Boleh ke ibu ayah sedut hingus bayi? Adakah ia bakal mendatangkan kesan bahaya kepada si kecil?
Secara amnya, penyedut hingus bayi adalah alat digunakan untuk menyingkirkan mukus atau lendir pada si kecil yang masih belum mahir menghembus hingusnya sendiri.
Tetapi anda sebagai ibu bapa harus menggunakan alat penyedut ini sama ada nasal oral aspirator atau bulb syringe dengan betul. Ini kerana jika teknik yang digunakan salah, ia boleh mewujudkan risiko bahaya kepada hidung si kecil.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Bahaya sedut hingus bayi
Jangan terkejut, alat penyedut hingus bayi ini boleh digunakan kepada si kecil, tetapi perlu dilakukan dengan cara yang betul.
Jika tidak, berikut antara risiko yang boleh terjadi:
Kecederaan hidung
Lapisan tisu dalam hidung bayi sangat nipis dan sensitif. Menolak alat penyedut hidung jenis picitan seperti bulb syringe terlalu dalam atau menyedut dengan agresif boleh mengakibatkan pendarahan.
Mungkin luka yang terjadi hanya kecil tetapi bagi bayi, ia boleh menyebabkan kesakitan dan menyukarkan si kecil untuk bernafas.
Kesan sedut hingus bayi #Bengkak
Penggunaan alat penyedut hidung secara berulang kali boleh menyebabkan membran di dalam lubang hidung membengkak.
Gunakan alat penyedut ini hanya bila diperlukan dan pastikan tidak melebihi 4x sehari.
Pencemaran silang kesan sedut hingus bayi
Bagi mereka yang mempunyai lebih daripada seorang anak, mungkin anda terfikir untuk berkongsi menggunakan alat penyedut yang sama, betul tak?
Pada dasarnya tindakan anda ini boleh menyebarkan kuman antara anak-anak. Ini kerana lendir yang membawa kuman boleh hidup pada permukaan alat penyedut sehingga 48 jam.
Namun anda boleh mengelakkannya dengan mencuci alat ini sebersih-bersihnya. Sebaiknya, selepas setiap kali penggunaan, celupkan alat ke dalam bekas berisi air sabun suam selama beberapa minit dan biarkan ia kering sebelum digunakan semula.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Cara betul guna penyedut hingus bayi
Berikut adalah saranan cara untuk menyedut hingus bayi:
Cara penggunaan bagi alat penyedut jenis picitan
- Untuk menggunakan bulb syringe, picit dahulu untuk mengeluarkan angin daripada alat tersebut. Kekalkan memicit.
- Secara perlahan masukkan alat penyedut ke dalam lubang hidung si kecil.
- Lepaskan picitan secara perlahan untuk membolehkan udara disedut. Dalam masa sama, ia juga akan menarik keluar lendir.
- Picit keluar lendir daripada alat penyedut ke atas tisu. Ulang kembali cara 1-3 pada lubang hidung yang lain atau sama (jika perlu).
- Jika lendir terlalu tebal untuk disedut, anda boleh menitiskan titisan garam (saline).
- Jangan lupa untuk mengelap lendir di sekitar hidung menggunakan tisu secara perlahan-lahan bagi mengelakkan kerengsaan.
Selepas sedut hingus bayi
- Basuh alat penyedut dalam air suam bercampur sabun selepas setiap kali penggunaan.
- Sedut air sabun ke dalam alat dan goncangkan untuk membersihkan lendir di dalamnya. Kemudian picit keluar air. Ulangi langkah ini berkali-kali.
- Bilas dengan air bersih. Jangan lupa untuk menyedut masuk air bersih ke dalam alat penyedut dan memicitnya keluar.
Cara penggunaan aspirator hidung-oral (nasal-oral aspirator)
- Dudukkan bayi dalam kedudukan tegak atau separa tegak – masih disokong dengan lengan anda – pastikan si kecil dalam keadaan selesa.
- Letakkan hujung penyedut ke dalam hidung bayi dan hisap dengan lembut melalui mulut. Jika perlu, sedutan mulut boleh dikuatkan.
- Sekiranya lendir tebal, penggunaan titisan air garam membantu menipiskannya. Ini membolehkan lendir dapat disedut keluar dengan mudah.
- Ulang kembali cara 1-3 pada lubang hidung yang lain atau sama (jika perlu).
- Pastikan anda mengelap lendir di sekitar hidung menggunakan tisu secara perlahan-lahan bagi mengelakkan kerengsaan.
Cara mencuci alat penyedut hingus bayi
- Pastikan anda menanggalkan semua komponen pada alat aspirator.
- Cuci semua komponen kecuali penapis, dengan menggunakan air suam bercampur sabun pencuci pinggan-mangkuk. Bilas sehingga bersih.
- Keluarkan lebihan air di dalam alat dan keringkan.
Baca juga: