Tahukah anda berapa bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung? Ketahui berkaitannya dengan diabetes gestasi, lebih lanjut dalam perkongsian artikel ini.
Fasa kehamilan merupakan saat yang sering dinantikan buat pasangan suami isteri. Siapa yang tidak mahu menimang cahaya mata kan? Ia penting bagi memastikan kesinambungan keturunan individu. Namun, terdapat pelbagai komplikasi seperti diabetes kehamilan yang sering dikaitkan dengan kehamilan.
Artikel ini akan membincangkan perihal diabetes kehamilan yang kerap berlaku dalam kalangan wanita yang sedang hamil serta ketahui bacaan BSP yang normal ini. Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Sepintas lalu berkenaan dengan diabetes gestasi
Anda mungkin tahu diabetes terbahagi kepada dua iaitu diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2.
Mereka yang didiagnosis dengan diabetes jenis 1 bergantung kepada rawatan insulin manakala mereka yang didiagnosis dengan diabetes jenis 2 pula kebiasaannya disarankan untuk mengubah gaya hidup terlebih dahulu.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat satu lagi jenis diabetes yang boleh didiagnosis secara eksklusif dalam kalangan wanita mengandung? Ia digelar diabetes gestasi.
Kehamilan itu sendiri merupakan fasa diabetogenik, bermaksud wanita tersebut berada dalam keadaan seakan-akan diabetes.
Sepanjang tempoh kehamilan, kerintangan insulin akan berubah mengikut kepada keperluan semasa janin di dalam kandungan.
Pada fasa awal kehamilan, sensitiviti insulin si ibu berada pada tahap yang tinggi. Ini bagi membolehkan pengambilan sumber tenaga glukosa oleh sel lemak sebagai tenaga simpanan untuk keperluan pada fasa lewat kehamilan kelak.
Apa kepentingan bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung?
Jika anda tidak tahu apa itu BSP, ia merupakan singkatan kepada profil gula dalam darah (blood sugar profile).
Ujian BSP sering dilakukan di hospital dan klinik-klinik kesihatan buat si ibu yang menerima diagnosis diabetes gestasi atau mereka yang sudah mempunyai penyakit diabetes sebelum hamil (jenis 1 atau jenis 2).
Ujian ini bertindak sebagai sistem pemantauan bagi memastikan tahap gula di dalam darah si ibu berada pada paras yang optimum sepanjang hari. Jangan salah faham, ujian BSP bukan ujian saringan untuk mendiagnosis diabetes.
Bagi mereka yang mempunyai kelengkapan untuk memeriksa darah sendiri, ujian gula di dalam darah (self-monitoring blood glucose test) boleh dilakukan di rumah.
Jika tidak, ujian BSP perlu dilakukan di klinik atau hospital pada kekerapan 2 minggu sekali sehingga tiba waktu bersalin. Ia penting kerana tahap gula yang tidak terkawal boleh menyebabkan komplikasi kepada si bayi dan meningkatkan risiko si ibu untuk menjalani pembedahan C-Section.
Berapa bacaan kencing manis ibu mengandung?
Berapa bacaan BSP normal untuk ibu mengandung bergantung kepada sama ada ketika dia berpuasa atau selepas makan. Berikut merupakan Garis Panduan Klinikal yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:
- Sebelum makan, bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung adalah kurang daripada 5.3 mmol/L
- 1 jam selepas makan, bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung adalah kurang daripada 7.8 mmol/L
- 2 jam selepas makan, bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung adalah kurang daripada 6.4 mmol/L
Namun, perlu diingatkan bahawa, garis panduan ini merupakan saranan semata-mata. Ia berdasarkan dapatan daripada pelbagai jenis kajian yang telah dilakukan.
Interpretasi bacaan gula selepas atau sebelum makan kebiasaannya perlu dikaitkan dengan simptom lain bagi menentukan sama ada rawatan sedia ada perlu ditukar atau dikekalkan.
Maknanya apa? Bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung tidak boleh sewenang-wenangnya diterjemah oleh populasi umum.
Sebagai contoh, kajian yang dijalankan oleh Middleton pada tahun 2016 telah menunjukkan bahawa pengawalan tahap gula dalam darah yang ketat dalam kalangan ibu mengandung boleh meningkatkan risiko mereka untuk mendapat hipoglisemia.
Namun begitu, pemantauan tahap gula tersebut perlu dilakukan dengan sewajarnya.
Mereka yang mempunyai tahap gula di dalam darah melebihi 7 mmol/L perlu diberikan khidmat nasihat pemakanan atau penukaran kaedah rawatan walaupun tanpa simptom.
Ini berikutan, dalam kajian yang sama (Middleton), mereka yang mempunyai kadar gula dalam darah melebihi 7 mmol/L ketika berpuasa berisiko untuk mendapat komplikasi lain seperti preeklampsia, bayi besar dan pembedahan C-Section.
Rawatan diabetes gestasi
Pemantauan perlu diteruskan jika anda mendapat bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung. Namun buat mereka yang mendapat bacaan tidak normal, nasihat berkaitan penyakit perlu dilakukan.
Ramai individu yang sering tidak mengendahkan nasihat doktor kerana mereka tidak faham akan komplikasi yang bakal melanda sekiranya tahap gula di dalam darah kekal tinggi sepanjang tempoh kehamilan.
Buat golongan ini, pendidikan berkenaan penyakit dan nasihat pemakanan perlu diberikan terlebih dahulu.
Jika tidak, rawatan farmakologikal kebiasaannya menjadi pilihan untuk mengawal kadar gula tersebut.
Metformin merupakan ubat yang berkesan dalam merawat diabetes kehamilan.
Berbanding dengan ubat diabetes, glibenclamide, kajian meta analisis menunjukkan metformin dapat menurunkan risiko ibu untuk mendapat masalah bayi besar, pembedahan C-Section, kelahiran pramatang, hipoglisemia pada bayi dan memudahkan pengawalan berat badan.
Ubat metformin kebiasaannya akan diberikan kepada pesakit yang gagal untuk mencapai bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung walaupun sudah dipreskripsikan dengan kawalan pemakanan dan senaman.
Bagaimana pula dengan insulin? Terdapat beberapa senario di mana insulin sesuai untuk dijadikan rawatan utama. Antaranya:
- Bacaan bsp yang normal untuk ibu mengandung tidak tercapai walaupun sudah dipreskripsikan dengan kawalan pemakanan, senaman dan terapi metformin
- Tidak boleh mengambil metformin disebabkan oleh kontraindikasi atau tidak mahu mengambilnya
- Gula di dalam darah semasa berpuasa melebihi 7.0 mmol/L (walaupun belum dipreskripsi dengan terapi metformin)
- Gula di dalam darah semasa berpuasa di antara 6.0-6.9 mmol/L berserta dengan komplikasi seperti bayi besar atau polihidramnios
Jika anda mempunyai masalah diabetes gestasi, pastikan anda mematuhi jadual janji temu dengan doktor untuk tujuan pemantauan dan perancangan pemberian rawatan yang sesuai dengan keadaan klinikal semasa anda.
Konklusi
Usah pandang ringan dengan masalah diabetes gestasi! Jika anda hamil, pastikan anda mengambil ujian saringan bagi mengetahui tahap kesihatan anda secara menyeluruh.
Semasa tempoh kehamilan, bukan kesihatan bayi sahaja yang penting.
Perhatian!
Kesihatan ibu juga penting memandangkan ia boleh mempengaruhi tahap kesihatan anak di dalam kandungan.
[embed-health-tool-due-date]