backup og meta

Penyakit Yang Disebabkan Oleh Obesiti - No 3 Paling Ramai Tak Sangka!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 22/09/2022

    Penyakit Yang Disebabkan Oleh Obesiti - No 3 Paling Ramai Tak Sangka!

    Tahukah anda, ada banyak penyakit yang disebabkan oleh obesiti? Obesiti merupakan sejenis kondisi yang menandakan seseorang itu mempunyai lemak badan yang berlebihan.

    Obesiti bukanlah sekadar masalah kosmetik atau rupa paras semata-mata. Ia boleh menyebabkan peningkatan risiko penyakit tertentu seperti sakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan kanser.

    BMI yang lebih daripada 30 dikira sebagai obesiti. Manakala, BMI yang lebih daripada 40 pula dikira sebagai obesiti teruk (morbidly obese).

    Namun, kesihatan golongan obes atau yang mempunyai berat badan berlebihan boleh ditingkatkan jika mereka menurunkan berat badan.

    Walau bagaimanapun, penulis faham bahawa bukan mudah untuk menurunkan berat badan secara beransur-ansur. Malah, bukan semua jenis diet sesuai untuk semua orang.

    Tetapi, penurunan berat badan yang sihat amat penting untuk mereka yang obes. Dengan bantuan doktor, pemakanan sihat dan senaman, anda mampu menurunkan berat. Malah, risiko untuk menghidap penyakit yang disebabkan oleh obesiti juga dapat dikurangkan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Mengapa ramai orang mempunyai berat badan berlebihan?

    penyakit yang disebabkan oleh obesiti

    Apabila kita mengambil lebih banyak kalori daripada yang digunakan, badan akan menyimpan lebihan kalori tersebut sebagai lemak. Selalunya, lemak berlebihan sebanyak 1-2 kilogram tidak akan menjadi masalah terhadap kesihatan.

    Namun, masalah mulai timbul apabila lebih banyak lemak mula berkumpul pada badan. Semakin banyak lemak, semakin sukarlah untuk kita menurunkan berat badan.

    Masalah berat badan berlebihan selalunya berlaku secara turun-temurun. Malah, ada juga orang yang lebih cenderung mempunyai masalah obesiti disebabkan faktor genetik. Walaupun gen seseorang mempengaruhi berat badan, namun faktor persekitaran juga memainkan peranan yang penting.

    Pada zaman sekarang, ramai orang yang mempunyai berat badan berlebihan disebabkan diet yang tidak sihat. Kini, terdapat lambakan makanan segera di pasaran. Malah, gaya pemakanan yang tidak baik seperti makan di hadapan televisyen juga boleh menjadi faktor masalah kegemukan.

    Bukan itu sahaja, mereka yang tidak mendapat tidur yang mencukupi juga cenderung untuk mengalami masalah berat badan berlebihan. Makan terlalu banyak sebelum tidur juga boleh menjadi penyumbang kepada penyakit yang disebabkan oleh obesiti.

    Ada juga yang akan makan secara berlebihan disebabkan faktor emosi, terutamanya ketika stres, sedih atau bosan. Jika ini yang berlaku, mereka selalunya akan makan lebih banyak daripada apa yang diperlukan.

    Cuba periksa BMI anda dengan kalkulator kami di bawah:

    4 penyakit yang disebabkan oleh obesiti             

    Penyakit seperti strok, tekanan darah tinggi dan sakit jantung merupakan antara penyakit yang sering dikaitkan dengan obesiti. Tetapi, tahukah anda, obesiti juga boleh menyebabkan banyak lagi penyakit lain?

    Di bawah, kami akan jelaskan mengenai penyakit yang disebabkan oleh obesiti yang mungkin ramai tidak tahu.

    1. Penyakit buah pinggang

    penyakit yang disebabkan oleh obesiti

    Siapa sangka penyakit buah pinggang boleh berlaku disebabkan obesiti? Malah, penyakit ini juga lebih lazim dalam kalangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

    Berat badan berlebihan individu obes akan memaksa buah pinggang untuk bekerja dengan lebih keras. Lama-kelamaan, beban lebihan pada buah pinggang ini juga akan membuatkan organ ini rosak dan tidak dapat berfungsi dengan normal.

    Bukan itu sahaja, penurunan berat badan yang drastik juga boleh meningkatkan risiko penyakit batu karang. Sebab itulah, anda perlu menurunkan berat badan secara perlahan-lahan.

    Jika anda sedang berdiet, cuba turunkan berat badan sebanyak 0.5 kilogram seminggu untuk elakkan sebarang penyakit.

    Baca juga:

    2. Lebih berisiko menghidap ostearthritis

    Ostearthritis merupakan sejenis penyakit sendi yang memberi kesan pada lutut, paha dan belakang badan. Apabila badan anda berat, badan terpaksa menggunakan lebih tenaga untuk ‘mengangkat’ semua bebanan ini.

    Mungkin ramai yang tidak tahu ostearthritis merupakan antara penyakit yang disebabkan oleh obesiti. Malah, berat yang berlebihan ini juga boleh mendatangkan tekanan pada kawasan sendi dan menghauskan tulang rawan (cartilage) yang melindunginya.

    Tambah lagi, mereka yang obes selalunya tidak mampu melakukan aktiviti fizikal seperti menaiki atau menuruni tangga tanpa rasa penat. Jika tidak menurunkan berat badan dengan segera, mereka yang obes mungkin akan berhadapan masalah besar apabila mereka tua nanti.

    3. Gout

    penyakit yang disebabkan oleh obesiti

    Gout merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi kawasan sendi. Ia berlaku apabila anda mempunyai terlalu banyak asid urik di dalam darah. Asid urik yang berlebihan ini akan membentuk kristal dan berkumpul di kawasan sendi.

    Penyakit ini juga lebih lazim dalam kalangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan. Semakin berat badan anda, semakin berisikolah anda untuk menghidap gout.

    Walau bagaimanapun, penurunan berat badan secara tiba-tiba kadangkala boleh menyebabkan masalah gout menjadi semakin teruk.

    Jadi, jika anda ingin menurunkan berat badan, pastikan anda dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk mengelakkan simptom gout daripada menjadi kronik.

    4. Apnea tidur, penyakit yang disebabkan oleh obesiti

    apnea tidur

    Apnea tidur merupakan satu masalah penafasan yang sering berlaku semasa tidur. Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan lebih berisiko mengalami apnea tidur.

    Malah, masalah ini juga boleh membuatkan anda berdengkur teruk dan ‘putus nafas’ semasa tidur. Perkara ini akan menyebabkan penghidap apnea tidur mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami serangan jantung semasa tidur.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 22/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan