backup og meta

Tidur Meniarap, Telentang Atau Mengiring? Ini Posisi Tidur Bayi Yang Betul!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    Tidur Meniarap, Telentang Atau Mengiring? Ini Posisi Tidur Bayi Yang Betul!

    Betul ke bayi tidur mengiring adalah cara terbaik? Ini kerana kebanyakan ibu bapa baharu tertanya-tanya posisi tidur bayi yang betul dan selamat. 

    Jika anda salah seorang daripadanya, teruskan membaca perkongsian artikel ini bagi mendapatkan jawapannya. Semoga bermanfaat!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Betul ke bayi tidur mengiring yang terbaik?

    Menurut saranan American Academy of Pediatrics (AAP), tidur secara mengiring adalah tidak selamat untuk si kecil.

    Terdapat beberapa sebab mengapa posisi tidur mengiring bagi bayi yang baru lahir menjadi tidak selamat. Ia memberi tekanan tambahan pada rahang – berisiko menyekat saluran pernafasan bayi.

    Posisi tidur ini juga menyebabkan kepala si manja berada dalam kedudukan yang menyebabkan mereka menghirup udara kitar semula – tidak segar – secara berterusan. Ia boleh membawa kepada pengumpulan karbon dioksida dan kekurangan oksigen.

    Posisi tidur bayi yang betul adalah berbaring secara menelentang. 

    Walaupun ada yang menyatakan bayi tidur mengiring adalah lebih selamat untuk mengelakkan si kecil muntah atau mengalami refluks, namun ia tidak benar. Bahkan, apabila tidur dalam keadaan telentang, bayi yang kerap refluks akan kurang mengalami keadaan tersebut.

    posisi tidur bayi yang betul

    Selain itu, meletakkan bayi tidur secara telentang pastinya lebih selamat daripada tidur meniarap kerana ia meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) dan sesak nafas.

    SIDS adalah penyebab utama kematian bayi antara usia sebulan dan setahun.

    Pilihlah posisi tidur bayi yang betul ini

    Demi keselamatan, semua bayi harus ditidurkan secara menelentang pada tahun pertama kehidupan. Ini juga termasuk kepada bayi pramatang. Bayi yang tidur dalam posisi ini mempunyai risiko SIDS lebih rendah.

    SIDS cenderung untuk terjadi dalam tempoh 6 bulan pertama kehidupan – kebanyakannya berlaku pada usia 1-4 bulan. Disebabkan itu, amat penting untuk memastikan si kecil tidur menelentang.

    SIDS umumnya jarang terjadi selepas usia bayi 12 bulan

    Baca juga:

    Menelentang adalah posisi tidur yang betul

    Pun begitu, sesetengah bayi pramatang dengan penyakit pernafasan mungkin perlu tidur secara meniarap. Namun ia harus dilakukan dalam persekitaran yang diawasi secara perubatan, seperti hospital.

    Walaupun menelentang adalah posisi tidur bayi yang betul, sesetengah ibu bapa bimbang keadaan tersebut boleh meratakan kepala si kecil. Sekiranya berlaku, ia hanya bersifat sementara. 

    Galakkan si manja berbaring dan meniarap ketika berjaga boleh membantu mencegahnya.

    Ada juga kebimbangan kononnya bayi akan tersedak muntah atau mengeluarkan air liur semasa menelentang. Tetapi National Institutes of Health (NIH) melaporkan tiada bukti mengenainya. Malah dipercayai bayi tidur dalam posisi ini mungkin dapat mengeluarkan cecair lebih berkesan.

    Perkara boleh dilakukan & elak untuk mendapatkan posisi tidur bayi yang betul

    Menyediakan persekitaran selamat semasa tidur adalah sama pentingnya seperti memastikan si manja lena dalam posisi yang betul.

    Mustahak untuk memastikan kawasan tidur bayi tidak mempunyai barang yang boleh mengakibatkan mereka lemas atau terperangkap.

    Berikut antara langkah-langkah boleh diambil untuk persekitaran bayi selamat:

    posisi tidur bayi yang betul

    Lakukan ini untuk dapatkan posisi tidur bayi yang betul

    • Meletakkan bayi tidur menelentang
    • Memastikan permukaan tidur rata dan padat
    • Gunakan katil bayi, bassinet atau katil bayi mudah alih
    • Galakkan tummy time semasa bayi terjaga tetapi masih diawasi
    • Pastikan tiada barangan gantung berdekatan
    • Gunakan tilam yang dipasang cadar fitted 
    • Pastikan suhu bilik selesa
    • Tetapkan rutin tidur apabila bayi berusia 4-6 bulan

    Elakkan 

    • Bantal, boneka haiwan, selimut, comforter atau bean bag
    • Bayi tidur di atas tilam empuk, sofa atau katil air (air mattress)
    • Menutup kepala bayi
    • Mendedahkan bayi kepada asap rokok
    • Berkongsi katil dengan bayi kerana risiko sesak nafas
    • Gunakan selimut atau cadar longgar
    • Letakkan bayi berdekatan dengan penghawa dingin atau lubang pemanas
    • Memakaikan bayi terlalu banyak lapisan pakaian

    posisi tidur bayi yang betul

    Tip lain:

    Perkara berikut juga boleh membantu mengurangkan risiko SIDS:

    • Dapatkan suntikan yang disyorkan, kerana ini boleh membantu melindungi bayi daripada SIDS
    • Mengikut jadual temu janji doktor
    • Lakukan penyusuan eksklusif sehingga bayi berusia 6 bulan
    • Elakkan minum alkohol, merokok, dan mengambil dadah semasa kehamilan

    Pilihlah posisi terbaik

    Menelentang adalah posisi tidur bayi yang betul dan terbaik sehingga bayi berusia setahun. Ia terbukti dapat mencegah SIDS.

    Manakala kedudukan bayi tidur mengiring adalah selamat apabila bayi berumur lebih 4-6 bulan kerana sudah pandai berguling sendiri selepas dibaringkan telentang. 

    Membawa bayi baru lahir pulang ke rumah boleh mewujudkan rasa gelisah dan bercampur baur, khususnya bagi mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa

    Sebaiknya jika terdapat sebarang keraguan atau pertanyaan mengenai keadaan tidur yang selamat, rujuklah kepada doktor atau pakar pediatrik untuk mendapatkan maklumat lanjut dan lebih kepastian. 

    Amat penting untuk memastikan si manja tidur dalam keadaan yang selamat dan posisi betul untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan