backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Ada Banyak Simptom Batu Karang, Kenali Jenis-Jenisnya & Rawatan Yang Bersesuaian

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/01/2023

    Ada Banyak Simptom Batu Karang, Kenali Jenis-Jenisnya & Rawatan Yang Bersesuaian

    Penyakit batu karang di Asia mempunyai kadar peratusan kes yang lebih tinggi berbanding negara Barat, iaitu antara 10% hingga 20%.

    Ia berpunca daripada pembentukan kristal halus yang terkumpul dalam sistem urinari. Komposisi utama kristal yang terbentuk terdiri daripada beberapa jenis garam galian.

    Antara jenis yang kerap dijumpai dalam kalangan masyarakat kita ialah kalsium oksalat, asid urik dan sturvit.

    Pada dasarnya, penyakit batu karang tidak menunjukkan apa-apa tanda sehingga ia menyekat saluran ureter anda, iaitu tiub yang membawa air kencing daripada ginjal ke pundi kencing.

    Saiz batu juga memainkan peranan penting bagi kemunculan tanda dan gejala penyakit ini. 

    Saiz yang lebih kecil mudah untuk keluar semasa membuang air kecil, manakala batu yang lebih besar akan menyekat saluran serta menyebabkan kesakitan dan simptom lain.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.

    Tanda dan gejala penyakit batu karang

    penyakit batu karang

    Apabila saluran ureter anda tersumbat, anda akan mengalami kesakitan yang luar biasa berpusat daripada bahagian belakang dan sisi badan, kemudiannya ke bahagian tulang pinggul, pangkal paha dan alat kelamin.

    Keadaan sakit tersebut tidak akan dipengaruhi oleh apa-apa pergerakan atau perubahan postur badan yang biasanya disebabkan oleh sakit tulang atau otot.

    Selain daripada berasa sakit, terdapat beberapa tanda dan gejala lain termasuklah :

    Faktor risiko penyakit batu karang

    Batu karang selalunya tidak mempunyai punca yang pasti, walaupun terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko anda.

    Sebilangan besar batu karang terbentuk disebabkan oleh faktor genetik dan persekitaran. 

    Dari sudut jantina pula, lelaki lebih cenderung untuk mendapat batu karang berbanding wanita. Selain itu, penyakit ini kerap dijumpai dalam kalangan individu berumur antara 30 hingga 60 tahun.

    Faktor risiko yang lain termasuklah:

    • Tahap kalsium yang tinggi dalam air kencing
    • Dehidrasi atau tidak mengambil jumlah air yang mencukupi
    • Masalah keturunan: sejarah keluarga mengalami batu karang
    • Obesiti
    • Diet yang tinggi dengan protein daripada haiwan (daging merah)
    • Pengambilan magnesium yang rendah dan sodium tinggi dalam diet seharian
    • Minum air yang berfluorida
    • Mengambil suplemen kalsium, vitamin C atau D yang berlebihan
    • Aktiviti paratiroid yang terlampau aktif
    • Mempunyai masalah kesihatan lain seperti gout
    • Jangkitan salur kencing yang berulang kali

    Jenis-jenis batu karang

    penyakit batu karang

    Pengetahuan mengenai jenis batu karang penting untuk membantu menentukan penyebabnya serta memberikan petunjuk untuk mengurangkan risiko pembentukan batu karang yang lebih banyak.

    Jika anda perasan terdapat batu kecil yang keluar semasa anda membuang air kecil, simpanlah batu tersebut sehingga anda dapat membawanya ke doktor untuk dianalisis.

    Terdapat pelbagai jenis batu karang yang boleh terbentuk dalam sistem urinari anda. Berikut merupakan 4 jenis batu karang utama yang sering ditemui dalam kalangan pesakit yang terlibat.

    1. Batu kalsium

    Sebilangan besar batu karang yang kerap dijumpai ialah jenis batu kalsium, selalunya dalam bentuk kalsium oksalat.

    Oksalat adalah sejenis bahan yang dihasilkan oleh organ hati pada setiap hari atau diserap secara langsung daripada diet anda.

    Sesetengah buah-buahan dan sayuran, serta kacang dan coklat mempunyai kandungan oksalat yang tinggi. Oleh itu, jika anda mempunyai sejarah keluarga berkait rapat dengan penyakit batu karang, anda harus berhati-hati dengan pemilihan makanan anda.

    Faktor diet, vitamin D berdos tinggi, pembedahan pintasan usus dan beberapa gangguan metabolik dan hormon boleh meningkatkan kepekatan kalsium atau oksalat dalam air kencing.

    Salah satu jenis batu kalsium yang lain ialah kalsium fosfat. Ia lebih banyak ditemui dalam pesakit metabolik seperti asidosis tiub buah pinggang. Selain itu, ia juga boleh dikaitkan dengan ubat-ubatan tertentu yang digunakan untuk mengubati migrain atau sawan.

    2. Batu sturvit

    Penyakit batu karang sturvit juga dikenali sebagai batu jangkitan, terdiri daripada 3 komposisi utama iaitu magnesium, ammonia dan fosfat yang bercampur dengan karbonat.

    Ia digelar sebagai batu jangkitan kerana kerap terbentuk sebagai tindak balas terhadap jangkitan salur kencing. Batu-batu ini boleh tumbuh dan membesar dengan cepat walaupun tanpa kemunculan tanda dan gejala.

    3. Batu asid urik

    Batu asid urik terbentuk apabila kadar asid urik dalam air kencing terlalu tinggi, yang mengakibatkan air kencing menjadi terlalu berasid.

    Keasidan tinggi dalam air kencing boleh disebabkan oleh individu yang kehilangan banyak air daripada badan kerana cirit-birit berterusan atau sistem pencernaan yang bermasalah.

    Selain itu, individu yang biasa dengan diet tinggi protein terutama sekali daging merah akan lebih cenderung untuk mendapat batu asid urik.

    Masalah kesihatan lain seperti diabetes atau sindrom metabolik juga lebih senang untuk mendapat batu karang jenis ini.

    Sesetengah faktor genetik juga boleh meningkatkan risiko batu asid urik anda.

    4. Batu cystine

    Batu jenis ini jarang ditemui kerana ia selalunya berkait dengan penyakit keturunan bergelar cystinuria.

    Keadaan tersebut akan menyebabkan buah pinggang individu menghasilkan sejenis asid amino dalam kadar yang terlampau tinggi, iaitu cystine. Komponen itu kemudiannya boleh ‘bocor’ ke dalam air kencing dan dalam jangka masa panjang akan membentuk batu karang.

    Bagaimanakah keadaan ini didiagnosis?

    Sekiranya doktor mengesyaki anda mempunyai penyakit batu karang, ada beberapa ujian dan prosedur yang dijalankan termasuklah :

    1. Ujian darah

    Terdapat ujian darah khusus yang boleh menunjukkan kadar kalsium atau asid urik dalam darah anda.

    Selain itu, hasil ujian darah lain penting untuk pemantauan kesihatan anda secara menyeluruh, terutama sekali kesihatan buah pinggang anda.

    2. Ujian air kencing

    Ujian pengumpulan air kencing 24 jam boleh menunjukkan 2 perkara penting – jumlah mineral yang membentuk batu karang dan elemen yang mencegah pembentukan batu tersebut.

    Doktor akan memaklumkan anda untuk melakukan pengumpulan air kencing selama 2 hari berturut-turut.

    3. Pengimejan

    Teknik yang kerap digunakan untuk mengesan batu karang ialah sinar-X abdomen, namun kurang berkesan untuk batu asid urik dan cystine.

    Ujian ultra bunyi juga adalah pilihan yang cepat dan mudah untuk dilakukan. Teknik ini seringkali dipilih bagi pusat kesihatan atau hospital yang lebih kecil.

    Kaedah yang lebih tepat ialah imbasan CT abdomen, di mana batu-batu kecil juga boleh dikesan dengan senang sekali. Akan tetapi, ia hanya tersedia di hospital besar atau swasta sahaja.

    Rawatan dan pencegahan penyakit batu karang

    penyakit batu karang

    Rawatan penyakit batu karang ini bergantung kepada saiz dan lokasi batu. Dalam sesetengah kes, pakar urologi yang akan merawat individu yang terlibat.

    Rawatan konservatif sering dilakukan terhadap individu yang mempunyai batu lebih kecil. Rawatan tersebut termasuklah pengambilan air yang banyak untuk membuang batu kecil daripada sistem badan.

    Selain itu, ubat penahan sakit juga akan diberikan untuk mengawal tahap kesakitan sehingga batu tersebut keluar daripada sistem salur kencing anda.

    Bagi batu yang lebih besar, pendekatan yang lebih terperinci mungkin diperlukan, termasuklah :

    • Extracorporeal shock wave lithotripsy (ESWL)
      • Ia memecahkan batu karang besar ke ketulan yang lebih kecil untuk dikeluarkan melalui air kencing.
  • Percutaneous nephrolithotomy
    • Batu karang akan dipecahkan dengan laser, ultra bunyi mahupun angin melalui tiub yang dimasukkan daripada hirisan kecil yang dibuat di bahagian buah pinggang yang terlibat.
    • Prosedur ini sesuai untuk batu karang yang lebih besar daripada 2 cm dan yang gagal bagi ESWL.
  • Ureteroscopy
  • Walaupun anda pernah mengalami penyakit batu karang masa lalu atau berisiko tinggi untuk mendapatkannya, ada banyak langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah :

    • Minumlah lebih banyak air untuk kerap mencuci sistem urinari anda
    • Elakkan pengambilan minuman berkafein lebih daripada 2 cawan sehari
    • Kurangkan daging merah dan gula halus dalam diet anda
    • Tingkatkan pengambilan asid sitrik secara semula jadi, terutamanya daripada jus lemon atau limau
    • Elak ambil suplemen vitamin C berlebihan
    • Jika anda sudah melalui tempoh menopaus, elakkan supplemen vitamin D dan kalsium yang berlebihan

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan