backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

10 Punca & Faktor Risiko Penyakit Batu Karang, Sila Alert Dengan Penyebab Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/02/2024

    10 Punca & Faktor Risiko Penyakit Batu Karang, Sila Alert Dengan Penyebab Ini

    Penyakit batu karang bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia. Namun, walaupun penyakit ini diketahui umum, masih ramai yang tidak tahu punca penyakit batu karang dan faktor risiko yang boleh menyumbang kepada pembentukannya. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Batu Karang, sila dapatkannya di sini.

    10 punca penyakit batu karang 

    Ada banyak punca penyakit batu karang. Sebagai contoh, dehidrasi merupakan salah satu punca penyakit ini yang mungkin ramai tidak ambil peduli.

    Selain itu, pesakit yang alami penyakit lain seperti gout dan tekanan darah tinggi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk alami pembentukan batu karang pada masa hadapan.

    Salah satu penyebab utama penyakit ini ialah apabila air kencing batu mempunyai kandungan kalsium, oksalat atau asid urik yang lebih tinggi daripada biasa. Kondisi ini akan menggalakkan pembentukan batu karang di dalam pundi kencing atau buah pinggang pesakit.

    Tetapi, bukan itu sahaja. Ada banyak lagi punca penyakit batu karang yang mungkin anda tidak tahu. Sebagai contoh:

    1. Abnormaliti dalam anatomi

    Salah satu contoh abnormaliti dari segi anatomi ialah penyakit horseshoe kidney. Kebanyakan manusia dilahirkan dengan dua buah pinggang. Tetapi, kadangkala buah pinggang pesakit boleh bergabung ketika fetus masih lagi berkembang.

    Penyakit ini berlaku hanya dalam 1/500 orang kanak-kanak sahaja di seluruh dunia. Apabila kedua-dua buah pinggang pesakit bergabung, ia akan membentuk huruf U seakan-akan ladam kuda.

    7 dalam 10 kanak-kanak yang mengalami horseshoe kidney akan alami masalah batu karang dan juga jangkitan saluran kencing (UTI) dengan kerap.

    2. Sejarah keluarga punca penyakit batu karang

    Individu yang mempunyai ahli keluarga dengan penyakit batu karang lebih berisiko untuk menghidap penyakit yang sama pada masa hadapan.

    Malah, menurut kajian yang dijalankan oleh Curhan, et al., mereka mendapati hampir 25 peratus pesakit dengan batu karang berasal daripada keluarga yang mempunyai penyakit yang sama.

    Kajian yang dilakukan oleh Trinchieri, et al. pula mendapati wanita (45%) lebih lazim mempunyai sejarah keluarga disebabkan batu karang berbanding pesakit lelaki (31%).

    Ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko dan punca penyakit batu karang walaupun anda mempunyai sejarah keluarga. Salah satu daripadanya ialah dengan minum air mencukupi setiap hari.

    3. Hipertensi

    punca penyakit batu karang
    Hipertensi juga antara sebab terjadinya batu karang.

    Banyak kajian yang dijalankan telah menemui kaitan yang positif di antara tekanan darah tinggi dan batu karang. Salah satunya ialah kajian yang dijalankan oleh Madore, et al.

    Dalam kalangan lelaki yang mempunyai penyakit batu karang dan hipertensi, hampir 79.5% daripada mereka sudah atau sedang mengalami penyakit batu karang semasa didiagnosis dengan hipertensi.

    Malah, pesakit yang mempunyai sejarah batu karang mempunyai risiko sebanyak 29% untuk mengalami hipertensi pada 8 tahun akan datang berbanding pesakit yang tidak mempunyai penyakit ini.

    Walau bagaimanapun, lelaki yang menghidap hipertensi terlebih dahulu kurang berisiko untuk menghidap batu karang pada masa hadapan. Ini mungkin menunjukkan penyakit baru karang boleh meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap hipertensi.

    Pesakit yang menghidap hipertensi selalunya mempunyai diet yang tinggi garam, rendah potasium dan mungkin pernah mengalami kegagalan buah pinggang. Semua faktor ini menjadi penyebab pembentukan batu karang dalam kalangan pesakit hipertensi.

    Selain itu, menurut Borghi, et al., pesakit hipertensi mempunyai risiko lebih besar untuk membentuk batu karang jika mereka mempunyai berat badan berlebihan.

    4. Gout dan batu karang

    Gout merupakan sejenis penyakit yang berlaku akibat pengumpulan hablur atau kristal asid urik pada bahagian sendi. Kristal ini terbentuk apabila pesakit mempunyai tahap asid urik yang tinggi di dalam darah.

    Kristal asid urik yang sama juga boleh terbentuk di dalam buah pinggang. Akibatnya, pesakit mungkin akan alami batu karang sebagai komplikasi gout.

    Oleh sebab itu, penting untuk pesakit gout minum air secukupnya dan elakkan makanan punca batu karang bagi mengurangkan simptom yang dialami dan merendahkan risiko atau punca penyakit batu karang.

    5. Tidak bergerak dalam satu masa yang lama

    Pesakit yang terpaksa masuk wad terlalu lama juga berisiko menghidap batu karang. 

    Mereka yang terpaksa diletakkan di dalam bed rest selalunya lebih berisiko untuk membentuk batu karang dan juga mengalami jangkitan saluran kencing (UTI).

    Oleh sebab itu, kumpulan yang berisiko tinggi seperti orang tua, orang kurang upaya dan pesakit kronik perlu dipantau dengan rapi untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku.

    6. Batu karang disebabkan dehidrasi

    punca penyakit batu karang
    Jenis-jenis batu karang yang boleh berlaku.

    Pesakit yang tidak minum air secukupnya dan mengalami dehidrasi mempunyai risiko yang lebih besar untuk membentuk hablur di dalam buah pinggang mereka. Ini merupakan salah satu punca penyakit batu karang yang mungkin ramai tidak peka. 

    Jika anda tidak pasti berapa banyak air yang perlu diminum, cuba perhatikan warna air kencing batu anda. Jika ia berwarna kuning gelap, itu bermaksud anda perlukan lebih banyak air.

    Namun, jika warnanya masih lagi gelap setelah minum banyak air, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin untuk rawatan lanjut.

    7. Abnormaliti metabolik

    Pesakit yang mengalami sebarang abnormaliti metabolik seperti:

    • hypercalciuria
    • hyperuricosuria
    • hypokalemia
    • hyperuricemia
    • hypophosphatemia
    • jumlah urin yang sedikit

    lebih berisiko untuk membentuk batu karang.

    Pesakit yang mengalami abnormaliti ini perlu melalui intervensi sejak kecil supaya mereka boleh melalui rawatan yang bersesuaian bagi mencegah pembentukan batu karang pada masa hadapan.

    8. Kekurangan sitrat di dalam urin (hypocitraturia)

    Pesakit yang mempunyai tahap sitrat yang rendah di dalam air kencing batu lebih berisiko untuk membentuk batu karang.

    Sitrat berfungsi sebagai perencat (inhibitor) pembentukan batu karang di dalam air kencing batu. Sitrat akan bergabung dengan kalsium di dalam urin dan mengelakkan pembentukan hablur.

    Hypocitraturia amat lazim terjadi kepada pesakit batu karang. Kondisi ini berlaku disebabkan faktor genetik, ubat-ubatan ataupun disebabkan oleh kehadiran penyakit lain.

    9. Batu karang disebabkan pengambilan ubat-ubatan

    Punca penyakit batu karang boleh berlaku disebabkan pengambilan ubat-ubatan tertentu. Kesemua ubat-ubatan ini boleh menyebabkan perubahan dari segi metabolik yang akan menggalakkan pembentukan batu karang.

    Sebagai contoh, ubat-ubatan seperti diuretik, carbonic anhydrase inhibitors dan julap (laxatives) boleh menyebabkan pembentukan batu karang jika diambil dengan banyak.

    Oleh sebab itu, pesakit yang alami batu karang mungkin terpaksa menghentikan pengambilan ubat-ubatan bagi menghalang penyakit ini daripada berlaku lagi pada masa hadapan.

    10. Cuaca panas punca penyakit batu karang

    punca penyakit batu karang
    Cuaca panas juga menyumbang kepada pembentukan batu karang.

    Siapa sangka cuaca panas akan menyebabkan anda lebih berisiko untuk menghidap batu karang.

    Untuk pengetahuan anda, cuaca yang panas menyebabkan kita lebih mudah mengalami dehidrasi. Oleh sebab itu, badan akan alami kekurangan cecair kerana banyak air dalam badan hilang dalam bentuk peluh.

    Sebagai akibatnya, air kencing batu akan jadi semakin pekat disebabkan kekurangan air. Urin yang pekat akan meningkatkan risiko pesakit mengalami kencing batu.

    Kesimpulan


    Penyakit kencing keluar batu boleh dielakkan jika anda mengamalkan diet sihat. Oleh sebab itu, pastikan anda ambil makanan yang betul dan banyak minum air. Elakkan makanan punca batu karang,

    Dengan ubat-ubatan dan rawatan yang bersesuaian, pesakit kencing keluar batu boleh mengurangkan risiko pengulangan penyakit ini di masa hadapan.

      

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan