Mengapa anda perlu dapatkan tidur yang cukup?
1. Merangsang memori dan proses pembelajaran
Tidur membantu otak menyimpan maklumat baru sebagai memori melalui proses yang disebut sebagai konsolidasi. Menurut kajian, mereka yang tidur selepas mengulang kaji mendapat keputusan yang lebih baik dalam ujian.
2. Mengawal metabolisme dan berat badan
Jika berat badan anda sering naik walaupun tidak mengambil kalori yang terlalu banyak, ia mungkin disebabkan tidur yang kurang. Ia menjejaskan cara badan memproses dan menyimpan karbohidrat, serta mengubah kadar hormon tertentu yang mengawal selera makan.
3. Keselamatan diri dan orang sekeliling
Mengantuk di siang hari akan mendedahkan diri dan orang lain kepada risiko keselematan. Contohnya di atas jalan raya ketika sedang memandu, terlelap walau seketika (microsleep) boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. Di tempat kerja pula, pekerjaan yang melibatkan alat atau mesin berbahaya mungkin disalahgunakan kerana fokus yang berkurang.
4. Mengekalkan mood yang baik
Apabila letih dan mengantuk, anda akan lebih mudah marah, kurang sabar, hilang fokus dan lebih beremosi. Keadaan ini akan menjejaskan kualiti hari anda secara keseluruhannya. Kesannya, semua kerja tidak dapat dilakukan dengan efisyen. Malah, kemurungan juga terkait dengan kurang tidur.
5. Penting untuk kesihatan jantung
Gangguan tidur yang serius didapati berkaitan dengan tekanan darah tinggi, peningkatan hormon stres dan degupan jantung yang tidak sekata. Ia meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
6. Meningkatkan sistem imun
Tidur yang cukup bermakna badan anda berfungsi dengan baik dan normal. Apabila terdapat gangguan, sistem badan akan terjejas termasuk sistem imun. Anda akan mudah mendapat penyakit. Ada kajian yang mendapati bahawa mereka yang kurang tidur lebih kerap mengalami demam.