backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Ada Sebab Kita MESTI Berdehem Ketika Kencing! Jika Tidak, Boleh Jadi Punca Batu Karang

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 13/03/2023

    Ada Sebab Kita MESTI Berdehem Ketika Kencing! Jika Tidak, Boleh Jadi Punca Batu Karang

    Pernahkah kalian mendengar nasihat orang-orang tua supaya berdehem ketika membuang air kecil? Orang kata, ia boleh jadi punca batu karang jika tidak buat!

    Hakikatnya, ia adalah satu perbuatan yang sering dan wajar dilakukan oleh semua individu di luar sana untuk melancarkan aliran air kencing.

    Bukan sahaja dari aspek kesihatan, malah ajaran agama Islam juga menuntut agar kita semua berdehem ketika sedang membuang air kecil.

    Persoalannya, adakah ia boleh jadi punca batu karang pundi kencing jika tidak dilaksanakan? Jom ikuti artikel ini!

    Apa itu batu karang pundi kencing?

    Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, wajarlah untuk kita tahu definisi sebenar tentang batu karang pundi kencing ini terlebih dahulu.

    Buat anda yang mungkin belum tahu, ia adalah satu kondisi di mana terbentuknya jisim-jisim mineral yang keras di dalam pundi kencing anda.

    Juga dikenali sebagai kalkuli, ia sebenarnya boleh ditemui di mana sahaja pada tubuh badan namun kerap berlaku pada buah pinggang, salur kencing dan pundi kencing.

    Ia juga boleh berlaku kepada kedua-dua jantina namun lebih kerap terjadi kepada lelaki.

    Sekiranya anda merupakan salah seorang penderita kondisi ini, berikut merupakan simptom-simptomnya:

    • Sakit di bahagian abdomen bawah
    • Sakit di bahagian alat sulit
    • Pedih ketika membuang air kecil
    • Kerap sangat membuang air kecil
    • Sukar kencing ekoran gangguan aliran air kencing
    • Terdapat darah dalam air kencing
    • Air kencing berwarna keruh atau gelap

    punca batu karang

    Ramai orang yang percaya bahawa ia adalah disebabkan oleh tabiat individu yang tidak berdehem untuk menghabiskan air kencing ketika sedang membuang air kecil. Benarkah?

    Apa punca batu karang yang sebenar?

    Untuk pengetahuan anda, punca batu karang pundi kencing yang sebenar adalah disebabkan oleh lebihan kristal atau hablur yang membentuk air kencing.

    Ia kemudiannya akan tersimpan di dalam pundi kencing lantas membuat batu karang ini terbentuk.

    Sebenarnya, pundi kencing manusia berupaya untuk mengeluarkan lebihan kristal ini melalui air kencing.

    Ia akan dibuang dari tubuh badan melalui sistem perkumuhan sama ada melalui zakar untuk lelaki atau faraj untuk perempuan.

    Pun begitu, terdapat beberapa kondisi yang akan menjejaskan keupayaan pundi kencing untuk dikosongkan sepenuhnya termasuklah:

    • Pundi kencing neurogenik rosak
    • Keradangan pundi kencing
    • Pembengkakan kelenjar prostat
    • Peralatan perubatan (katerer pundi kencing)
    • Batu karang pada tempat lain seperti buah pinggang

    Pada awal artikel, ada dinyatakan persoalan sama ada tidak berdehem semasa membuang air kecil boleh jadi punca batu karang pundi kencing. Jom ikuti ulasan berikut.

    Tidak berdehem ketika kencing juga boleh jadi punca?

    Hakikatnya, sehingga kini tiada kajian yang kata bahawa tidak berdehem ketika membuang air kecil boleh jadi punca batu karang pundi kencing.

    Pun begitu, ia masih boleh jadi faktor risiko ekoran air kencing yang tidak habis boleh mengakibatkan ia tersimpan lantas membentuk batu karang.

    Selain itu, perbuatan ini juga adalah penting untuk melawaskan air kencing terutamanya buat mereka yang mengalami masalah kencing tidak lawas.

    punca batu karang

    Dalam erti kata yang lebih mudah, ia masih belum dibuktikan oleh sains namun kita tidak wajar untuk mengambil risiko ini!

    Tidak ada salahnya jika berdehem seketika 2 ke 3 kali semasa membuang air kecil untuk melancarkan aliran air kencing bukan?

    Ini rawatan penderita batu karang!

    Penting untuk kalian tahu bahawa kebanyakan batu karang yang ukurannya kurang daripada 4 milimeter (mm) akan keluar dengan sendiri melalui saluran air kencing.

    Akan tetapi, pesakit masih memerlukan rawatan lanjutan sekiranya batu karang itu tidak dapat keluar selepas tempoh pemerhatian dan berterusan menjadi teruk.

    Bagi pakar mengukur tahap keterukan ini, mereka akan bergantung kepada diagnosis klinikal serta tindak balas dari penderita melalui rasa sakit yang dialami.

    Selain itu, kalian juga perlu tahu bahawa ia mungkin akan membesar dan menyebabkan komplikasi seperti halangan dan jangkitan pada pundi kencing pula.

    Jangan pula anda menyangka bahawa batu karang pundi kencing yang dialami itu sudah sembuh dengan sendiri kerana ia mungkin boleh hadir tanpa disertai dengan rasa sakit.

    Sekiranya anda mengesyaki diri mengalami kondisi ini, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan konsultasi berkenaan lokasi, saiz dan jenis batu karang yang dialami.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 13/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan