#1. Keguguran atau kematian janin
Menurut kajian yang dilakukan oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC), merokok meningkatkan peratusan keguguran dan kematian janin akibat bahan kimia yang terdapat di dalam rokok.
Dalam pada itu, keguguran janin biasa berlaku semasa 3 bulan pertama kehamilan. Kematian janin pula selalu berlaku selepas 20 minggu kehamilan di mana bayi sudah mula matang.
Jadi, ibu hamil sila berhenti segera untuk mengelakkan perkara ini berlaku ya?
#2. Kehamilan ektopik (luar rahim)
Menurut kajian yang dikeluarkan oleh jurnal PLoS One, nikotin mampu menyebabkan kontraksi pada tiub fallopio. Ini kemudiannya akan menghalang janin daripada melepasinya lalu menyebabkan kehamilan luar rahim.
Jika ini berlaku, janin tersebut perlu dikeluarkan untuk mengelakkan komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa si ibu. Anda mahu jadi begitu? Jadi, segera berhenti merokok!
#3. Plasenta previa (uri di bawah)
Semasa kehamilan, uri kebiasaannya akan berada di dalam rahim dan menuju ke arah atas untuk memberi ruang serviks terbuka bagi tujuan melahirkan bayi kelak.
Namun begitu, tabiat merokok akan meningkatkan risiko uri berada di bawah. Ini adalah berbahaya kerana ia mampu menyebabkan kekoyakan dan pendarahan pada plasenta.

#4. Kelahiran bayi pramatang
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), merokok sememangnya mampu menyebabkan kelahiran bayi pramatang. Ini perlu dielakkan sama sekali kerana bayi pramatang akan mengalami pelbagai kondisi kesihatan, komplikasi dan kecacatan yang akhirnya boleh mengundang kepada kematian bayi.
#5. Kelahiran bayi kurang berat
Selain melahirkan bayi pramatang, tabiat merokok juga meningkatkan risiko bayi lahir kurang berat. Sama seperti bayi pramatang, bayi kurang berat juga akan mengalami pelbagai masalah kesihatan dan ketidakupayaan dan paling bahaya, ia juga mampu membawa maut.
#6. Kecacatan janin
Tabiat wanita hamil merokok juga mampu menyebabkan berlakunya kecacatan pada janin. Antara jenis kecacatan yang sering berlaku adalah masalah jantung berlubang dan masalah struktur jantung. Selain masalah jantung, merokok semasa hamil juga merupakan antara punca berlakunya kecacatan pada bibir bayi seperti sumbing.
Selain kesan merokok terhadap janin yang telah disenaraikan di atas, terdapat banyak lagi mudarat merokok. Jelas sekali, akan berlaku pelbagai komplikasi kepada janin dalam kandungan jika wanita hamil merokok.
Oleh itu, berhentilah merokok tanpa mengira anda hamil atau tidak kerana merokok sememangnya akan mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan kita secara total.
Ibu hamil, tolong berhenti merokok segera
Kesimpulannya, tolonglah berhenti dari melakukan tabiat buruk ini. Sama ada ada mengandung atau tidak, itu bukan persoalannya. Merokok banyak kemuduratannya. Adakah anda mahu sesuatu perkara buruk terjadi kepada anda baru anda mahu berhenti? Fikirkannya semula ya!
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen