Rahim Jatuh: Keadaan Menjejaskan Kualiti Kehidupan Wanita

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 8 minit bacaan
Share now

Apa itu rahim jatuh?

Rahim jatuh atau jatuh organ peranakan (anterior prolapse), juga dikenali sebagai sistosele (cystocele) yang berlaku apabila tisu sokongan di antara pundi kencing dan dinding faraj wanita menjadi lemah dan membengkak, yang membolehkan pundi kencing tersembul masuk ke faraj. Rahim jatuh ini juga dipanggil prolaps pundi kencing (prolapse bladder).

Ketegangan otot yang menyokong organ pelvis (pinggul) anda boleh menyebabkan rahim jatuh. Ketegangan seperti ini berlaku semasa kelahiran yang normal atau dengan sembelit kronik, batuk yang teruk atau mengangkat berat. Rahim jatuh juga cenderung menyebabkan masalah selepas menopaus, yang mana apabila tahap estrogen anda semakin menurun.

Bagi keadaan rahim jatuh yang ringan atau sederhana, rawatan selain pembedahan selalunya berkesan. Dalam kes-kes yang lebih teruk, pembedahan mungkin diperlukan untuk memastikan faraj dan organ-organ pelvis lain dalam kedudukan yang betul.

Apakah kebarangkalian berlakunya rahim jatuh?

Rahim jatuh boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang wanita yang mengalaminya. Berdasarkan laporan kajian Outcome of Treatment of Anterior Vaginal Wall Prolapse and Stress Urinary Incontinence with Transobturator Tension-Free Vaginal Mesh (Prolift) and Concomitant Tension-Free Vaginal Tape-Obturator, lebih daripada 50 peratus (%) daripada multiparas (wanita yang telah melahirkan anak dua kali atau lebih) menderita masalah ini.

Dianggarkan risiko sepanjang hayat pembedahan untuk prolaps atau inkontinen adalah 11%, dengan satu daripada tiga pesakit yang memerlukan lebih daripada satu pembedahan. Dan, teknik pembedahan klasik mempunyai kadar berulang tinggi yang mungkin antara 5 dan 40% untuk sistosele (cystosele).

Tanda-tanda dan simptom rahim jatuh

Dalam kes rahim jatuh yang ringan, anda mungkin tidak dapat melihat atau menyedari apa-apa tanda atau simptomnya. Tetapi apabila tanda-tanda dan simptom berlaku, ia mungkin termasuk:

  • Rasa penuh atau tekanan pada pelvis dan faraj anda
  • Peningkatan ketidakselesaan apabila anda meneran, batuk, mencangkung atau mengangkat barang
  • Berasa pundi kencing anda masih belum kosong selepas anda buang air kecil
  • Jangkitan pundi kencing yang berulang
  • Kepedihan atau kebocoran air kecil semasa melakukan hubungan seksual
  • Dalam kes-kes yang parah, bonjolan tisu yang menonjol melalui pembukaan faraj anda dan mungkin berasa seperti sedang duduk di atas sebiji telur

Tanda-tanda dan simptom selalunya ketara selepas berdiri untuk jangka masa yang lama dan mungkin hilang apabila anda berbaring.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa tanda atau simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Punca rahim jatuh

Keadaan rahim jatuh boleh terjadi dengan banyak sebab. Penyebab utamanya adalah tekanan pada lantai pelvik. Lantai pelvik anda terdiri daripada otot, ligamen dan tisu penghubung yang menyokong pundi kencing dan organ pelvik anda. Hubungan antara otot lantai pelvik dan ligamen boleh menjadi lemah dari semasa ke semasa, akibat trauma dari melahirkan atau ketegangan kronik otot lantai pinggul ini. Apabila keadaan ini berlaku, pundi kencing anda boleh turun lebih rendah daripada normal dan membonjol ke dalam faraj anda, iaitu keadaan rahim jatuh.

Wanita yang mengalami banyak kehamilan, kelahiran secara normal, atau mengalami proses bersalin yang lama atau sukar, berada pada risiko yang lebih tinggi. Sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan rahim jatuh ialah:

  • Angkat berat yang berulang kali
  • Batuk kronik (atau masalah paru-paru lain)
  • Sembelit
  • Sentiasa meneran untuk membuang najis
  • Berlebihan berat badan atau obesiti
  • Menopaus (apabila tahap estrogen mula menurun)
  • Pembedahan pelvis sebelum ini
  • Penuaan

Faktor risiko rahim jatuh

Terdapat banyak faktor risiko yang boleh meningkatkan keadaan rahim jatuh iaitu:

  • Melahirkan anak. Wanita yang melahirkan seorang atau lebih anak secara normal mempunyai risiko rahim jatuh.
  • Penuaan. Risiko rahim jatuh akan meningkat seiring dengan umur anda. Ini terutamanya berlaku selepas menopaus, apabila pengeluaran estrogen tubuh anda, yang membantu mengekalkan lantai pelvis menjadi kuat menurun atau berkurang.
  • Histerektomi. Pembuangan rahim mungkin menyumbang kepada kelemahan pada sokongan lantai pelvis anda.
  • Genetik. Sesetengah wanita dilahirkan dengan tisu penghubung yang lemah, menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada keadaan rahim jatuh.
  • Obesiti. Wanita yang berlebihan berat badan atau obesiti berisiko tinggi terhadap rahim jatuh.

Jenis-jenis prolaps

Terdapat 4 jenis prolaps yang utama, iaitu:

  • Pundi kencing yang menonjol ke dinding depan faraj (prolaps anterior)
  • Rahim yang menonjol atau menggantung ke dalam faraj (prolaps uterus)
  • Bahagian atas faraj (vault) merosot (prolaps vault), ini berlaku kepada sesetengah wanita selepas mereka menjalani pembedahan untuk mengeluarkan rahim mereka
  • Usus membonjol ke hadapan dan belakang dinding faraj (posterior wall prolapse)

Ia mungkin mempunyai lebih daripada satu jenis ini pada masa yang sama.

Bilakah perlu berjumpa doktor?

Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Apakah yang dilakukan semasa temu janji dengan doktor anda?

Doktor anda akan bertanya sama ada mereka boleh melakukan pemeriksaan pelvik dalaman.

Untuk ini anda perlu menanggalkan pakaian dari pinggang ke bawah dan berbaring di atas katil pemeriksaan. Doktor anda akan merasakan apa-apa benjolan di kawasan pelvis dan di dalam vagina anda. Mereka mungkin perlahan-lahan meletakkan peralatan atau instrumen yang dipanggil spekulum ke dalam faraj untuk menahan dindingnya terbuka supaya dapat melihat jika terdapat prolaps.

Kadang-kadang mereka akan meminta anda untuk berbaring di sebelah kiri anda dan memeriksa anda dalam kedudukan itu untuk mendapatkan pandangan yang lebih baik mengenai prolaps.

Sesetengah wanita mungkin menolak untuk berjumpa doktor mereka jika berasa malu atau bimbang tentang apa yang didapati oleh doktor. Walau bagaimanapun, pemeriksaan adalah penting. Ia hanya mengambil masa beberapa minit dan sama dengan ujian smear.

Anda boleh meminta peperiksaan ini dilakukan oleh doktor wanita dan, jika anda suka, bawakan seseorang yang anda percayai bersama dengan anda untuk sokongan.

Ujian selanjutnya

Sekiranya anda mempunyai masalah dengan pundi kencing anda, anda boleh dirujuk ke hospital untuk ujian lanjut. Ini termasuk:

  • Ujian air kencing untuk mencari atau kenal pasti jangkitan
  • Memasukkan tiub kecil ke pundi kencing anda untuk mencari sebarang masalah

Diagnosis rahim jatuh

Keadaan ini boleh dikenal pasti dengan sejarah klinikal dan ujian pelvis. Pemeriksaan ini boleh dilakukan semasa anda berbaring, meneran, menekan, atau berdiri. Penyedia penjagaan kesihatan anda boleh mengukur betapa seriusnya prolaps dan bahagian-bahagian faraj yang jatuh.

Ujian dan imbasan lain juga boleh dilakukan untuk memeriksa lantai pelvis, seperti:

  • Sistoskopi
  • Ujian urodinamik
  • X-ray
  • Imbasan ultrabunyi
  • MRI

Rawatan rahim jatuh

Organ-organ yang prolaps tidak dapat disembuhkan dengan sendirinya, dan ia akan memburukkan keadaan dari semasa ke semasa.

Rawatan bergantung kepada sejauh mana keterukan prolaps anterior anda dan sama ada anda mempunyai sebarang keadaan lain yang berkaitan, seperti rahim yang masuk ke saluran vagina (prolaps uterus/prolaps posterior).

Bagi kes-kes ringan, mereka yang mempunyai sedikit atau tiada simptom yang jelas biasanya tidak memerlukan rawatan. Anda boleh memilih pendekatan tunggu dan lihat, dengan beberapa lawatan susulan kepada doktor anda untuk melihat jika prolaps anda semakin teruk, bersama dengan langkah penjagaan diri, seperti senaman yang menguatkan otot lantai pelvis anda.

Sekiranya langkah penjagaan diri tidak berkesan, rawatan rahim jatuh mungkin melibatkan:

  • Alat sokongan (pesari). Pesari faraj adalah cincin plastik atau getah yang dimasukkan ke dalam faraj anda untuk menyokong pundi kencing. Doktor atau penyedia penjagaan kesihatan anda akan menyesuaikan pesari anda, menunjukkan kepada anda bagaimana untuk membersihkan dan memasukkannya kembali dengan sendirinya. Ramai wanita menggunakan pesari sebagai alternatif sementara untuk pembedahan, dan ada yang menggunakannya apabila pembedahan didapati terlalu berisiko.
  • Terapi estrogen. Doktor anda boleh mengesyorkan penggunaan estrogen yang biasanya krim, pil atau gelang/cincin faraj terutama jika anda sudah mengalami menopaus. Ini adalah kerana estrogen yang membantu mengekalkan otot pinggul kuat, dan ia menurun selepas anda menopaus.

Bilakah pembedahan diperlukan?

Jika anda mempunyai simptom yang ketara dan ketidakselesaan, rahim jatuh mungkin memerlukan pembedahan.

  • Bagaimana ia dilakukan? Selalunya, pembedahan dilakukan melalui faraj dan melibatkan mengangkat pundi kencing yang jatuh ke tempatnya, mengeluarkan tisu tambahan, dan mengetatkan otot serta ligamen lantai pelvis. Doktor anda boleh menggunakan graf tisu jenis khas untuk menguatkan tisu faraj dan meningkatkan sokongan jika tisu faraj anda kelihatan sangat nipis.
  • Jika anda mempunyai rahim jatuh. Doktor anda boleh mengesyorkan untuk mengeluarkan rahim (histerektomi) di samping membaiki otot lantai pelvis yang rosak, ligamen dan tisu lain.

Jika anda berfikir untuk hamil, doktor anda mungkin akan mengesyorkan agar anda melambatkan pembedahan sehingga selepas anda melahirkan anak. Menggunakan pesari boleh membantu melegakan simptom anda dalam masa yang sama. Manfaat pembedahan boleh bertahan selama bertahun-tahun, namun terdapat risiko berulang, yang mungkin bermakna pembedahan lain diperlukan pada masa hadapan.

Tempoh penyembuhan daripada pembedahan

Kadar penyembuhan daripada prosedur pembedahan bagi setiap individu adalah berbeza. Anda boleh mengharapkan untuk berasa lebih baik dan lebih kuat setiap hari, walaupun anda mungkin berasa cepat letih dan memerlukan ubat sakit selama seminggu atau dua minggu.

Anda juga mungkin memerlukan 4 hingga 6 minggu untuk pulih sepenuhnya daripada pembedahan terbuka dan 1 hingga 2 minggu untuk pulih daripada pembedahan laparoskopi atau pembedahan vagina. Adalah penting untuk mengelakkan mengangkat berat sepanjang proses pemulihan anda, supaya luka anda cepat sembuh.

Penjagaan diri di rumah selepas pembedahan

Aktiviti

  • Rehat apabila berasa letih. Tidur yang cukup membantu proses pemulihan anda.
  • Cuba berjalan kaki setiap hari. Mulakan dengan berjalan lebih banyak sedikit daripada yang anda lakukan sehari sebelumnya. Berjalan meningkatkan aliran darah dan membantu mencegah radang paru-paru dan sembelit.
  • Elakkan mengangkat apa-apa yang akan mengakibatkan ketegangan, termasuk mengangkat kanak-kanak, vakum, atau beg barangan runcit – untuk kira-kira 1 minggu selepas pembedahan laparoskopi dan 4 hingga 6 minggu selepas pembedahan terbuka.
  • Elakkan aktiviti berat, seperti berbasikal, jogging, angkat berat, dan latihan aerobik, selama 4 hingga 6 minggu selepas pembedahan terbuka dan 1 minggu selepas pembedahan laparoskopi.
  • Anda mungkin mengalami pendarahan faraj ringan. Pakai pelapik sanitari (pad) jika diperlukan.
  • Tanya doktor anda bila anda boleh memandu lagi.
  • Anda mungkin perlu mengambil 2 hingga 4 minggu cuti bekerja untuk pembedahan terbuka dan 1 minggu untuk pembedahan laparoskopi atau pembedahan vagina. Ia bergantung pada jenis kerja yang anda lakukan.
  • Doktor anda akan memberitahu bila anda boleh melakukan semula hubungan seks.

Diet

  • Anda boleh makan makanan biasa anda. Sekiranya perut anda tidak selesa, cuba makanan rendah lemak seperti nasi putih, sup ayam, roti bakar dan yogurt.
  • Minum banyak cecair, kecuali doktor tidak mengesyorkannya.
  • Anda mungkin mendapati bahawa pergerakan usus anda tidak teratur selepas pembedahan anda. Ini adalah biasa. Tetapi jika anda tidak mempunyai pergerakan usus selepas beberapa hari, beritahu doktor anda.

Ubat-ubatan

  • Doktor anda akan memberitahu anda jika dan bila anda boleh memulakan semula ubat anda. Dia juga akan memberi arahan tentang mengambil ubat-ubatan baru.
  • Ambil ubat sakit dengan tepat seperti yang diarahkan.

Penjagaan sapuan  

  • Jika anda mempunyai jalur pita pada tempat pembedahan (insisi) yang dibuat oleh doktor, biarkan pita itu selama seminggu atau sehingga ia jatuh.
  • Basuh kawasan tersebut setiap hari dengan air suam dan lap kering.
  • Pastikan kawasan itu bersih dan kering. Anda boleh menutupnya dengan pembalut kain kasa. Tukar pembalut setiap hari.

Menguruskan inkontinens

Sekiranya prolaps anterior anda disertai oleh inkontinens stres, iaitu kehilangan air kecil secara tidak sengaja semasa aktiviti berat, doktor anda boleh mengesyorkan salah satu daripada beberapa prosedur untuk menyokong uretra (penggantungan uretra) dan mengurangkan simptom inkontinens anda.

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan

Dalam kebanyakan kes, prolaps faraj tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, jika anda menangani faktor risiko sebelum menjadi masalah, ia dapat membantu kesihatan faraj anda.

Gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani prolaps anterior:

Senaman Kegel

Ia membantu menguatkan otot lantai pelvis, yang menyokong rahim, pundi kencing dan usus. Lantai pelvis yang diperkuatkan akan memberikan sokongan yang lebih baik untuk organ pelvis dan kelegaan daripada simptom yang berkaitan dengan prolaps anterior.

Untuk melakukan senaman Kegel, ikuti langkah berikut:

  • Kecutkan (kontrak) otot lantai pelvis (panggul) anda – otot yang anda gunakan untuk menghentikan kencing.
  • Menahan penguncupan selama lima saat, kemudian berehat selama lima saat. (Jika ini terlalu sukar, mulakan dengan menahan selama dua saat dan berehat selama tiga saat.)
  • Berusaha untuk menahan penguncupan selama 10 saat pada satu masa.
  • Buat tiga set 10 ulangan senaman setiap hari.

Sila rujuk penyedia penjagaan kesihatan anda untuk maklum balas sama ada anda menggunakan otot yang betul. Senaman Kegel mungkin paling berkesan apabila mereka diajar oleh ahli terapi fizikal dan diperkuat dengan biomaklum balas (biofeedback). Biomaklum balas melibatkan menggunakan peranti pemantauan yang membantu memastikan anda mengetatkan otot yang betul dengan intensiti yang optimum dan jangka masa yang sesuai.

Sebaik sahaja anda telah mempelajari kaedah yang betul, anda boleh melakukan senaman Kegel secara mudah pada bila-bila masa sahaja, sama ada anda duduk di meja anda atau berehat di sofa.

Merawat dan mengelakkan sembelit

Minum banyak cecair dan makan makanan serat tinggi, seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kacang-kacangan dan bijirin bijirin.

Elakkan mengangkat berat dan angkat dengan betul

Apabila anda mengangkat, gunakan kaki berbanding pinggang atau belakang anda.

Mengawal batuk

Dapatkan rawatan untuk batuk kronik atau bronkitis, dan jangan merokok.

Elakkan atau kawal kenaikan berat badan

Berbincang dengan doktor anda untuk menentukan berat badan ideal anda dan dapatkan nasihat mengenai strategi penurunan berat badan, jika anda memerlukannya.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Artikel lain untuk anda

    rahim jatuh

    Nak Tahu Rahim Jatuh Atau Tidak, Caranya Hanya Guna Jari, Boleh Lakukan Sendiri?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Diterbitkan pada 02/09/2020 . 3 minit bacaan
    tanda rahim jatuh

    Rahim Jatuh Jika Angkat Barang Berat? Ini Fakta, Ada Banyak Lagi Punca Peranakan Jatuh!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 27/03/2020 . 3 minit bacaan
    rahim jatuh

    Orang Perempuan WAJIB Tahu Simptom Rahim Jatuh, Jangan Biar Ia Berlanjutan Tanpa Dirawat!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif
    Diterbitkan pada 27/05/2018 . 12 minit bacaan