backup og meta

Risau Miss V Berubah Lepas Beranak? Tenang Mama, Ada Cara Atasinya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/01/2023

    Risau Miss V Berubah Lepas Beranak? Tenang Mama, Ada Cara Atasinya!

    Sememangnya bentuk faraj selepas bersalin secara semula jadi akan berubah. Bagaimana pula dengan faraj bengkak selepas bersalin, adakah keadaan itu normal?

    Jom fahami lebih mendalam mengenai keadaan miss V selepas melahirkan anak, barulah hati ibu tak bimbang lagi!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Bentuk faraj selepas bersalin 

    Semasa proses kelahiran secara normal, bayi bergerak melalui serviks dan keluar melalui faraj – dikenali sebagai saluran kelahiran. 

    Sudah tentu jalan masuk ke faraj akan meregang untuk membolehkan bayi melaluinya.

    Ada kalanya kulit antara faraj dan dubur – perineum – mungkin terkoyak atau dipotong oleh doktor untuk membolehkan bayi keluar. Prosedur itu disebut sebagai episiotomi.

    Selepas melahirkan bayi, normal untuk wanita berasa faraj menjadi longgar atau kering berbanding sebelumnya. 

    Ada juga yang mengalami kesakitan bahagian peranakan atau semasa melakukan hubungan seksual bersama pasangan.

    Tidak kurang juga wanita dengan masalah kentut faraj selepas bersalin.

    bentuk faraj selepas bersalin

    Rasa faraj bengkak selepas bersalin?

    Miss V mungkin tampak lebih lebar, longgar, lembut dan ‘terbuka’ berbanding sebelumnya. Ia mungkin kelihatan dan terasa bengkak atau lebam.

    Semua itu adalah normal dan akan berkurangan selepas beberapa hari melahirkan anak.

    Seperkara perlu difahami, faraj anda tidak mungkin akan kembali sepenuhnya seperti sebelum beranak dan ia tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

    Jika keadaan itu mewujudkan rasa bimbang, senaman lantai pelvik dapat membantu mengatasi perubahan bentuk faraj selepas bersalin.

    Lebih dikenali sebagai senaman Kegel, amalan ini dipercayai dapat menenangkan otot faraj dan otot lantai pelvik.

    Senaman tersebut juga membantu mengelakkan kebocoran air kencing – inkontinen urin, antara masalah yang biasa bagi ibu selepas beranak dan membuatkan miss V terasa lebih ketat.

    Selain mudah serta boleh dilakukan tanpa mengira masa, senaman Kegel boleh mengatasi masalah kentut faraj selepas bersalin dan membuatkan anda lebih menikmati hubungan seks.

    Cara melakukan senaman Kegel

    • Kemutkan dan regangkan faraj dan dubur pada masa yang sama. Ulang teknik ini dalam tempoh yang cepat
    • Kemudian lakukan ia secara perlahan-lahan. Tahan kemutan selama yang boleh tetapi pastikan tidak melebihi 10 saat sebelum meregangkannya
    • Ulangi senaman ini 10 kali setiap sesi, antara 4 hingga 6 kali sehari

    bentuk faraj selepas bersalin

     

    Keliru bagaimana untuk mengemutkan faraj dan dubur? Bayangkan seperti anda sedang menahan kentut, pergerakan usus atau berhenti membuang air kecil.

    Kekeringan, salah satu perubahan bentuk faraj selepas bersalin

    Selain daripada masalah kentut faraj selepas bersalin, kekeringan pada miss V juga adalah perkara biasa.

    Ia dikaitkan dengan tahap estrogen lebih rendah dalam tubuh berbanding semasa hamil.

    Bagi ibu menyusu badan, kadar hormon itu adalah lebih rendah daripada wanita yang tidak menyusu badan dan kekeringan faraj juga lebih ketara.

    Sebaik sahaja berhenti menyusu dan mengalami haid, estrogen kembali berada pada tahap prakehamilan. Kekeringan yang dialami juga akan bertambah baik.

    Jika anda sudah kembali melakukan seks dan perubahan bentuk faraj selepas bersalin seperti kekeringan menyebabkan ketidakselesaan, gunakanlah pelincir.

    Gunakan pelincir berasaskan air jika menggunakan kondom jenis lateks atau polisoprena, kerana pelincir berasaskan minyak seperti pelembap atau losen boleh menyebabkan kondom koyak.

    Jika kekeringan berterusan dan menjejaskan kehidupan seks anda, berundinglah dengan doktor.

    Baca juga:

    Kesakitan pada perineum

    Anda boleh berdepan masalah kesakitan atau faraj bengkak selepas bersalin. Namun, situasi itu akan pulih dalam tempoh 6 hingga 12 minggu selepas kelahiran anak.

    Dan sekali lagi, senaman Kegel adalah jawapan terbaik untuk membantu menjadikan keadaan faraj lebih baik. 

    Bahagian perineum boleh terasa sakit, terutamanya jika mengalami koyakan atau jahitan bersalin. Untuk mengatasi kesakitan kesan perubahan bentuk faraj selepas bersalin ini, ubat tahan sakit boleh membantu. 

    Namun sebaiknya bertanya kepada doktor atau ahli farmasi sebelum membelinya di kaunter ubat sekiranya anda menyusu badan. 

    Penting untuk setiap wanita menjaga kebersihan bahagian perineal. Jadi, pastikan anda membasuh tangan sebelum dan selepas menukar tuala wanita serta gantikannya sekerap mungkin. 

    bentuk faraj selepas bersalin

    Jika terdapat kebimbangan mengenai jahitan episiotomi, rujuklah kepada doktor.

    Perubahan bentuk faraj selepas bersalin adalah normal

    Tiada masa tepat atau salah untuk mula melakukan seks selepas melahirkan anak. Tetapi sebaiknya usah terburu-buru.

    Sekiranya seks menyakitkan atau terasa seperti benjolan di faraj selepas bersalin, ia tidak mendatangkan kenikmatan buat wanita. 

    Bagi perubahan bentuk faraj selepas bersalin seperti kekeringan, anda boleh mencuba menggunakan pelincir ketika bersetubuh bagi melihat jika ia dapat membantu.

    Jika ada sebarang ketidakselesaan pada perineum, lakukan pemeriksaan doktor secepat mungkin. Kesakitan berterusan semasa seks juga harus mendapatkan pemeriksaan dengan doktor.

    Seandainya keinginan seksual menurun selepas beranak, ia adalah perkara normal terutamanya jika disebabkan keletihan menjaga bayi kecil.

    Jangan lupa untuk menggunakan sebarang kaedah kontraseptif setelah melahirkan bayi untuk memastikan jarak kehamilan selamat. Ini kerana anda berisiko untuk hamil 3 minggu selepas melahirkan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan