Pencinta Kucing Berisiko Alami Jangkitan Kurap, Rawat Dengan 2 Cara Ini!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 26/01/2023

    Pencinta Kucing Berisiko Alami Jangkitan Kurap, Rawat Dengan 2 Cara Ini!

    Tahukah anda, ada beberapa jenis penyakit kucing yang sebenarnya boleh menjangkiti manusia? Ini termasuklah jangkitan kurap kucing pada manusia. Apakah cara menghilangkan kurap kucing pada manusia yang berkesan? Ikuti kupasannya di sini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Penyakit Berjangkit, anda boleh klik di sini.

    Apakah yang dimaksudkan dengan kurap?

    Kurap adalah nama biasa bagi sejenis jangkitan kulat yang berlaku pada kulit, rambut, dan juga kuku.

    Jangkitan kurap boleh berlaku pada manusia dan semua spesies haiwan peliharaan termasuklah kucing anda.

    Organisma yang menyebabkan jangkitan kurap ini tergolong dalam kumpulan kulat khusus yang dikenali sebagai dermatophytes.

    Oleh sebab itu, nama penyakit ini dalam dunia perubatan disebut sebagai dermatophytosis.

    Bagaimana kucing boleh mendapat jangkitan kurap?

    kurap kucing pada manusia

    Memandangkan penyakit kulit ini sangat mudah berjangkit, kucing anda akan mendapat kurap dengan cara bersentuhan dengan kucing lain yang dijangkiti atau berada dalam persekitaran di mana kurap membiak.

    Perkara ini lebih mudah berlaku jika rumah anda mempunyai beberapa ekor kucing.

    Ini kerana ia boleh merebak melalui folikel rambut dan kulit yang dijangkiti, yang dibuang secara semula jadi oleh kucing.

    Kurap lebih kerap berlaku pada kucing yang lebih muda dan kucing berbulu panjang.

    Ini kerana kucing yang muda (bawah satu tahun) lebih mudah terdedah kepada jangkitan kerana sistem imun mereka tidak berkembang sepenuhnya.

    Kucing berbulu panjang pula mempunyai tempat pembiakan kurap yang sempurna dalam bulunya kerana spora kulat boleh terperangkap dengan lebih mudah dan lebih sukar untuk dikeluarkan.

    Bagaimana kurap kucing pada manusia boleh berjangkit?

    Kurap sangat berjangkit dan penularan mudah boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan kulat tersebut.

    Ia boleh berjangkit melalui sentuhan langsung dengan haiwan atau individu yang dijangkiti.

    Ia juga boleh berjangkit sekiranya anda menyentuh objek dan permukaan yang telah tercemar dengan kulat kurap.

    Spora kulat boleh berada pada sikat, berus, mangkuk makanan, perabot, tempat tidur, permaidani atau permukaan persekitaran lain secara tidak aktif sehingga mencecah tempoh 18 bulan!

    Untuk pengetahuan anda, sentuhan dengan kulat kurap tidak selalunya mengakibatkan jangkitan.

    Namun, jumlah pencemaran persekitaran adalah faktor penting dalam perkembangan jangkitan kurap.

    Ini cara menghilangkan kurap kucing pada manusia

    kurap kucing pada manusia

    Terdapat beberapa kaedah atau cara menghilangkan kurap kucing pada manusia.

    Namun, rawatan untuk kurap ini bergantung pada lokasinya dan tahap keterukan jangkitan.

    Sesetengah jenis kurap boleh dirawat dengan ubat bukan preskripsi yang boleh didapati dengan mudah di farmasi.

    Sesetengah kurap yang lain pula mungkin memerlukan rawatan ubat antikulat dengan preskripsi.

    Berikut ialah cara menghilangkan kurap kucing:

    #1. Cara menghilangkan kurap kucing pada manusia yang berlaku pada permukaan kulit

    Kurap pada kulit biasanya boleh dirawat dengan penggunaan krim, losyen atau serbuk antikulat tanpa preskripsi.

    Ia digunakan pada kulit selama 2 hingga 4 minggu.

    Terdapat banyak produk bukan preskripsi yang boleh dibeli di farmasi untuk merawat kurap. Antaranya ialah:

    • Clotrimazole
    • Miconazole
    • Terbinafine
    • Ketoconazole

    Untuk krim, losyen atau serbuk bukan preskripsi, ikut arahan penggunaan pada label produk.

    Hubungi doktor jika jangkitan anda tidak hilang atau menjadi lebih teruk.

    #2. Cara menghilangkan kurap kucing pada manusia yang berlaku pada kulit kepala

    kurap kucing pada manusia

    Kurap pada kulit kepala biasanya perlu dirawat dengan menggunakan ubat antikulat preskripsi yang diambil melalui mulut selama 1 hingga 3 bulan.

    Krim, losyen atau serbuk antikulat tidak berfungsi untuk merawat kurap pada kulit kepala dengan berkesan.

    Antara jenis ubat antikulat preskripsi yang digunakan untuk merawat kurap pada kulit kepala termasuklah:

    • Griseofulvin
    • Terbinafine
    • Itraconazole
    • Flukonazol

    Anda perlu berjumpa dengan doktor sekiranya jangkitan kurap kulit kepala anda menjadi lebih teruk atau tidak hilang selepas menggunakan ubat bukan preskripsi.

    Buat tip ini untuk cegah jangkitan kurap kucing

    Sebelum anda memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, khususnya kucing terbiar, pastikan ia merupakan jenis kucing yang sesuai dengan keluarga anda.

    Ini kerana kucing boleh membawa kuman seperti virus, bakteria dan juga kulat yang boleh menjangkiti individu berisiko di rumah anda.

    Oleh itu, pastikan anda membawa kucing ke pejabat veterinar atau klinik haiwan terlebih dahulu untuk diperiksa.

    Selain itu, anda juga boleh mengikuti langkah-langkah di bawah ini:

    • Basuh tangan anda dengan sabun dan air bersih selepas memegang kucing
    • Untuk kanak-kanak, pastikan ibu-bapa atau penjaga mengawasi mereka untuk mencuci tangan
    • Gunakan hand sanitizer sekiranya tiada sabun dan air bersih
    • Bersihkan kotak najis kucing setiap hari
    • Jauhkan kotak najis kucing daripada haiwan lain, kanak-kanak dan juga makanan
    • Gunakan sarung tangan setiap kali anda mencuci sangkar atau membersihkan kotak najis kucing

    Kesimpulan

    Jika anda mendapati diri anda mengalami kurap, anda boleh dapatkan ubat kurap sama ada tanpa atau dengan preskripsi.

    Ia mungkin akan mengambil sedikit masa untuk sembuh, namun ia lebih baik daripada tanpa sebarang rawatan yang tepat.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 26/01/2023

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan