- kesukaran untuk membuang air kecil
- aliran air kencing yang lemah
- kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya
Di samping itu, lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat akan mengalami inkontinen urin dalam jangka masa pendek atau panjang. Kanser tersebut boleh menyekat atau merosakkan saluran kencing.
Selain daripada sel kanser, pembedahan, perubatan radiasi atau rawatan kanser prostat lain boleh mengakibatkan kerosakan saraf, kekejangan pundi kencing atau stres inkontinen.
Walaupun begitu, masalah kawalan pundi kencing selepas kanser prostat selalunya bertambah baik dari semasa ke semasa.
Punca lain
Masalah kesihatan lain, terutama sekali berkaitan dengan sistem saraf anda dan faktor gaya hidup boleh menyumbang kepada peningkatan masalah pundi kencing dalam kalangan masyarakat kita.
Masalah kesihatan
Masalah kesihatan atau perubahan tertentu boleh menjurus kepada masalah pundi kencing, termasuklah:
- Penuaan
- Jangkitan pundi kencing
- Sembelit yang kerap dan berpanjangan
- Kecacatan semasa kelahiran
- Saluran kencing tersumbat, sama ada disebabkan oleh tumor atau batu karang
- Batuk kronik yang berpanjangan
- Diabetes
- Berat badan berlebihan atau obesiti
Sesetengah masalah kesihatan hanya berlaku untuk jangka pendek, seperti batuk atau sembelit. Ia boleh menyebabkan kurang keupayaan untuk mengawal air kencing sementara sahaja.
Selain itu, masalah sistem saraf adalah penyebab umum untuk inkontinen urin. Ia berlaku apabila otak anda tidak menyampaikan isyarat yang betul pada sistem urinari, biasanya pundi kencing, otot sphinkter atau kedua-duanya untuk menjalankan tugasnya.
Saraf dan otot pundi kencing boleh terjejas dan rosak disebabkan oleh:
- Penyakit Alzheimer
- Strok
- Penyakit Parkinson
- Diabetes
- Kecederaan saraf tunjang
- Kegelisahan
- Penyakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis)
Faktor gaya hidup
Terdapat beberapa faktor gaya hidup yang boleh mempengaruhi kesihatan pundi kencing anda, termasuklah:
- Tabiat makan yang menyebabkan sembelit seperti kurang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan
- Gemar minum minuman beralkohol, berkafein tinggi atau berkarbonat
- Ubat-ubatan tertentu
- Tidak gemar melakukan aktiviti fizikal atau bersenam
- Merokok
Penyakit pundi kencing lazim di Malaysia
1. Pundi kencing terlebih aktif (OAB)
Pundi kencing terlebih aktif adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan gejala pundi kencing. Ingat ya, ia bukannya sejenis penyakit!
Gejala yang paling biasa adalah hilang kawalan atau tinggi keinginan untuk membuang air kecil. Sesetengah individu akan terkencing ketika merasa keinginan tersebut.
Simptom lain adalah keperluan kencing berkali-kali sama ada siang atau malam.
OAB pada dasarnya ialah desakan perasaan bahawa anda ‘mesti’ kerap pergi ke tandas dengan segera.
2. Keradangan pundi kencing
Keradangan pundi kencing atau interstitial cystitis ialah salah satu masalah pundi kencing kronik. Ia berkait dengan perasaan sakit dan tekanan di kawasan pundi kencing.
Bersama-sama dengan rasa sakit tersebut, gejala salur kencing bahagian bawah juga akan muncul yang telah berlangsung lebih dari enam minggu tanpa mengalami jangkitan atau sebab-sebab lain yang jelas.
3. Retensi urin
Retensi urin ialah satu keadaan di mana pundi kencing anda tidak dapat dikosongkan sepenuhnya walaupun penuh dan anda mempunyai rasa yang kuat untuk kencing.
Ia boleh berlaku untuk jangka masa pendek atau panjang, iaitu akut atau kronik. Walaupun retensi urin boleh mempengaruhi sesiapa sahaja, namun ia berlaku lebih kerap dalam kalangan lelaki berusia.
Langkah mengatasi
Selain menerima rawatan daripada doktor anda, masalah pundi kencing juga boleh diatasi dengan perubahan gaya hidup, senaman yang sesuai dan sebagainya.
1. Perubahan gaya hidup
Masalah pundi kencing senang untuk diatasi dengan beberapa perubahan kehidupan harian anda. Antaranya termasuklah:
- Minum jumlah air yang betul pada waktu yang tepat
- Menjadi lebih aktif dari segi fizikal
- Jaga berat badan ideal mengikut indeks jisim badan (BMI)
- Elakkan sembelit daripada berlaku
- Terapkan inisiatif untuk berhenti merokok
2. Latihan pundi kencing
Latihan pundi kencing adalah ketika anda membuang air kecil mengikut jadual untuk membantu mengurangkan kebocoran.
Berdasarkan diari harian yang dibekalkan, doktor akan mencadangkan anda untuk membuang air kecil mengikut jadual yang ditetapkan.
3. Senaman otot lantai pinggul (pelvis)

Otot lantai pelvis yang kuat boleh menahan air kencing lebih baik berbanding dengan otot yang lemah.
Anda boleh menguatkan otot tersebut dengan melakukan latihan Kegel. Latihan ini melibatkan proses mengetat dan mengendurkan otot yang mengawal aliran air kencing.
Kajian mendedahkan wanita yang kerap mengamalkan Kegel lebih baik dalam mengawal air kencing berbanding wanita yang tidak amalkan latihan tersebut.
Lelaki juga boleh mendapat manfaat daripada latihan Kegel. Proses menguatkan otot-otot ini boleh membantu mengurangkan lelehan selepas membuang air kecil.
4. Kawal keinginan untuk membuang air kecil
Dalam sesetengah kes, anda boleh mengawal atau menahan keinginan yang kuat untuk membuang air kecil. Dengan latihan pundi kencing seperti itu, anda tidak perlu tergesa-gesa untuk mencari tandas.
Sebilangan individu cuba untuk melakukan aktiviti yang digemari untuk mengalihkan perhatian mereka daripada kerap membuang air kecil.
Kesimpulan
Masalah pundi kencing adalah suatu perkara yang biasa. Namun, masih ramai individu yang berasa malu untuk berbicara mengenainya.
Sekurang-kurangnya, berbincanglah dengan doktor jika anda mengalami apa-apa tanda dan gejala seperti yang disenaraikan dalam artikel ini.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen