home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Jangan Ambil Ringan Jika Kencing Warna Pink & Berbau Busuk. Ini Adalah Tanda Batu Karang!

Jangan Ambil Ringan Jika Kencing Warna Pink & Berbau Busuk. Ini Adalah Tanda Batu Karang!

Batu karang merupakan penyakit yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada setiap tahap di dalam hidup mereka. Salah satu tanda batu karang yang paling lazim ialah hematuria, atau darah di dalam air kencing.

Buah pinggang merupakan organ yang amat penting bagi manusia. Untuk pengetahuan anda, buah pinggang yang sihat akan menapis hampir setengah cawan darah setiap minit untuk mengkumuhkan sebarang bahan buangan dan air dalam bentuk air kencing.

Air kencing pula akan mengalir daripada buah pinggang ke pundi kencing melalui dua tiub nipis yang dikenali sebagai ureter.

Buah pinggang, ureter dan pundi kencing adalah sebahagian daripada sistem urinari di dalam badan manusia.

Batu karang terbentuk apabila mineral di dalam air kencing bertukar menjadi hablur. Kadangkala, jika pesakit mempunyai air kencing yang terlalu pekat, bahan buangan di dalamnya boleh bergumpal sesama mereka dan membentuk batu karang.

Semua orang berisiko untuk menghidap batu karang. Namun, penyakit ini kebanyakannya menyerang lelaki yang berumur 50 tahun ke atas.

Tetapi, tidak kiralah lelaki atau wanita, kedua-duanya berisiko untuk menghidap batu karang.

Jarang untuk batu karang berlaku kepada kanak-kanak. Walaupun begitu, jika anak anda sering terkencing di atas tilam, ini mungkin salah satu tanda mereka menghidap penyakit batu karang.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Batu Karang, sila dapatkannya di sini.

Tanda-Tanda Batu Karang

Penyakit batu karang turut dikenali dengan terma nephrolithiasis. Manakala, batu karang yang berada pada saluran urinari pula dikenali dengan nama urolithiasis.

Kadangkala, walaupun batu karang bersaiz besar, ia mungkin tidak akan mencetuskan sebarang masalah atau simptom.

Batu karang bersaiz kecil pula boleh keluar daripada badan dengan sendirinya. Oleh sebab itu, pesakit mungkin tidak akan alami sebarang gejala.

Walau bagaimanapun, jika batu karang tersebut membuatkan dinding pundi kencing mengalami iritasi ataupun menghalang pengaliran air kencing, pesakit akan mula alami beberapa simptom.

Lazimnya, batu karang akan tersangkut pada:

  1. Ureter- Saluran atau tiub yang menyambung bahagian buah pinggang ke pundi kencing.
  2. Uretra- Saluran atau tiub yang menyalurkan air kencing keluar daripada badan.

Sebagai contoh, pesakit mungkin mengalami:

1. Rasa sakit pada bahagian bawah abdomen

Salah satu gejala lazim penyakit batu karang yang terbentuk di dalam pundi kencing ialah kesakitan pada bahagian bawah abdomen.

Apabila batu tersebut tersangkut pada tiub ureter, saluran air kencing akan terhalang. Ini akan membuatkan buah pinggang membengkak dan saluran ureter mengalami kekejangan.

2. Sakit belakang

Pesakit juga mungkin akan alami rasa sakit pada bahagian sisi dan belakang badan akibat penyakit batu karang.

Sakit belakang yang biasa selalunya akan hilang apabila anda mengubah postur badan.

Namun, jika kesakitan itu tidak hilang walaupun ketika bergerak, ia mungkin menandakan penyakit lain dan memerlukan perhatian daripada doktor.

Menurut Dr. Mike Nguyen, seorang ahli urologi di Keck Medicine of USC, sakit yang disebabkan oleh batu karang boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa sebarang amaran.

Namun, jika sakit belakang tersebut berlaku pada bahagian bahu, kemungkinan besar batu karang bukanlah punca sakit belakang tersebut. Mungkin dengan cara mengubah postur badan, anda boleh mengurangkan sakit yang dialami.

3. Kesakitan yang makin meningkat

Rasa sakit yang disebabkan batu karang selalunya menyerang secara tiba-tiba dan kemudiannya beransur hilang. Pesakit akan rasa lega kerana kesakitan tersebut hilang sebentar, namun ia akan menyerang sekali lagi dalam masa 20 hingga 60 minit kemudian.

Rasa sakit ini turut dikenali dengan nama kolik renal. Ia boleh dikenali dengan rasa sakit pada kawasan di antara tulang rusuk dan tulang pinggul yang boleh mencecah hingga pangkal paha.

Malah, rasa sakit yang disebabkan batu karang juga boleh berbeza-beza mengikut lokasi.

Sebagai contoh, apabila batu karang tersebut bergerak melalui saluran kencing, gejala dan rasa sakit yang pesakit alami juga akan jadi berbeza-beza.

4. Loya dan muntah-muntah

tanda batu karang

Rasa sakit disebabkan batu karang akan membuatkan pesakit rasa loya dan kemudiannya muntah-muntah. Malah, simptom ini amat lazim dalam kalangan pesakit batu karang.

Selain itu, rasa loya dan muntah-muntah ini mungkin berlaku sebagai tindakan refleks badan terhadap kesakitan yang dirasai. Manakan tidak, ada pesakit yang menggambarkan kesakitan disebabkan batu karang sebagai satu pengalaman yang paling menyakitkan buat mereka!

5. Rasa letih

Individu yang rasa sakit berkali-kali sudah pasti letih dan penat. Namun, anda perlu tahu bahawa keletihan mungkin bukan sahaja tanda batu karang, ia juga boleh disebabkan oleh jangkitan pada bahagian buah pinggang.

Jika anda rasa penat dan letih, dan pada yang sama alami cirit-birit, demam, dan juga mempunyai urin yang berbau busuk, ini merupakan antara simptom jangkitan pada bahagian buah pinggang.

Malah, simptom-simptom untuk dua penyakit ini adalah sama dan sukar untuk dibezakan.

Oleh sebab itu, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor boleh mengenal pasti sama ada anda alami jangkitan atau batu karang selepas menjalankan ujian yang berkaitan.

Selain itu, pesakit mungkin juga rasa letih disebabkan oleh anemia yang berlaku disebabkan penyakit berkaitan dengan buah pinggang.

Anemia boleh menyebabkan pesakit rasa penat dan letih serta sukar untuk fokus ketika melakukan tugasan harian.

6. Berpeluh disebabkan sakit batu karang

Individu yang kerap berpeluh akan menghasilkan urin yang lebih sedikit. Oleh sebab itu, mineral akan lebih mudah untuk membentuk hablur.

Untuk itu, pastikan diri anda sentiasa hidrat. Minum air dengan banyak, sekurang-kurangnya 3 liter sehari untuk mencairkan urin.

7. Darah atau batu di dalam air kencing

Salah satu simptom batu karang yang serius ialah hematuria, ataupun darah di dalam air kencing. Pesakit yang alami hematuria mempunyai urin yang berwarna merah, merah jambu ataupun coklat gelap.

Namun, kadangkala darah yang wujud di dalam air kencing pesakit adalah terlalu sedikit untuk mengkibatkan sebarang perubahan warna.

Keadaan ini turut dikenali dengan nama hematuria mikroskopik. Kondisi ini hanya boleh didiagnosis jika doktor melakukan ujian urin.

8. Demam

tanda batu karang

Demam, terutamanya yang bersuhu tinggi merupakan gejala batu karang yang menandakan wujudnya jangkitan pada kawasan buah pinggang ataupun pada saluran air kencing pesakit. Untuk pengetahuan anda, demam yang disebabkan oleh batu karang perlukan perhatian daripada pakar dengan kadar yang segera.

Pesakit yang demam selalunya akan disertai dengan simptom lain seperti menggigil. Selain itu, demam juga mungkin tanda komplikasi yang lebih serius sedang berlaku kepada pesakit.

Jika tidak dirawat secepat mungkin, pesakit boleh mengalami sepsis iaitu satu kondisi yang disebabkan oleh respons badan terhadap jangkitan.

9. Air kencing berbau busuk

Air kencing yang sihat sepatutnya berwarna jernih dan sedikit kekuning-kuningan. Jika anda minum air dengan banyak, selalunya air kencing akan jadi semakin jernih dan tidak mempunyai bau yang kuat.

Individu yang mempunyai batu karang selalunya mempunyai gejala seperti air kencing yang berbau seperti ammonia yang mungkin disebabkan oleh urin yang pekat. Ia juga mungkin tanda jangkitan pada kawasan buah pinggang ataupun pada saluran kencing.

10. Bengkak pada kawasan abdomen tanda batu karang

Kadangkala, pesakit boleh alami bengkak pada kawasan abdomen disebabkan oleh batu karang. Selain itu, pesakit juga mungkin alami kesukaran untuk membuang air kecil atau rasa sakit pada bahagian testis.

Jangan abaikan penyakit batu karang

Jika mengalami sebarang simptom di atas, pastikan anda berjumpa doktor dengar kadar yang segera.

Walaupun tanda-tanda ini bukan disebabkan oleh batu karang, namun ia perlu diperiksa oleh doktor untuk menentukan penyakit sebenar di sebalik simptom yang anda alami.

Jika anda mempunyai penyakit batu karang, rawatan akan diberikan mengikut saiz dan juga lokasi batu karang tersebut. Faktor lain seperti adakah batu karang tersebut menghalang saluran kencing atau adakah ia menyebabkan kesakitan juga akan diambil kira oleh doktor.

Oleh sebab itu, pesakit mungkin akan melalui beberapa ujian seperti ujian air kencing, ujian darah, imbasan X-ray ataupun CT untuk mengenal pasti tahap sebenar penyakit yang dialami. Rawatan pula akan disesuaikan mengikut dapatan doktor daripada ujian-ujian berikut.

Pesakit yang pernah mengalami batu karang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalaminya semula pada masa hadapan. Ada beberapa langkah yang anda boleh lakukan seperti minum air sekurang-kurangnya 3 liter sehari untuk merendahkan konsentrasi urin.

Elakkan menahan air kencing dalam tempoh masa yang lama dan amalkan kaedah double voiding dengan cara membuang air sekali lagi dalam masa 10 hingga 20 saat selepas percubaan pertama.

Kaedah ini dapat membantu pesakit untuk mengosongkan pundi kencing dengan lebih efisien.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. American Kidney Fund. 2020. Kidney Stone Causes, Symptoms, Treatments, & Prevention. June 17. Accessed November 10, 2020. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/kidney-problems/kidney-stones/.
  2. Keck Medicine of USC. n.d. 10 Signs Your Back Pain Could Be a Kidney Stone. Accessed December 10, 2020. https://www.keckmedicine.org/10-signs-your-back-pain-could-be-a-kidney-stone/.
  3. Mayo Clinic. 2019. Bladder stones. August 16. Accessed November 10, 2020. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/bladder-stones/symptoms-causes/syc-20354339.
  4. National Kidney Foundation. n.d. Kidney stones. Accessed December 10, 2020. https://www.kidney.org/atoz/kidneystones.
  5. NHS. 2018. Bladder stones. August 3. Accessed December 10, 2020. https://www.nhs.uk/conditions/bladder-stones/.
  6. NIDDK. 2018. Your Kidneys & How They Work. June. Accessed December 10, 2020. https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease/kidneys-how-they-work.
  7. Nidirect. n.d. Smelly urine. Accessed December 10, 2020. https://www.nidirect.gov.uk/conditions/smelly-urine.
  8. University of Michigan. 2019. Kidney Stones. August 11. Accessed December 10, 2020. https://www.uofmhealth.org/health-library/hw204795.
Gambar penulis
Maklumat perubatan disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Fatin Zahra
Disemak pada 22/01/2021
x