backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

4

Tanya Doktor
Simpan

Ini 7 Punca Badan Naik Bintik Merah, Jangan Biarkan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/08/2023

    Ini 7 Punca Badan Naik Bintik Merah, Jangan Biarkan!

    Naik bintik merah pada kulit merupakan satu perkara yang merisaukan, lebih-lebih lagi jika punca di sebalik masalah tersebut tidak diketahui.

    Kadangkala ia cuma gatal-gatal biasa. Tetapi, bintik merah pada kulit juga boleh berlaku disebabkan penyakit seperti kurap atau kayap yang perlukan perhatian lebih daripada doktor.

    Jika bintik merah yang naik pada kulit disertai dengan rasa gatal-gatal, ia mungkin menandakan jangkitan atau masalah kulit yang kronik.

    Untuk pengetahuan anda, bintik merah atau ruam boleh terjadi disebabkan pelbagai perkara.

    Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk menentukan penyebab sebenar masalah kulit yang dialami.

    Walau bagaimanapun, jangan sesekali lakukan diagnosis sendiri tanpa sebarang nasihat daripada doktor.

    Jika anda ingin tahu perkara apakah yang boleh menyebabkan kulit anda naik bintik merah, jom baca artikel yang kami sediakan di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan kulit, anda boleh klik di sini.

    1. Bintik merah pada kulit disebabkan ruam panas

    Bintik merah pada kulit

    Jangan salah sangka, ruam panas bukan hanya berlaku pada bayi sahaja. Ia juga boleh berlaku kepada orang dewasa!

    Ruam panas terjadi apabila liang peluh tersumbat lalu memerangkap peluh di bawah lapisan kulit. Akibatnya, kulit akan naik bintik merah yang kadangkala membengkak, mengelembung dan berair.

    Selalunya, ruam panas akan berlaku pada kawasan badan yang banyak mengalami geseran dengan baju, contohnya pada kawasan leher, bahu dan dada.

    Namun, ia juga boleh berlaku pada kawasan ketiak, siku dan juga celah kelengkang. Mereka yang kerap berpeluh dan tinggal di kawasan panas lebih berisiko untuk mengalami ruam jenis ini.

    2. Dermatitis sentuh (contact dermatitis)

    Dermatitis sentuh merupakan sejenis ruam merah yang berlaku setelah anda bersentuhan dengan sesuatu bahan yang boleh mencetuskan reaksi alergi.

    Kondisi ini tidak berjangkit, namun boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada penghidapnya.

    Mereka yang menghidap dermatitis sentuh boleh mengalami ruam atau bintik merah setelah menyentuh objek seperti barang kemas, sabun, minyak wangi dan juga tumbuh-tumbuhan tertentu.

    3. Masalah bintik merah pada kulit disebabkan kayap

    Kayap atau shingles merupakan sejenis ruam merah yang menyakitkan dan boleh naik pada bahagian muka atau badan.

    Sebelum ruam tersebut berlaku, selalunya pesakit akan rasa tidak sihat.

    Manakala, kawasan kulit yang dipengaruhi pula akan mula mengeluarkan bintik merah yang gatal-gatal dalam masa 7 hingga 10 hari. Lama kelamaan, lepuh tersebut akan mula kering dan berkudis.

    Tanda awal anda diserang kayap ialah rasa sakit pada kawasan kulit yang dijangkiti dan pening kepala. Jika anda mengalami kayap, berjumpalah doktor untuk rawatan lanjut.

    4. Bintik merah pada kulit disebabkan mandi air kotor

    Bintik merah pada kulit

    Kadangkala, bintik merah pada kulit badan boleh terjadi disebabkan swimmer’s itch atau cercarial dermatitis, yang berlaku apabila badan mengalami reaksi alergi terhadap parasit mikoskopik yang tinggal di dalam air.

    Parasit ini berasal daripada siput yang dijangkiti dan boleh mencemarkan air laut, sungai, kolam dan tasik.

    Jika parasit ini melekat pada manusia, ia akan membenamkan diri ke dalam kulit dan menyebabkan timbulnya bintik merah serta ruam gatal yang menyebabkan reaksi alergi.

    Kanak-kanak merupakan golongan yang amat berisiko untuk mengalami swimmer’s itch.

    Disebabkan parasit ini lebih suka berumah di kawasan yang cetek, mereka mungkin akan ‘melekat’ pada badan kanak-kanak yang mandi di sekitar kawasan ini.

    5. Kurap

    Kurap merupakan sejenis jangkitan kulit yang disebabkan oleh fungus. Ia turut dikenali dengan nama ringworm dan akan menyebabkan ruam yang berbentuk cincin pada badan.

    Ruam ini juga selalunya berwarna merah, bersisik dan gatal-gatal. Kurap boleh berjangkit sama ada daripada individu ataupun haiwan yang telah dijangkiti.

    Oleh sebab itu, jika anda mempunyai ahli keluarga atau kawan yang mempunyai kurap, jangan sesekali kongsi tuala, baju atau sikat jika tidak mahu dijangkiti.

    6. Penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD)

    Bintik merah pada kulit

    HFMD merupakan sejenis penyakit viral yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Tanda utama penyakit ini adalah luka di dalam mulut, ruam serta bintik merah pada kawasan tangan dan kaki.

    Dalam masa yang sama, mereka juga akan diserang demam, sakit tekak dan rasa tidak sihat. Bayi pula akan selalu merengek dan tidak lalu makan disebabkan luka di dalam mulut.

    Penyakit yang disebabkan oleh coxsackievirus ini tidak boleh dirawat dan boleh berjangkit.

    Salah satu cara untuk mengelakkan jangkitan HFMD adalah dengan membasuh tangan dengan kerap dan mengelakkan sebarang kontak rapat dengan mereka yang telah dijangkiti.

    7. Bintik merah pada kulit disebabkan lichen planus

    Lichen planus merupakan satu keadaan yang menyebabkan kulit seseorang membengkak dan gatal-gatal. Ia selalunya dikenal pasti dengan bintik berwarna merah atau ungu pada badan yang berlangsung selama beberapa minggu.

    Lichen planus juga boleh berlaku di kawasan mulut dan vagina, serta bahagian lain pada badan yang diselaputi membran mukus.

    Hingga ke hari ini, masih sedikit informasi yang ada berkaitan lichen planus. Malah, ia juga tidak boleh dirawat.

    Oleh sebab itu, pesakit hanya akan diberikan ubat-ubatan untuk mengawal simptom yang dialami.

    Kesimpulan

    Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan munculnya bintik merah pada kulit seseorang.

    Kadangkala, ia boleh berlaku disebabkan alergi atau jangkitan bakteria mahupun virus.

    Jika simptom yang anda alami menyebabkan ketidakselesaan, pastikan anda berjumpa doktor dalam kadar yang segera, lebih-lebih lagi jika anda sudah mencuba pelbagai produk over-the-counter yang dijual di farmasi.

    Doktor atau ahli dermatologi boleh membantu anda dengan melakukan diagnosis yang betul dan mencadangkan rawatan yang sesuai untuk merawat bintik merah yang anda alami.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan