Cuba renung-renungkan, mengapa agaknya hati kosong dan tidak gembira? Mengapa kita sering dibelenggu rasa resah dan gelisah hinggakan hendak teruskan aktiviti harian pun terasa sukar?
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group
Cuba renung-renungkan, mengapa agaknya hati kosong dan tidak gembira? Mengapa kita sering dibelenggu rasa resah dan gelisah hinggakan hendak teruskan aktiviti harian pun terasa sukar?
Tidak dapat dinafikan, semua rasa inilah yang menyebabkan kita hidup dalam keadaan yang tidak tenteram. Oleh sebab itu, ramai yang mula mencari erti sebenar kegembiraan dan kebahagiaan dalam kehidupan.
Tetapi, pasti ramai yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang membuatkan hati kita rasa gembira?
Pada zaman serba lengkap ini, kita ada banyak sebab untuk rasa bahagia. Tapi mengapa rasa hati kosong?
Daripada sibuk mengejar bahagia, mungkin sudah sampai masanya untuk kita belajar melepaskan semua perkara yang membuatkan hati rasa resah dan tidak tenteram.
Jom ikuti perkongsian kami di bawah untuk lihat apa sebenarnya yang membuatkan ramai individu hidup dalam keadaan tidak gembira.
Ramai yang lupa bahawa pangkat, kekayaan, status hubungan serta karier tidak menentukan nilai diri kita yang sebenar.
Sebagai seorang manusia, nilai diri anda lebih daripada apa yang anda sangka. Oleh sebab itu, jangan sesekali lupa akan harga diri sendiri.
Diri kita amat bernilai dan tidak boleh ditukar ganti dengan sebarang jumlah wang ringgit sekali pun. Ingat tu!
Pernahkah anda memandang orang yang lebih berjaya dan fikir ‘Untunglah kalau aku boleh jadi kaya dan berjaya macam dia’.
Selalunya fikiran begini akan diikuti pula dengan fikiran lain yang membuatkan hati kita rasa kosong dan tidak gembira. Malah, kita akan mulai rasa ragu dengan kebolehan diri sendiri.
Menurut Iyanla Vanzant, seorang jurucakap motivasi dari Amerika Syarikat, perbuatan membandingkan diri dengan orang lain merupakan tindakan yang zalim terhadap diri sendiri.
Cuba elakkan diri daripada membandingkan diri dengan kehidupan orang lain.
Sebaliknya, cuba terima bahawa setiap orang menjalani kehidupan yang berlainan, dan setiap jalan itu mempunyai cerita yang berbeza-beza.
Kadangkala, kita terlalu taksub memikirkan apa yang kita tidak ada, tetapi terlupa untuk bersyukur dengan apa yang kita ada.
Cuba berhenti sejenak dan cuba renungkan segala kurniaan Tuhan kepada kita.
Mungkin anda tidak perasan, selama ini anda sebenarnya sedang hidup dalam keadaan yang serba cukup dan membahagiakan!
“Saya hanya akan jadi gembira jika saya ada duit sejuta ringgit di dalam bank!“
Sebenarnya, bagus jika anda mempunyai cita-cita yang besar. Malah, ia juga boleh membuatkan anda jadi makin bersemangat untuk mengejar cita-cita tersebut.
Walau bagaimanapun, jika cita-cita tersebut diikat dengan rasa gembira, mungkin inilah sebabnya hati anda rasa kosong dan tidak bahagia.
Jangan sesekali tentukan apa yang boleh membuatkan anda rasa gembira. Sebaliknya, carilah perkara-perkara yang boleh membahagiakan anda di dalam hidup.
Jika cita-cita anda jadi kenyataan, tahniah! Anda layak dan perlu rasa gembira atas pencapaian anda.
Tiada baiknya jika anda suka berdendam dan membenci orang lain. Sebenarnya, amalan ini lebih banyak membawa keburukan kepada diri sendiri.
Bayangkan anda sedang memegang bara api untuk membalingnya kepada orang lain. Begitulah ibaratnya jika anda seorang yang sering menyimpan dendam.
Niat di hati nak baling bara kepada orang lain, tapi akhirnya tangan sendiri pula yang terbakar. Aduhai…
Ramai orang yang hidup dalam bayang-bayang masa lalu. Malah, mereka juga membiarkan segala penyesalan, kesedihan dan peluang yang terlepas menghantui mereka hingga ke hari ini.
Malangnya, apa yang sudah lepas tidak boleh diperbaiki lagi. Apa yang kita boleh lakukan ialah belajar daripada kesilapan dan cuba lagi pada masa akan datang.
Perfectionist atau terlalu mengejar kesempurnaan juga merupakan salah satu punca hati kosong dan tidak bahagia.
Ada 3 jenis perfectionist yang perlu anda tahu.
Pertama, mementingkan kesempurnaan daripada diri sendiri. Kedua, perlu jadi sempurna disebabkan pandangan orang lain dan ketiga, mengharapkan orang lain jadi sempurna untuk diri anda.
Ketiga-tiga jenis kesempurnaan ini berupaya untuk menghancurkan kegembiraan diri anda dan juga orang lain.
Banyak-banyakkan bersabar dalam hidup. Bukankah Tuhan telah menjanjikan perkara yang baik-baik untuk hambaNya yang bersabar?
Cuba periksa kesihatan anda. Bilakah kali terakhir anda dapat tidur yang cukup? Selain itu, adakah anda berada di dalam keadaan tertekan disebabkan keluarga atau kerjaya?
Semua ini boleh mempengaruhi perasaan dan membuatkan anda rasa hati kosong dan tidak gembira.
Adakah kawan anda seorang yang gemar bergosip, kaki complaint dan selalu bersembang tentang perkara-perkara yang negatif sahaja?
Jika anda mempunyai kawan-kawan negatif sebegini, cuba jauhkan diri daripada mereka.
Daripada membazirkan masa mendengar celoteh negatif mereka yang akan membuatkan anda rasa sedih dan resah, lebih baik anda buat kerja lain yang lebih bermanfaat.
Bukan mudah untuk buang semua bentuk pemikiran negatif di atas daripada terus mengganggu fikiran kita. Tetapi, ingatlah – Kita mungkin tidak boleh mengawal takdir, tapi kita boleh berubah dan bentuk tabiat pemikiran baru yang lebih sihat.
Pilihan untuk lebih gembira dan bahagia berada di dalam genggaman anda. Jadi, mengapa pilih untuk seksa hati anda?
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen