backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Ada 5 Jenis Masalah Kencing Tidak Lawas, Mana Satu Yang Mungkin Anda Pernah Alami?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 09/08/2023

    Ada 5 Jenis Masalah Kencing Tidak Lawas, Mana Satu Yang Mungkin Anda Pernah Alami? 

    Pernahkah anda alami masalah kerap buang air kecil, kerap ke tandas atau rasa kencing tidak lawas?

    Mungkin anda sebenarnya sedang alami masalah inkontinens urin!  Tapi, apa sebenarnya maksud inkontinens urin?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Tak Lawas, sila dapatkannya di sini. 

    Masalah kerap buang air kecil

    Untuk pengetahuan anda, inkontinens urin merupakan satu penyakit yang menyebabkan pesakit sukar untuk menahan air kencing.

    Disebabkan pesakit rasa terdesak untuk membuang air, mereka akan terkencing dalam seluar.

    Perkara ini akan menyebabkan pesakit rasa malu, tidak selesa dan sukar untuk keluar rumah. Mereka juga akan menolak untuk pergi ke sesuatu tempat jika perjalanannya jauh dan lama. 

    Walaupun keadaan ini merupakan sesuatu yang memalukan, inkontinens urin sebenarnya adalah penyakit yang lazim dan mempengaruhi jutaan orang di seluruh dunia.

    Sering dikaitkan dengan penuaan, inkontinens urin dikatakan sebahagian daripada proses semula jadi. Walau bagaimanapun, kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali.

    Malah, inkontinens urin dapat dielakkan jika pesakit melakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup.

    Kerap buang air kecil? Jom kenali jenis inkontinens urin

    Banyak perkara yang boleh menyebabkan inkontinens urin, antaranya ialah obesiti, sejarah keluarga, umur yang kian meningkat, kehamilan serta proses melahirkan anak.

    Wanita selalunya akan mengalami inkontinens stres atau inkontinens terdesak, manakala lelaki pula akan mengalami inkontinens  melimpah disebabkan oleh masalah prostat.

    Inkontinens urin bukan terhad kepada masalah kerap buang air kecil sahaja.

    Sebagai contoh, mereka yang alami kesukaran untuk membuka zip seluar ketika ingin membuang air juga dikategorikan sebagai mengalami masalah inkontinens. 

    Ada 5 jenis inkontinens urin yang anda perlu tahu:

    1. Inkontinens terdesak (urge incontinence)

    kerap buang air kecil

    Individu yang mengalami inkontinens terdesak mempunyai rasa yang kuat untuk membuang air walaupun pundi kencing masih belum penuh.

    Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau wanita.

    Pesakit yang mengalami inkontinens terdesak perlu kerap buang air kecil.

    Kadangkala, disebabkan rasa ingin buang air datang secara tiba-tiba, pesakit mungkin akan terkencing sebelum sampai ke tandas.

    Pundi kencing yang sihat boleh menyimpan lebih kurang 600 ml urin. Selalunya, apabila pundi kencing sudah separuh penuh, pesakit akan mula rasa hendak ke tandas.

    Walau bagaimanapun, pundi kencing boleh mengembang untuk menyimpan lebih banyak urin.

    Oleh sebab itu, ramai yang boleh menahan air kecil sehinggalah mereka mempunyai masa yang terluang untuk ke tandas.

    Namun, berbeza dengan penghidap penyakit ini. Mereka boleh ‘terbabas’ dan tidak dapat menahan kencing untuk jangka masa yang lama.

    Inkontinens terdesak boleh berlaku disebabkan strok, Parkinson, sklerosis berbilang dan juga penyakit lain yang berkait dengan kemampuan otak untuk mengawal pundi kencing.

    Kondisi ini akan menyebabkan pesakit sukar untuk menahan dan menyimpan urin.

    2. Inkontinens stres, punca kerap buang air kecil

    Inkontinens stres berlaku apabila pesakit mudah terkencing apabila mereka bersenam, batuk, bersin, meneran atau ketawa.

    Selalunya, perkara ini berlaku apabila ada tekanan pada bahagian abdomen pesakit yang bertindak menekan pundi kencing.

    Selalunya, inkontinens stres berlaku kepada wanita. Namun, ia juga boleh terjadi kepada lelaki yang baru sahaja melakukan pembedahan prostat.

    Selain itu, pesakit yang mempunyai penyakit diabetes, masalah batuk yang kronik, sembelit yang teruk dan obesiti juga berisiko untuk mengalami inkontinens stres.

    Dalam kalangan wanita, inkontinens jenis ini boleh berlaku disebabkan kehamilan, proses melahirkan anak dan menopaus.

    Proses kehamilan dan melahirkan anak boleh meregangkan otot pada lantai pelvis wanita.

    Oleh sebab itu, wanita akan rasa lebih mudah untuk terkencing ketika melakukan sebarang aktiviti yang memberi tekanan terhadap pundi kencing mereka.

    Baca juga:

    Semasa menopaus pula, hormon estrogen akan dihasilkan dalam amaun yang lebih sedikit daripada biasa.

    Salah satu fungi estrogen ialah untuk mengekalkan ketebalan lapisan urethra. Lapisan ini berfungsi untuk menahan urin daripada keluar secara tiba-tiba.

    Disebabkan jumlah estrogen yang semakin berkurangan, wanita akan mengalami inkontinens stres ketika menghampiri menopaus.

    Dalam kalangan lelaki pula, ramai yang mengalami inkontinens stres disebabkan oleh pembedahan prostat.

    Selalunya, keadaan ini akan beransur pulih dalam masa 6 hingga 12 bulan selepas pembedahan.

    3. Inkontinens melimpah

    Inkontinens melimpah atau urinary retention merupakan satu keadaan yang menyebabkan pesakit sukar untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.

    Oleh sebab itu, pesakit kerap buang air kecil dalam jumlah yang sedikit.

    Sama seperti inkontinens stres, individu yang mengalami inkontinens melimpah mudah terkencing apabila terdapatnya tekanan pada pundi kencing mereka.

    Pesakit yang alami inkontinens melimpah mungkin akan melalui tanda-tanda berikut:

    1. Perlu meneran untuk buang air kecil.
    2. Aliran air kencing lemah.
    3. Masih rasa ingin kencing walaupun sudah membuang air (kencing tidak lawas).
    4. Rasa ingin membuang air secara tiba-tiba.
    5. Terkencing ketika tidur.
    6. Kerap terkena jangkitan saluran kencing (UTI).
    7. Air kencing menitis selepas kerap buang air kecil

    Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan inkontinens melimpah.

    Antaranya ialah saluran urethra yang tersumbat, rahim terjatuh (prolapse), diabetes, sklerosis berbilang, strok atau Parkinson, dan juga pengambilan ubat-ubatan atau herba tertentu.

    4. Inkontinens jenis fungsi

    kerap buang air kecil

    Berbeza dengan inkontinens yang lain, inkontinens fungsi merujuk kepada kehadiran sebarang penyakit atau limitasi pada diri seseorang yang menyebabkan mereka mengalami inkontinens.

    Selalunya, pundi kencing pesakit berfungsi secara normal. Namun, mereka sukar untuk pergi ke tandas di atas alasan tertentu. Ia mungkin disebabkan oleh halangan dari segi fizikal atau kognitif.

    Pesakit dikatakan mempunyai inkontinens urin apabila mereka tidak boleh:

    1. Menentukan sama ada mereka perlu ke tandas ataupun tidak.
    2. Mengenal pasti di mana tandas yang terdekat.
    3. Tidak dapat menggunakan tandas.
    4. Tidak boleh membuka baju dan seluar.
    5. Tidak tahu rupa bentuk tandas.

    Oleh sebab itu, apabila seseorang dikatakan mempunyai inkontinens fungsi, ia selalunya menunjukkan pesakit mempunyai isu dari segi fizikal, intelektual atau persekitaran yang menyebabkan mereka tidak dapat menggunakan tandas dengan baik.

    Sebagai contoh, pesakit yang sukar untuk berjalan dan mengalami athritis atau cerebral palsy mungkin akan mengalami inkontinens fungsi disebabkan kesukaran untuk membuka butang seluar.

    Selain itu, warga tua yang mempunyai masalah memori atau pembelajaran seperti demensia atau masalah pembelajaran lain juga mungkin akan mengalami kesukaran untuk buang air kecil.

    Kerap buang air kecil #5. Inkontinens jenis kombinasi 

    Seperti namanya, inkontinens kombinasi merupakan satu keadaan yang menyebabkan pesakit mengalami lebih daripada satu jenis inkontinens.

    Selalunya, pesakit akan alami kombinasi inkontinens stres dan juga inkontinens terdesak. Malah, pesakit akan alami simptom daripada kedua-dua jenis inkontinens ini. Sebagai contoh:

    1. Terkencing ketika ketawa, bersin, batuk, bersenam atau mengangkat barang yang berat. Kadangkala, berdiri juga boleh menyebabkan pesakit terkencing.  
    2. Terkencing bila tiba-tiba rasa ingin ke tandas, selepas minum air, ketika tidur atau setelah mendengar atau menyentuh air.

    Sama seperti inkontinens stres, inkontinens kombinasi selalunya berlaku selepas wanita melahirkan anak atau mengandung.

    Penyakit seperti sklerosis berbilang, Parkinson, strok, masalah tiroid dan kecederaan disebabkan pembedahan juga boleh menyebabkan masalah yang sama.

    Kesimpulan

    kerap buang air kecil

    Kerap buang air kecil bukanlah sejenis kondisi yang berkekalan. Malah, ia juga boleh dirawat jika anda berjumpa doktor yang boleh mengesan punca inkontinens yang anda alami.

    Antara kerap buang air kecil yang lazim ialah jangkitan saluran kencing (UTI). Selain itu, iritasi, pengambilan ubat-ubatan tertentu, sembelit dan masalah pergerakan juga boleh menyebabkan individu mengalami inkontinens.

    Inkontinens urin kadangkala tidak dapat dielakkan. Namun, untuk menurunkan risiko, anda boleh kekalkan berat badan, buat senaman kegel, elakkan minuman penyebab iritasi pundi kencing, lebihkan makanan berserat dan berhenti merokok. 

    Selain itu, individu yang mengalami masalah ini juga amat digalakkan untuk berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

    Dengan rawatan yang bersesuaian, anda boleh belajar mengawal inkontinens yang dialami dan boleh sembuh daripada kondisi ini. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 09/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan