backup og meta

Jangan Terkejut, Span Cuci Pinggan Jadi ‘Rumah’ Untuk 362 Jenis Bakteria! Patut Buang Atau Basuh?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 30/08/2022

    Jangan Terkejut, Span Cuci Pinggan Jadi ‘Rumah’ Untuk 362 Jenis Bakteria! Patut Buang Atau Basuh?

    Span basuh pinggan digunakan untuk membersihkan sisa kotoran pada pinggan mangkuk anda. Namun, tahukah anda bahawa span pencuci pinggan tidaklah sebersih yang disangka. Mengapa?

    Beratus-ratus bakteria ada pada span basuh pinggan 

    Terdapat satu kajian yang dilaksanakan oleh sebuah universiti di Jerman. Kajian tersebut dibuat bagi melihat jumlah atau populasi bakteria yang mendiami peralatan di rumah.

    Salah satu peralatan yang terlibat dalam kajian ini ialah sabun pencuci pinggan. Sebanyak 14 biji span pencuci pinggan telah didapatkan daripada penderma.

    Hasil kajian menunjukkan bahawa, terdapat 362 jenis spesis bakteria yang berbeza mendiami span pencuci pinggan yang dikaji itu.

    Ketumpatan bakteria tersebut pula ialah berjumlah sekitar 45 bilion bakteria bagi setiap satu sentimeter persegi.

    Antara jenis bakteria yang banyak dijumpai berada pada span basuh pinggan ialah E.Coli dan juga salmonella

    Walaupun span digunakan untuk mencuci pinggan, kajian ini telah membuktikan bahawa span itu sendiri tidaklah sebersih yang disangka.

    Bolehkah saya mencuci span basuh pinggan untuk menghilangkan bakteria?

    span basuh pinggan

    Anda mungkin berasa bahawa dengan mencuci span pencuci pinggan boleh menyingkirkan bakteria yang ada pada span tersebut. Namun, tanggapan anda mungkin tidak tepat.

    Dalam kajian yang sama, penyelidik mendapati bahawa span yang kerap dicuci dengan bancuhan air sabun dan juga menggunakan ketuhar mikro tidaklah begitu bersih.

    Malah, selepas dicuci, ia memerangkap lebih banyak bakteria khususnya bakteria yang dikenal sebagai Moraxella osloensis.

    Bakteria ini adalah jenis bakteria yang biasa ada di persekitaran kita dan tidak berbahaya. Namun, ia boleh menyebabkan jangkitan pada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

    Kajian juga mendapati, kaedah mencuci span dengan menggunakan ketuhar mikro tidak membunuh kesemua bakteria yang ada.

    Ini berpunca daripada suhu ketuhar mikro tersebut yang pelbagai. Suhu panas yang sedikit tidak membunuh bakteria, malah menggalakkan lagi pertumbuhannya.

    Suhu yang terlalu panas pula mungkin akan menyebabkan span anda terbakar dan hangus. Anda masih boleh menggunakan kaedah ini, namun ia tidak boleh membunuh bakteria 100%.

    Apa kaedah mencuci span yang boleh saya lakukan?

    Ada beberapa kaedah yang boleh digunakan jika mahu mencuci span pencuci pinggan anda.

    #1. Menggunakan kaedah rebusan

    Masak air sehingga air menggelegak. Kemudian masukkan span anda ke dalam air rebusan tersebut dan rebus buat seketika.

    Suhu air yang tinggi boleh membantu membunuh bakteria yang ada pada span anda.

    #2. Menggunakan campuran bahan peluntur

    Anda juga boleh menggunakan bahan peluntur untuk membunuh bakteria pada span basuh pinggan anda. Ikut arahan penggunaan yang terdapat pada label produk peluntur untuk membancuhnya dengan tepat.

    Rendam span anda untuk seketika (tidak perlu sehingga semalaman) agar bakteria dapat dibunuh.

    #3. Menggunakan mesin pengering pakaian

    Jika di rumah anda mempunyai kemudahan mesin pengering pakaian, anda boleh menggunakannya untuk mencuci span pinggan anda.

    Cara ini juga boleh membantu membunuh bakteria yang ada pada span. 

    #4. Buang span anda

    Cara yang paling baik dan sangat disarankan adalah dengan membuang sahaja span anda. Gantikan span yang telah lama dipakai dengan menggunakan span baharu.

    Apabila span lama anda sudah mula berbau busuk, ia petanda bahawa span anda sudah dipenuhi bakteria. 

    Cadangan untuk menggunakan kain lap berbanding span basuh pinggan

    span pencuci pinggan

    Ada juga cadangan yang lebih baik dan bersih untuk mencuci pinggan mangkuk di rumah. Cadangan tersebut adalah dengan menggunakan kain lap khusus untuk mencuci pinggan seperti yang digunakan di restoran.

    Kain lap menyerap air yang lebih sedikit, mempunyai ketebalan yang jauh lebih nipis dan juga kering dengan lebih cepat.

    Faktor-faktor ini menyebabkan bakteria lebih sukar untuk tumbuh dan membiak di atas kain lap pencuci pinggan.

    Selain itu, penggunaan kain lap juga lebih bersifat mesra alam kerana kita tidak perlu membuang span yang telah digunakan setiap minggu atau setiap bulan. 

    Kesimpulan

    Untuk mengelakkan sebarang jangkitan atau isu-isu berkaitan keracunan akibat bakteria, gantikanlah span anda dengan kerap.

    Apabila span sudah mula berbau busuk atau bertukar warna, tukarlah kepada span yang baharu. Span bukanlah satu barang yang mahal, oleh itu anda tidak mempunyai alasan lain untuk tidak menukarnya dengan kerap.

    Anda juga boleh mengikuti saranan di atas dengan menggunakan kain lap seperti yang digunakan di restoran untuk mencuci pinggan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 30/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan