Tahukah anda bagaimana cara untuk mengira waktu subur selepas period? Perkara ini penting terutamanya bagi mereka yang ingin merancang untuk hamil.
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group
Tahukah anda bagaimana cara untuk mengira waktu subur selepas period? Perkara ini penting terutamanya bagi mereka yang ingin merancang untuk hamil.
Walaupun terdapat banyak kalkulator kesuburan di laman web kesihatan, namun waktu subur berbeza bagi setiap individu.
Meskipun begitu ia tidak bermakna kita tidak boleh meramal bila waktu terbaik untuk melakukan hubungan seks bersama pasangan.
Jika anda ingin meningkatkan kebarangkalian untuk hamil, kiraan anggaran waktu subur selepas period boleh membantu mengatur kekerapan anda melakukan hubungan seks.
Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang kehamilan di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Kitaran haid wanita terbahagi kepada beberapa fasa. Antara yang menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin mendapatkan anak adalah waktu ovulasi.
Jadi, apa itu ovulasi?
Ia merupakan satu fenomena biologi di mana telur yang berada di dalam ovari keluar selepas matang kesan daripada perubahan hormon untuk disenyawakan dengan sperma.
Jika berlakunya pertembungan dan persenyawaan, produk kepada proses tersebut akan bergerak ke rahim dan ditanam di sana.
Apa yang anda perlu tahu adalah, sejurus keluar ovum (sel telur) daripada ovari, ia mempunyai masa sekitar 12 jam untuk disenyawakan.
Sekiranya tiada persenyawaan berlaku, sel tersebut akan mengalami fasa peluluhan (disintegration) dan dinding rahim yang menebal, kelak, akan jatuh sebagai darah haid.
Jika dilihat pada durasi ovum, secara logiknya, akan ada anggapan penting untuk kita meramal waktu yang tepat bagi proses ovulasi.
Bayangkan, anda hanya ada masa 12 jam sahaja!
Walau bagaimanapun, bukan semua individu mempunyai jumlah hari kitaran haid seperti apa yang digambarkan dalam buku teks.
Oleh sebab itu kiraan waktu subur selepas period agak mencabar, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kitaran haid teratur.
Pun begitu, waktu singkat yang dimiliki oleh ovum boleh ditimbang kembali dengan jangka hayat sperma di dalam badan wanita.
Secara amnya, sperma boleh hidup di antara 3 hingga 5 hari (3 hari lebih ideal) di dalam tubuh wanita.
Melalui dua maklumat jangka hayat sel ini lah kita boleh mengatur tabiat seks harian bagi meningkatkan kecenderungan untuk mendapatkan anak.
Semak kitaran haid dan tempoh ovulasi anda dengan menggunakan Kalkulator Kesuburan di sini.
Sebelum kita menentukan bila waktu subur selepas period, anda perlu tahu tempoh satu kitaran haid.
Menurut buku teks perubatan, secara puratanya, wanita normal mempunyai jumlah kitaran haid 28 hari.
Namun begitu, badan manusia tidak selalu beroperasi seperti apa yang termaktub dalam buku teks.
Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh mempengaruhi kitaran haid wanita.
Apa yang anda perlukan sekarang adalah purata durasi bagi kitaran haid dengan menggunakan kiraan ringkas matematik.
Kira atau lihat pada rekod (jika anda menulis) jumlah hari kitaran haid bagi tiga bulan.
Anda mungkin berminat:
Apabila anda mempunyai jumlah tersebut tambahkan dan bahagi 3 bagi mendapatkan nilai purata.
Sebagai contoh, jumlah hari kitaran haid anda adalah 28 hari pada bulan pertama, 32 hari pada bulan kedua dan 27 hari pada bulan ketiga.
Jika ditambah kesemua angka tersebut, anda akan mendapat nilai 87.
Seterusnya, bahagi 3, nilai yang bakal anda perolehi adalah 29 hari.
Secara ringkasnya, kita boleh simpulkan, anggaran nilai purata bagi kitaran haid anda adalah 29 hari.
Langkah ini penting sebelum kita mengambil kira nilai seterusnya bagi meramal waktu subur selepas period bagi wanita yang ingin hamil.
Oleh sebab terdapat dua fasa (fasa folikel dan fasa luteal) di antara fasa ovulasi, pengiraan waktu subur selepas period secara tepat agak mencabar.
Setiap wanita mempunyai jumlah hari bagi fasa folikel dan luteal berbeza, tidak kiralah seberapa besar pun nilainya.
Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan anggaran masa untuk mengetahui waktu subur selepas period, kita menggunakan nilai fasa luteal tetap pada 14 hari. Anda juga boleh menggunakan Kalkulator Ovulasi.
Ini bermakna nilai anggaran purata 29 hari sebentar tadi (bergantung kepada hasil pengiraan anda) perlu ditolakkan dengan 14 hari.
Hasil kiraan tersebut akan memberikan nilai 15. Secara mudahnya, ramalan bagi waktu subur adalah pada sekitar hari ke-15 kitaran haid.
Oleh sebab wanita mempunyai waktu subur yang berbeza, maklumat berkenaan dengan jangka hayat sperma boleh diambil untuk meningkatkan kebarangkalian hamil.
Jika hubungan seks dibuat 3 hari sebelum hari ke-15, maka, waktu yang paling sesuai untuk anda mencuba adalah pada hari ke 13, 14 dan 15.
Waktu tersebut boleh dianggap sebagai waktu subur selepas period.
Bagi mereka yang tidak pasti dan mempunyai kitaran haid tidak teratur, hubungan seks pada kekerapan sekali dalam tempoh dua hingga 3 hari boleh meningkatkan kebarangkalian anda untuk hamil.
Nilai yang dinyatakan di atas tidak boleh diambil sebagai angka mutlak bagi jumlah hari fasa tertentu.
Namun ia berguna jika anda ingin membuat kiraan jangkaan berkaitan dengan waktu subur selepas period.
Jika anda ragu, dapatkan khidmat nasihat daripada doktor perubatan anda sekarang.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen