Pernahkah anda mendengar mengenai penyakit jangkitan saluran kencing (UTI) atau pernah mengalami simptom kencing kotor?
Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group
Pernahkah anda mendengar mengenai penyakit jangkitan saluran kencing (UTI) atau pernah mengalami simptom kencing kotor?
Jangkitan saluran kencing ataupun urinary tract infection (UTI) merupakan sejenis jangkitan yang berlaku pada mana-mana bahagian di dalam sistem urinari. Ini termasuklah pada bahagian buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra.
UTI boleh dirawat menggunakan antibiotik. Namun, rawatan tidak selalunya diperlukan kerana UTI kadangkala sembuh dengan sendirinya. Oleh sebab itu, ramai yang bertindak mengabaikan UTI disebabkan mereka tahu ia boleh sembuh sendiri.
UTI selalunya akan menyebabkan pesakit rasa tidak selesa. Jangkitan yang berlaku berulang kali perlulah diperiksa oleh doktor supaya punca di sebalik jangkitan tersebut dapat dikenal pasti.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Jangkitan Saluran kencing, sila dapatkannya di sini.
Kebanyakan UTI berlaku pada bawah saluran urinari iaitu pada bahagian uretra dan juga pundi kencing. UTI jenis ini turut dikenali dengan nama cystitis.
Cystitis merupakan kondisi yang berlaku apabila pundi kencing mengalami jangkitan yang menyebabkan rasa sakit atau pedih pada bahagian bawah abdomen.
Untuk pengetahuan anda, wanita lebih berisiko untuk mengalami UTI 30 kali ganda berbanding lelaki. Malah, 4 daripada 10 wanita yang alami UTI akan mendapat jangkitan kedua dalam masa 6 bulan seterusnya.
Disebabkan UTI banyak menyerang kaum Hawa, maka ramai yang akan berdiam diri apabila mengalami simptom jangkitan saluran urin.
Mungkin disebabkan rasa malu, pesakit akan mengelak daripada berjumpa doktor dan berharap agar ketidakselesaan yang dialami akan pulih dengan sendirinya.
Walau bagaimanapun, perbuatan ini mungkin akan memakan diri pada masa hadapan. Jangkitan yang tidak mendapat perhatian doktor boleh menjadi lebih teruk dan sukar untuk dirawat.
Oleh sebab itu, penting untuk anda ketahui simptom kencing kotor supaya anda boleh berjumpa doktor dalam kadar yang segera. Antara simptom dan tanda kencing kotor yang anda perlu perhatikan ialah:
Salah satu simptom kencing kotor ialah rasa terdesak untuk membuang air kecil. Pesakit akan rasa ingin membuang air secara tiba-tiba dan sukar untuk menahan kencing.
Keadaan ini bukan sahaja akan membuatkan anda rasa tidak selesa, malah ia boleh mengganggu aktiviti harian. Langkah yang terbaik untuk menangani kondisi ini adalah dengan merawat punca UTI yang pesakit alami.
Selalunya, UTI berlaku sebagai simptom kepada penyakit lain yang belum didiagnosis oleh doktor. Setelah doktor merawat penyakit tersebut, jangkitan saluran kencing yang pesakit alami sepatutnya akan turut sembuh.
Rasa sakit ketika membuang air kecil merupakan satu tanda kencing kotor yang amat merisaukan. Ia akan membuatkan pesakit rasa menderita dan tidak selesa ketika membuang air kecil.
Rasa pedih yang berlaku adalah disebabkan oleh pertumbuhan bakteria yang menyebabkan urin menjadi asidik. Oleh sebab itu, apabila urin keluar, ia akan menyebabkan pesakit rasa sakit dan pedih.
Lebih teruk lagi, pesakit yang alami UTI bukan sahaja akan rasa sakit, malah mereka juga perlu ke tandas berkali-kali disebabkan rasa kencing tidak lawas.
Rasa sakit ketika membuang air kecil turut dikenali dengan nama dysuria. Selalunya, dysuria akan berlaku bersama-sama UTI. Ia merupakan salah satu simptom yang menandakan anda mempunyai masalah kesihatan lain yang mungkin belum didiagnosis.
Jika anda terpaksa meneran untuk membuang air ataupun hanya mengeluarkan urin yang sedikit setiap kali anda ke tandas, ini mungkin merupakan tanda anda mengalami jangkitan saluran kencing.
Walaupun begitu, ada banyak sebab yang mungkin menjadi punca anda alami masalah ini. Antaranya ialah dehidrasi, jangkitan ataupun terdapatnya halangan pada saluran urin.
Selalunya, individu yang buang air dengan jumlah yang sedikit juga akan alami masalah untuk mengawal kencing. Oleh sebab itu, mereka mungkin sering ‘terbabas’ dan terkencing di dalam seluar.
Walau apapun puncanya, anda tidak sepatutnya membiarkan kondisi ini berlarutan dalam masa yang lama.
Pastikan anda berjumpa doktor untuk mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan anda membuang air dalam jumlah yang sedikit.
Semua orang tidak terlepas daripada mengalami perubahan warna air kencing. Malah, ia merupakan sesuatu yang lazim berlaku dan mungkin berpunca daripada pola pemakanan anda. Air kencing juga boleh menjadi keruh jika anda mengalami dehidrasi.
Kadangkala, makanan seperti ubi bit, beri hitam, dan kacang parang boleh menyebabkan urin bertukar warna menjadi merah gelap.
Walau bagaimanapun, perubahan ini juga boleh berlaku disebabkan masalah kesihatan. Sebagai contoh, air kencing yang berwarna keruh selalunya menandakan jangkitan pada kawasan pundi kencing, uretra atau buah pinggang.
Selalunya, air kencing yang sihat mempunyai warna kuning cair ataupun jernih. Kadangkala, air kencing yang berwarna keruh berlaku disebabkan adanya darah di dalam urin.
Darah di dalam urin atau turut dikenali sebagai hematuria mungkin merupakan tanda penyakit yang lebih serius. Walaupun hematuria lazimnya tidak berbahaya, penting untuk anda bertemu dengan doktor bagi menentukan punca sebenar pendarahan.
Individu yang mengalami hematuria selalunya akan menghasilkan air kencing yang berwarna merah jambu, merah ataupun coklat. Walaupun ada darah di dalam air kencing, selalunya pesakit tidak akan rasa apa-apa ketika membuang air.
Jika ia disebabkan oleh kencing kotor, selalunya salah satu tanda jangkitan saluran kencing adalah urin yang berwarna merah. Air kencing tersebut akan turut disertai dengan bau yang tidak menyenangkan dan rasa pedih ketika membuang air.
Selalunya, bau air kencing yang kuat bukanlah petanda masalah kesihatan. Malah, ada pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan bau tersebut. Sebagai contoh, anda boleh minum lebih banyak air dan kurangkan pengambilan makanan yang berbau.
Antara sebab yang membuatkan urin berbau kuat adalah:
Walau bagaimanapun, bau yang tidak menyenangkan juga boleh menjadi salah satu tanda kencing kotor terutamanya jika anda mengalami lebih daripada satu simptom kencing kotor seperti yang dinyatakan di atas.
Jangan ambil mudah jika anda alami masalah kencing berbau. Pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin kerana ini salah satu simptom kencing kotor yang bahaya.
Wanita yang mengalami sakit pelvis, terutamanya pada kawasan tengah pelvis dan sekitar pangkal paha perlu lebih berhati-hati.
Rasa sakit ini mungkin merupakan salah satu simptom kencing kotor, lebih-lebih lagi jika anda alami sakit belakang dan sering bangun malam untuk membuang air.
Selain itu, jangkitan buah pinggang akan menyebabkan pesakit alami sakit belakang. Ia juga boleh menyebabkan anda rasa loya dan muntah-muntah.
Individu yang mengalami jangkitan buah pinggang perlu dirawat dengan segera. Jangkitan ini boleh membawa maut jika ia dibiarkan merebak melalui saluran darah.
Semua orang berisiko untuk menghidap jangkitan saluran kencing. Ia sebenarnya merupakan satu penyakit yang lazim lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita.
Selain rasa pedih ketika membuang air kecil, tanda kencing kotor termasuklah rasa terdesak untuk ke tandas, kerap rasa ingin terkencing dan urin yang berwarna keruh.
UTI berlaku disebabkan jangkitan pada kawasan pundi kencing. Ia juga selalunya disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali dengan nama Escherichia coli yang banyak ditemui di dalam usus manusia.
Setelah dirawat, jangkitan saluran kencing selalunya tidak akan menyebabkan apa-apa komplikasi. Malah, UTI boleh sembuh setelah seminggu mengambil ubat-ubatan yang diberikan doktor.
Walau bagaimanapun, jika dibiarkan tidak dirawat, UTI mungkin akan menyebabkan masalah yang lebih besar seperti jangkitan berulang ataupun kerosakan buah pinggang.
Langkah terbaik untuk mengelakkan jangkitan bakteria ialah dengan cara menjaga kebersihan diri. Selepas membuang air besar atau kecil, pastikan anda lap kemaluan dari depan ke belakang dan bukanlah sebaliknya.
Orang perempuan pula dinasihatkan untuk elak penggunaan sabun yang berlebihan. Selain itu, guna seluar dalam yang diperbuat daripada kapas untuk menggalakkan pengaliran udara.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen