
Sejak vaksin diperkenalkan di Malaysia melalui Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), bilangan kes bagi penyakit-penyakit berjangkit yang divaksin semakin berkurang. Antara penyakit yang turut terlibat adalah batuk kering (tibi), demam campak, batuk kokol dan hepatitis B. Selain itu, difteria juga termasuk dalam kalangan penyakit tersebut.
Walau bagaimanapun, bilangan kes bagi sesetengah penyakit menunjukkan sedikit peningkatan, khususnya penyakit difteria yang menjadi perbincangan utama artikel ini. Antara punca yang dapat dikenal pasti adalah:
- Keengganan ibu bapa dalam memberikan vaksin kepada anak mereka atas pelbagai sebab – mengandungi bahan yang didakwa ‘haram’ dari sudut agama, bimbang kesan sampingan vaksin, mengamalkan homeopati sebagai ‘alternatif’.
- Hanya mengambil satu suntikan atau kurang daripada seharusnya sama ada terlupa atau tidak ingin meneruskannya.
Sekurang-kurangnya 3 suntikan
Suntikan ini perlu diambil sekurang-kurangnya 3 suntikan iaitu pada bulan ke-2, 3 dan 5 bersama dengan vaksin tetanus dan batuk kokol (pertussis). Gabungan vaksin ini disebut sebagai DTaP. Tanpa suntikan yang mencukupi, sistem imun anak anda tidak mampu melawan jangkitan bakteria yang menyebabkan difteria.
Selepas 3 suntikan ini, dos booster pula perlu diambil pada umur 18 bulan dan 7 tahun untuk merangsang semula sistem imun yang semakin lemah dan memberikan ketahanan yang optimum selepas suntikan terakhir.
Kegagalan anda mendapatkan kesemua dos ini bukan sahaja mendedahkan anak anda kepada jangkitan, malah juga berpotensi menyebarkan jangkitan di dalam masyarakat. Jika ramai ibu bapa gagal memberikan semua dos ini kepada anak mereka, tidak mustahil wabak difteria boleh berlaku.
Kos rawatan difteria adalah jauh lebih tinggi berbanding vaksin
Pada tahun 2016, Malaysia melaporkan 5 kematian daripada keseluruhan 21 kes difteria. Ini bermakna 21.7% daripada mereka yang dijangkiti berakhir dengan kematian. Kesemua 5 kes terbabit tidak mendapatkan suntikan atau tidak melengkapkan suntikan.
Rawatan bagi penyakit ini melibatkan antitoksin dan antibiotik. Kos bagi satu vial (botol kecil) antitoksin adalah sekitar RM550 manakala satu suntikan vaksin berharga RM35. Seorang bayi memerlukan 4 suntikan manakala rawatan memerlukan 2 hingga 8 vial bergantung kepada berat badan dan keadaan pesakit.
Maka, kos rawatan bagi seorang pesakit adalah antara RM1,100 hingga RM4,400 tidak termasuk antibiotik dan kos di dalam wad, manakala vaksin hanya RM140. Namun, masyarakat mungkin tidak nampak beban tersebut kerana majoriti daripada kos tersebut ditanggung oleh kerajaan – sebenarnya bersumberkan daripada masyarakat juga.
Setakat ini, tiada undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin kerana kita percaya bahawa rakyat Malaysia cukup bijak untuk membuat keputusan!
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.