Tetapi jika anda menekan alat penyedut ketika sudah berada dalam lubang hidung, ia akan mengeluarkan angin yang hanya akan mendorong hingus dan lendir untuk masuk lebih jauh ke dalam rongga hidung.
Picit keluar lendir yang berada di dalam alat penyedut ke atas tisu.
Lakukan kaedah rawatan ini dalam tempoh 15 minit sebelum menyusukan si manja dan sebelum waktu tidur. Ini akan membantu mereka untuk bernafas dengan lebih mudah ketika penyusuan badan atau menyusu botol, mahupun semasa tidur.
Ketika memilih larutan air garam, perhatikan dengan betul. Ini kerana terdapat beberapa larutan air garam yang mungkin mengandungi ubat. Anda disarankan untuk tidak memilih larutan air garam dengan ubat.
Titisan air garam biasa sudah berfungsi dengan baik untuk si manja. Cuma pastikan anda mencuci dan mengeringkan alat penyedut setiap kali selepas penggunaannya.
Alat pelembap udara
Kaedah rawatan lain dalam mengatasi hidung bayi tersumbat adalah dengan menambahkan kelembapan ke udara. Ia dapat mengelakkan lendir mengering di dalam hidung bayi anda.
Cara mudah menambahkan kelembapan adalah dengan menggunakan alat pelembap udara (humidifier).
Penggunaan alat pelembap yang akan melepaskan wap sejuk ke dalam bilik biasanya adalah selamat, selagi anda menjauhkannya daripada capaian si manja.
Tetapi ketika anda berada bersama bayi, seperti saat bermain atau semasa menidurkan mereka, letakkan alat tersebut dalam jarak yang cukup dekat agar wap tersebut sampai kepada si manja.
Untuk mengelakkan pertumbuhan kulat atau bakteria, tukar air di dalam alat pelembap udara ini setiap hari. Cuci dan keringkan penyejatnya mengikut arahan pengeluar.

Penggunaan ubat dan vapor rub
Kebanyakan ubat selesema adalah tidak selamat untuk digunakan kepada bayi dan kanak-kanak di bawah usia 4 tahun.
Manakala vapor rub pula selalunya akan mengandungi menthol,eucalyptus atau kapur barus yang berisiko mendatangkan bahaya kepada anak di bawah usia 2 tahun.
Malah, American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan untuk ibu bapa berbincang dengan pakar pediatrik sebelum memberikan sebarang ubat selesema kepada kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun.
Ini kerana masih tiada bukti penggunaan ubat tersebut akan dapat mengurangkan simptom selesema pada anak, bahkan, ia berpotensi mendatangkan bahaya.
Langkah pencegahan
Malangnya, masalah hidung bayi tersumbat atau berair adalah sebahagian daripada proses tumbesaran mereka dan tiada apa yang boleh anda lakukan untuk mencegahnya.
Namun, anda boleh meminimumkan risiko dengan kerap mencuci tangan anda dan si manja. Serta pastikan individu lain yang ingin bersentuhan dengan bayi anda turut melakukan perkara sama.
Tindakan ini sekurang-kurangnya boleh memastikan si kecil terhindar daripada jangkitan.
Pemeriksaan doktor
Hidung tersumbat adalah masalah biasa untuk berlaku kepada bayi dan kanak-kanak. Adakalanya ia disebabkan persekitaran dan faktor genetik. Kaedah rawatan di rumah adalah cukup untuk mengatasi keadaan ini.
Pun begitu, jika keadaan anak tampak semakin teruk sehingga mereka tidak mahu menyusu atau wujud sebarang perkara yang membimbangkan, segera bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.