesihatan yang mencetuskannya seperti terapi hormon untuk endometriosis
    • Senaman – namun kebanyakan doktor menganggap ia sebagai penyelesaian jangka masa pendek
    • Pessary – peranti silikon atau plastik kecil diletakkan untuk sementara atau kekal bagi menopang rahim untuk condong ke hadapan. Tetapi penggunaan pesari dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan dan keradangan. Ia juga menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan semasa hubungan seksual
    • Pembedahan – menggunakan teknik laparoskopi, kedudukan rahim wanita diubah supaya ia terletak di atas pundi kencing. Dalam sesetengah kes, pembedahan membuang rahim – histerektomi mungkin dipertimbangkan

    Sekiranya anda mengalami kesakitan semasa seks atau haid yang tidak diketahui penyebabnya, lakukanlah pemeriksaan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan