Statistik menunjukkan pada tahun 2005, sebanyak 30.3 juta kilogram gula per kapita diproses untuk kegunaan rakyat Malaysia.
Namun begitu, pada tahun 2013, sebanyak 43 juta kilogram gula per kapita disediakan untuk kegunaan domestik di Malaysia, bersamaan dengan 118 gram gula setiap hari.
Jumlah ini sangat menakutkan kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) cuma mengesyorkan pengambilan gula sebanyak 15-20 juta kilogram per kapita setiap tahun atau 41.1-54.8 gram setiap hari!
Cadangan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia
WHO mengesyorkan pengambilan gula tambahan haruslah dihadkan, tidak lebih daripada 10% penggunaan tenaga harian kita.
Dengan erti kata lain, jumlah purata pengambilan gula tambahan untuk seorang dewasa sepatutnya tidak boleh melebihi 10 sudu teh sehari atau sebanyak 50 gram sehari.
Jika berat badan anda melebihi normal ataupun mengalami obesiti, sebaiknya anda elakkan pengambilan gula tambahan sama sekali.
Mudarat pengambilan berlebihan
Pengambilan gula yang berlebihan untuk jangka masa panjang boleh menjurus kepada banyak penyakit, terutama sekali jika anda mempunyai ahli keluarga yang didiagnosis dengan penyakit yang sama.
Contoh penyakit yang mudah didapati dek kerana gula ialah:
- Obesiti
- Kencing manis
- Darah tinggi
- Sakit jantung
Malaysia mempunyai kadar obesiti yang tertinggi di Asia, sebanyak 64% lelaki dan 65% wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan.
Statistik kencing manis untuk rakyat berumur 18 tahun ke atas juga meningkat dari 11.6% pada tahun 2005 ke 17.5% pada tahun 2015.
Cadangan pengurangan kadar gula dalam diet anda

Jangan risau, anda masih boleh makan nasi, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti biasa asalkan ia seimbang.
Masalah yang sering dialami oleh rakyat Malaysia adalah pengambilan kadar gula yang tidak berpatutan dalam minuman manis dan makanan yang diproses.
Kami faham, kadang-kadang kita mengidam, tetapi janganlah jadikannya sebagai rutin diet anda!
Akhir sekali, biasakan diri anda dengan pengambilan air kosong yang banyak, dan cuba hadkan pengambilan gula dalam kopi dan teh anda.
Elakkan meletakkan gula dalam masakan, sebaliknya tukarlah resipi anda dan gunakanlah rempah-ratus seperti kayu manis, buah pala, atau buah dan sayur seperti lemon, limau purut atau lada benggala sebagai penambah rasa dalam masakan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen