backup og meta

Hidung Berair Buat Bayi Tak Selesa? Ini Cara Buang Kahak, Ibu Boleh Cuba Di Rumah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/10/2023

    Hidung Berair Buat Bayi Tak Selesa? Ini Cara Buang Kahak, Ibu Boleh Cuba Di Rumah!

    Sedang mencari cara buang kahak bayi sebab si kecil tampak tidak selesa? Kehadiran cecair atau lendir daripada hidung, tekak dan mulut si kecil – biasanya disebut sebagai kahak atau hingus – adalah perkara biasa.

    Lendir ini umumnya memainkan peranan dalam memastikan bayi sihat dengan membantu mengekalkan kelembapan pada hidung, mulut dan tekak. Ia juga bertujuan melindungi si kecil dengan menghalang kuman daripada masuk ke dalam tubuh kecil mereka.

    Namun, jika berlebihan, lendir ini perlu dikeluarkan kerana ia boleh menyumbat hidung dan tekak bayi. Lebihan lendir juga boleh menjadi petanda terdapatnya penyakit atau jangkitan.

    Tetapi sebagai ibu bapa, anda tidak perlu risau kerana terdapat beberapa cara untuk menyingkirkan lendir ini. Mungkin anda boleh mencuba cara tepuk bayi buang kahak. Jom ketahui caranya!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Punca lendir berlebihan

    Sebelum dikongsikan cara buang kahak bayi, anda harus mengetahui apakah punca yang menyebabkan wujudnya lebihan lendir pada si kecil.

    Bayi lebih cenderung mendapat selesema dan hidung tersumbat kerana saiz saluran hidung yang kecil. Selain itu, sistem imun yang sedang berkembang juga masih belajar untuk melindungi bayi daripada kuman.

    Kuman atau sebarang perkara yang boleh merengsakan saluran pernafasan bayi akan mendorong tubuh mereka menghasilkan lendir tambahan. 

    Pencetus biasa kehadiran lendir pada bayi adalah:

    • Asap rokok
    • Habuk dan bahan pencemar
    • Virus dan kuman lain
    • Bahan kimia
    • Perubahan cuaca

    cara buang kahak bayi

    Perkara berikut juga boleh mengakibatkan kewujudan lebihan lendir:

    • Jangkitan virus seperti flu atau selesema
    • Alahan 
    • Asma 
    • Pneumonia 
    • Bronkiolitis 

    Dalam kes jarang berlaku, kehadiran lendir berlebihan pada tekak dan dada bayi boleh berpunca oleh penyakit serius seperti fibrosis sista.

    Perubahan warna pada lendir

    Memahami perubahan pada warna lendir juga penting sebelum anda mengetahui cara buang kahak bayi.

    Inilah yang perlu diperhatikan:

    • Lendir jernih- Bayi dalam keadaan baik
    • Lendir putih atau kelabu yang lebih pekat- Mungkin okay atau mungkin disebabkan oleh kesesakan sinus (sinus congestion)
    • Lendir kuning- Bayi mungkin mengalami selesema ringan atau mengalami dehidrasi 
    • Lendir hijau hingga coklat- Ini boleh membimbangkan kerana jangkitan bakteria atau virus boleh mengubah lendir menjadi warna kehijauan
    • Lendir merah atau coklat- Bayi mungkin mempunyai darah atau kotoran dalam lendirnya dan perlu diperiksa segera

    Baca juga:

    Fahami tanda lendir perlu dikeluarkan

    Lendir yang terlalu banyak boleh menyebabkan ketidakselesaan pada si kecil dan menjadikannya sukar tidur serta bernafas.

    Anda mungkin menyedari bayi bernafas cepat atau nafas berbunyi. Anak juga mungkin bersin, batuk atau muntah kerana tubuh sedang cuba mengeluarkan kahak atau lendir tambahan ini.

    Walaupun lendir berfungsi melindungi bayi, tetapi jika berlebihan boleh mengakibatkan kuman berkembang dan berlakunya jangkitan. 

    Sebab itulah anda perlu tahu petua menyingkirkannya seperti dengan mengamalkan cara tepuk bayi buang kahak atau menggunakan penyedut hingus bayi (suction bulb).

    Cara buang kahak bayi menggunakan suction bulb

    1. Didih dan sejukkan semangkuk air untuk membersihkan penyedut hingus bayi.
    2. Pastikan tangan anda juga dibasuh dengan baik.
    3. Letakkan bayi dalam kedudukan kepala lebih rendah daripada dada mereka.
    4. Jauhkan penyedut daripada muka bayi dan picit keluar udara di dalamnya.
    5. Masih dalam posisi memicit penyedut, perlahan-lahan letakkan bahagian hujungnya ke dalam lubang hidung bayi atau bahagian dalam mulut si kecil. Jangan masukkan hujung penyedut terlalu dalam.
    6. Perlahan-lahan buka picitan pada penyedut – apabila udara disedut ke dalam, lendir atau kahak juga akan ditarik bersama.
    7. Kosongkan penyedut dengan memicit keluar lendir di dalam mangkuk atau sinki. Bersihkan penyedut dengan menyedut dan memerah air steril beberapa kali.
    8. Ulangi langkah sama (4 hingga 6) pada bahagian lubang hidung atau mulut bayi yang lain.
    9. Bersihkan suction bulb dengan menggunakan air mendidih selepas selesai dan pastikan ia dikeringkan sepenuhnya untuk penyimpanan bagi mengelakkan pertumbuhan kulat.

    cara buang kahak bayi

    Cara buang kahak bayi: Perkara yang perlu anda lakukan

    • Cara pembersihan penyedut adalah sama ada menggunakan air mendidih atau air sabun suam dan dibiarkan kering
    • Jika lendir atau kahak bayi pekat, anda boleh mencairkannya dengan meletakkan 2 atau 3 titisan larutan garam ke dalam hidung atau mulut bayi sebelum menyedut
    • Elakkan menyedut lendir secara berlebihan kerana ia masih diperlukan bayi untuk kekal sihat
    • Jika bayi menangis atau meragam ketika anda menggunakan suction bulb, berehat sebentar
    • Jangan berkongsi penyedut hingus dengan anak yang lain

    Cara buang kahak bayi: Hasilkan larutan air garam di rumah

    Menggunakan air larutan garam boleh membantu mencairkan lendir, sekali gus memudahkan ia untuk dikeluarkan.

    Larutan air garam atau saline boleh dibeli di kedai ubat atau dihasilkan sendiri di rumah. Anda boleh menggunakan air larutan garam ini sehingga 4x sehari untuk menghilangkan kahak anak.

    1. Campurkan ¼ sudu teh garam dan 1 cawan air masak.
    2. Biarkan ia menyejuk pada suhu bilik.
    3. Simpan dalam balang atau botol bersih dan bertutup.
    4. Pastikan anda meletakkan label tarikh ia dihasilkan kerana ia perlu dibuang selepas 3 hari.

    Cara tepuk bayi buang kahak

    cara buang kahak bayi

    Selain menggunakan penyedut hingus, cara buang kahak bayi yang turut boleh anda cuba adalah dengan melakukan tepukan lembut pada bahagian belakang si kecil

    Getaran daripada tepukan tersebut dipercayai dapat membantu memudahkan proses penyingkiran kahak.

    1. Baringkan bayi secara meniarap di atas lutut atau anda juga boleh meletakkan bayi dalam kedudukan duduk mencondong 30° ke hadapan.
    2. Lakukan tepukan perlahan belakang badan mereka dengan tangan yang ditekup.
    3. Semasa menepuk, pastikan anda hanya menepuk pada bahagian paru-paru dan elakkan menepuk bahagian tulang belakang atau perut si kecil.

    Semoga perkongsian cara buang kahak bayi ini berkesan dalam membantu anda mengatasi lebihan lendir pada si kecil. 

    Sekiranya terdapat keraguan atau kebimbangan mengenai keadaan anak, rujuklah doktor untuk lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan