Gangguan pencernaan, juga disebut asid refluk atau pedih ulu hati ketika mengandung adalah perkara biasa. Tetapi jika tidak dirawat, ada risiko bahaya pada ibu dan juga kandungan!
Mari, kethui mengapa ibu mengandung sering alami pedih ulu hati ketika hamil!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang kehamilan di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Gangguan pencernaan saat kehamilan
Ramai wanita mengalami gangguan pencernaan dan pedih ulu hati ketika mengandung. Ia boleh menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan.
Dianggarkan 8 daripada 10 wanita mungkin akan melalui keadaan ini semasa tempoh kehamilan.
Ia berkemungkinan berpunca daripada perubahan hormon dan bayi yang sedang membesar menekan perut anda.
Gangguan pencernaan, juga disebut ‘dispepsia’, adalah rasa sakit atau ketidakselesaan di perut (abdomen atas atau perut), yang biasanya berlaku sejurus selepas makan atau minum.
Situasi ini juga mungkin terjadi dalam tempoh waktu tertentu selepas itu.
Sekiranya anda mengalami gangguan pencernaan pada peringkat awal kehamilan, ini mungkin disebabkan oleh perubahan tahap hormon.
Pada trimester kedua atau ketiga, gangguan pencernaan menjadi lebih kerap dan selalunya disebabkan oleh tumbesaran bayi yang menekan perut.
Anda dapat membantu meredakan gangguan pencernaan dan pedih ulu hati semasa hamil dengan membuat perubahan pada diet dan gaya hidup.
Selain itu, ibu hamil yang mengalami masalah asid refluks juga boleh mengambil ubat-ubatan tertentu yang selamat untuk kandungan.
[embed-health-tool-bmi]
Simptom pedih ulu hati ketika mengandung
Selain pedih ulu hati, gejala gangguan pencernaan dan asid refluks termasuklah:
- Refluks atau memuntahkan semula makanan
- Bersendawa
- Perut terasa berat, kembung atau kenyang
- Rasa sakit
- Muntah
Apa yang mak buyung akan alami semasa serangan pedih ulu hati ketika mengandung adalah rasa sensasi terbakar pada tekak atau dada, sakit pada belakang tulang dada.
Ia disebabkan oleh asid dalam perut yang keluar daripada esofagus – tiub penghubung antara mulut dan perut – dan merengsakan lapisan esofagus.
Umumnya, bagi mereka yang sedang berbadan dua, gangguan ini didasari faktor seperti:
- Pengambilan hidangan makanan besar
- Makan makanan tinggi lemak seperti makanan segera
- Makan coklat atau pudina
- Minum jus buah sitrus atau minuman berkafein seperti kopi, teh atau minuman berkarbonat
- Melakukan aktiviti fizikal sejurus selepas makan
- Membongkokkan tubuh
- Berasa gelisah dan cemas
Anda boleh mengalami gejala-gejala yang disebutkan di atas pada bila-bila masa dalam tempoh kehamilan.
Namun ia dikatakan lebih kerap terjadi bermula minggu ke-27 kehamilan dan ke atas. Jadi ibu-ibu kena lebih berhati-hati ya?
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]
Mencegah pedih ulu hati semasa hamil
Sekiranya, simptom pedih ulu hati ketika mengandung yang dialami adalah ringan, melakukan perubahan pada diet atau gaya hidup dipercayai dapat membantu mencegah gangguan ini.
Apa yang boleh anda lakukan adalah:
- Mengamalkan makan makanan dalam saiz hidangan kecil, dengan lebih kerap
- Mengelakkan makan sebelum tidur
- Menghindari makanan dan minuman yang disyaki punca asid refluks terjadi
- Tidak minum banyak kopi pada penghujung hari
- Elak makan bersulam air yang boleh menjadikan perut lebih kenyang
- Duduk tegak semasa makan dan tidak baring sejurus selepas makan
- Makan gula-gula getah – ia membantu penghasilan lebih banyak air liur untuk meneutralkan asid
- Berhenti merokok
- Meninggikan bahagian kepala ketika tidur, anggaran ketinggian 10 hingga 15 cm
- Berbaring mengiring pada sebelah kiri
Satu idea yang baik adalah untuk mencatatkan makanan atau minuman mahupun aktiviti tertentu yang boleh mencetuskan gangguan ini semasa kehamilan.
Jadi anda boleh mengelakkannya selepas ini!
Sekiranya gangguan pencernaan tidak berkurangan walaupun selepas perubahan dilakukan atau mungkin masalah pedih ulu hati ketika mengandung bertambah teruk, berjumpalah doktor.
Doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk mengambil ubat untuk pencernaan, yang selamat digunakan semasa hamil.
Ubat-ubat ini boleh meneutralkan asid dalam perut, mengurangkan jumlah penghasilannya dan menyekat ia daripada naik ke esofagus semula.
Baca juga:
- Dada Rasa Terbakar? Ia Mungkin Tanda Pedih Ulu Hati Yang Anda Tak Sedar! Ini Puncanya
- Orang Terlebih Berat Badan Kena Jaga-jaga! Ada Risiko Kerap Pedih Ulu Hati
Pedih ulu hati ketika mengandung & risiko preeklampsia
Seandainya gejala masih tidak hilang walaupun selepas pengambilan ubat, pemeriksaan doktor segera amat digalakkan.
Ia penting kerana apa yang anda alami mungkin petanda sesuatu yang lebih serius, seperti preeklampsia.
Wanita hamil yang menghidap preeklampsia biasanya akan mengalami tekanan darah tinggi dan masalah buah pinggang.
Masalah kesihatan ini juga boleh menjejaskan hati, darah serta otak wanita secara serius, dan preeklampsia boleh terjadi pada mana-mana ibu hamil!
Oleh itu, adalah mustahak untuk memaklumkan kepada doktor sekiranya ubat merawat pedih ulu hati semasa hamil tidak berkesan, atau risiko bahaya menanti anda dan bayi!
Ini terutamanya jika anda mengalami keadaan tidak sihat seperti:
- Bengkak pada tangan, kaki atau muka secara tiba-tiba
- Sakit kepala yang tidak hilang selepas pengambilan ubat tahan sakit ringan
- Mengalami gangguan penglihatan seperti kabur atau melihat cahaya atau titik yang berkelip
- Kesakitan yang kuat pada bahagian bawah tulang rusuk
Jika ada sebarang kebimbangan dan keraguan mengenai keadaan kesihatan anda, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.