backup og meta

Jangan Tak Tahu, Anda Masih Berisiko Kena Penyakit Radang Pelvis Tanpa Jangkitan Kelamin!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 22/04/2022

    Jangan Tak Tahu, Anda Masih Berisiko Kena Penyakit Radang Pelvis Tanpa Jangkitan Kelamin!

    Penyakit radang pelvik (PID) adalah jangkitan dan pembengkakan pada organ pembiakan wanita.

    Ia boleh melibatkan faraj, rahim, tiub fallopio dan ovari. Risiko penyakit PID meningkat jika seseorang menghidap jangkitan kelamin seperti gonorea, klamidia atau pernah mengalami  penyakit kelamin (STD).

    Tapi tahukah anda, penyakit radang pelvik juga boleh terjadi tanpa dijangkiti STD?

    Ya, benar! Kira-kira 10% kes penyakit PID yang berlaku tidak melibatkan jangkitan kelamin.

    Penyakit radang pelvik, mari kenal lebih lanjut!

    Sebelum penulis kupas dengan lebih lanjut, wajar untuk kalian fahami penyakit yang dikenali sebagai PID ini dengan lebih mendalam.

    Menurut U.S. Department of Health and Human Services, kondisi yang berbahaya ini telah menjejaskan sekitar 5% wanita di Amerika Syarikat.

    PID akan menyebabkan keradangan pada saluran fallopio akibat selaput tiub yang membengkak, kemudian menyempitkannya.

    Tapi, apa yang lebih membimbangkan, embrio yang terhasil daripada persenyawaan akan tersumbat di tiub lalu meningkatkan risiko kemandulan atau mengandung di luar rahim.

    Tambahan itu, penyakit ini juga adalah berbahaya dek kerana majoriti kes tidak bergejala, lalu membuatkannya lebih sukar untuk dikesan.

    Tapi, apakah puncanya?

    Majoriti kes PID ditularkan secara seksual. Namun, penyakit radang pelvik yang bukan seksual pula boleh terbentuk melalui:

    Mikroorganisma pemicu penyakit radang pelvik selalunya disebarkan secara seksual. Ia merangkumi:

    radang pelvik

  • Gonorea (paling kerap)
  • Klamidia (paling kerap)
  • Mycoplasma
  • Trichomonas
  • Beberapa jenis bakteria lain juga boleh menyebabkan penyakit PID, seperti:

    • E.coli
    • Staphylococcus
    • Klebsiella
    • Fusobacteria
    • Clostridia
    • Actinomyces
    • Bacteroides

    Bagaimana pula dengan faktor risikonya? Ingin tahu? Teruskan pembacaan!

    Faktor-faktor risiko penyakit radang pelvik

    Untuk makluman pembaca, ada beberapa faktor yang berupaya meningkatkan risiko seseorang untuk terkena PID, seperti:

    1. Mempunyai sejarah STD atau PID.
    2. Sering bertukar pasangan seksual.
    3. Bersetubuh dengan individu yang mempunyai banyak pasangan seksual.
    4. Terlibat dengan hubungan seksual tanpa perlindungan.
    5. Seorang wanita yang aktif secara seksual dan berumur kurang dari 25 tahun.
    6. Kerap basuh faraj, menyebabkan ketidakseimbangan bakteria baik dan ‘jahat’ terganggu.
    7. Menggunakan alat pencegah kehamilan berjangka panjang, seperti IUD.
    8. Menggunakan tampon, alat intrauterin (IUD) atau meruang dalam jangka masa 3 hingga 6 minggu setelah pengguguran atau bersalin, terutamanya ketika ‘mulut’ rahim masih terbuka dan mudah dijangkiti.

    Sekarang, mari kita lanjut ke tanda-tanda dan gejala radang pelvik yang perlu anda tahu!

    Tanda-tanda & simptom

    Tanda dan gejala penyakit radang pelvik sebenarnya unik dan berbeza-beza bagi setiap individu.

    Sesetengah pesakit mungkin hanya memiliki simptom ringan, namun ada juga yang menderita gejala yang lebih teruk!

    Antara tanda dan gejala yang kerap berlaku adalah seperti berikut:

    • Hubungan seks yang menyakitkan
    • Keputihan berbau busuk dan banyak
    • Sakit bahagian perut bawah yang mungkin ringan atau parah
    • Demam dengan atau tanpa menggigil
    • Pendarahan rahim yang tidak normal, terutamanya antara kitaran haid dan semasa/usai bersenggama
    • Sakit ketika kencing dan kerap membuang air kecil

    Jadi, bila perlu berjumpa doktor?

    radang pelvik

    Bagi yang mungkin tertanya-tanya, bilakah masa yang sesuai untuk temui doktor, perkara di bawah menjadi indikator untuk segera dapatkan rawatan perubatan:

  • Sakit perut yang teruk
  • Pendarahan faraj yang melimpah
  • Pening dan muntah-muntah
  • Demam bersuhu tinggi, di atas 101°F (38.3°C)
  • Kuantiti keputihan yang banyak berserta bau hamis yang teruk
  • Takutnya! Bolehkah penyakit radang pelvik dicegah?

    Sudah tentu! Perkara berikut dapat bantu mengurangkan risiko PID…

    1. Menjaga kebersihan: Dengan penjagaan kebersihan di kawasan pembiakan dan badan secara menyeluruh akan dapat mengurangkan risiko PID.
    2. Elak meruang faraj: Meruang mengakibatkan ketidakseimbangan antara bakteria baik dan buruk, lantas berisiko memberi kesan negatif pada kesihatan faraj.
    3. Amalan seksual yang selamat: Penggunaan kondom setiap kali melakukan persetubuhan, mengehadkan bilangan pasangan seksual dan mengetahui sejarah seksual pasangan dapat mengurangkan risiko STD dan PID!
    4. Berunding tentang kontrasepsi dengan doktor: Hanya kontrasepsi, seperti kondom dan diafragma, yang dapat mengurangkan risiko PID dan STD. Penggunaan alat pencegah kehamilan berjangka panjang seperti IUD malangnya boleh meningkatkan risiko PID. Justeru, doktor boleh mencadangkan kontraseptif alternatif.
    5. Bersalin atau pengguguran anak yang selamat: Sebaiknya hindari bersalin di rumah kerana boleh meningkatkan risiko jangkitan seperti PID. Kalian juga disarankan untuk tidak melakukan pengguguran di pusat yang tidak berlesen, dikhuatiri mereka tidak mengikuti protokol kebersihan standard.
    6. Jalani ujian secara berkala: Wanita dan lelaki yang aktif secara seksual sangat dinasihatkan untuk menjalani ujian secara berkala dek kerana memiliki risiko STD yang tinggi. Pendekatan ini akan bantu dalam diagnosis dan rawatan awal, lalu mengurangkan risiko komplikasi.
    7. Janji temu berkala ke pakar sakit puan: Disebabkan PID boleh dipicu oleh pelbagai mikroorganisma dan majoriti wanita tidak bergejala untuk waktu yang lama, konsultasi berkala bersama pakar sakit puan dapat bantu mengesan penyakit pada peringkat awal dan menjaga kesihatan reproduktif.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan