#1 Pisahkan diri anda daripada realiti mereka
Sebilangan individu cenderung untuk memaparkan diri mereka sebagai mangsa keadaan.
Sekiranya tidak berhasil, mereka mungkin akan mengalihkan kesalahan kepada orang lain, bahkan cuba untuk melukiskan gambaran positif tentang diri mereka supaya dianggap tidak bersalah.
Ramai individu yang tidak gemar untuk berinteraksi dengan kelakuan sebegini. Oleh itu, mereka mungkin sahaja akan mengangguk atau tersenyum simpul untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.
Ia mungkin terasa seperti pilihan yang tepat, tetapi mereka akan beranggapan bahawa anda sentiasa menyokong tingkah laku toksik tersebut.
Sebaliknya, cubalah bantah dengan penuh hormat. Contohnya, anda boleh berkata, “Saya mempunyai pendapat berbeza dengan situasi ini,” dan jelaskan apa sebenarnya yang terjadi.
Semasa penjelasan berlaku, ingatlah untuk selalu berpegang pada fakta dan tidak melakukan apa-apa tuduhan.
#2 Jangan terjebak!
Berurusan dengan tingkah laku toksik seseorang boleh menjadi sangat meletihkan.
Bayangkanlah, seseorang individu yang sering mengadu, bercerita tanpa bukti yang sah, malah berani menuduh anda tidak mengambil berat tentang keperluan mereka.
Ah, sakitnya hati kan? Namun, tahanlah keinginan untuk mengadu domba atau mempertahankan diri daripada tuduhan melulu tersebut.
Tunjukkan sedikit empati dengan menyatakan “Saya minta maaf kerana anda berasa begitu,” dan biarkan aduan tersebut terkubur begitu sahaja.
#3 Utamakan kesihatan emosi anda
Perilaku toksik tidak terhenti di tahap penderaan ataupun penghinaan sahaja. Terdapat tingkah laku lain yang boleh mengganggu kesihatan emosi anda, seperti terlalu memberi tanpa menerima kembali.
Individu tersebut mungkin kerap memerlukan pertolongan anda untuk meloloskan diri daripada apa-apa masalah, setiap kali anda bertemu dengannya.
Selain itu, anda juga akan merasa kestabilan emosi mereka bergantung kepada anda. Oleh itu, anda selalu memberi manakala mereka selalu menerima dengan tangan terbuka.
Ingatlah, hubungan yang sihat melibatkan pemberian dan penerimaan daripada kedua-dua belah pihak. Dengan kata lain, jika anda menawarkan sokongan, kesihatan emosi anda penting!
#4 Berbincang mengenai tingkah laku mereka

Seseorang individu yang kerap bergosip, memanipulasi orang lain atau sering menimbulkan situasi dramatik selalunya tidak menyedari bagaimana tingkah laku mereka boleh mempengaruhi anda atau orang lain.
Perbincangan secara terbuka boleh membantu mereka menyedari bahawa tingkah laku tersebut tidak dapat diterima dan menjejaskan kesihatan emosi individu yang terlibat.
Dalam perbincangan tersebut, anda boleh berkongsi perasaan mengenai perilaku toksik mereka, dan bagaimana ia menjejaskan kesihatan emosi anda.
#5 Galakkan mereka untuk mendapatkan pertolongan
Lazimnya, ia sangat sukar untuk memahami sebab individu berkelakuan toksik.
Kadangkala, mungkin kita harus mempertimbangkan bahawa mereka tengah menghadapi beberapa cabaran dalam kehidupan peribadi mereka.
Namun ingatlah bahawa ia bukanlah alasan untuk anda berkelakuan toksik dan mempengaruhi kesihatan emosi orang lain.
Sekiranya anda mempunyai hubungan rapat dengan seseorang yang berkelakuan toksik, berbincanglah dengan mereka untuk mendapatkan pertolongan daripada ahli terapi atau psikiatri.
Terangkan kepada individu tersebut mengapa konsultasi tersebut bermakna buat anda dan hubungan anda berdua.
Kesihatan emosi kunci utama kebahagiaan..
Kadangkala, meninggalkan hubungan toksik merupakan satu-satunya cara untuk melepaskan diri dan menjaga kesihatan emosi anda.
Namun, cara ini tidak selalu dapat dilaksanakan kerana mereka mungkin aset penting dalam kehidupan anda seperti ibu bapa.
Sekiranya anda masih dalam hubungan toksik, ingatkan diri anda bahawa tindakan mereka bukanlah kesalahan ataupun tanggungjawab anda. Jaga diri, ya!