Pernahkah ibu anda berpesan agar tidak mandi setiap kali selepas berpeluh kerana risau panau akan timbul? Kalian tidak keseorangan! Ya, perbuatan ini seringkali dianggap sebagai salah satu penyebab utama ‘peta dunia’ ini timbul pada kulit. Untuk mengetahui kebenarannya berserta cara hilangkan panau pada kulit, jom kita sama-sama ikuti artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apa itu panau?
Buat anda yang mungkin belum tahu tentangnya, panau atau Tinea versicolor adalah sejenis jangkitan yis yang disebabkan oleh kulat jenis genus Malassezia.
Ia akan menyebabkan kulit anda timbul tompok-tompok jelas dan pucat yang berwarna putih, coklat, perang, hitam atau merah jambu.
Tompok-tompok ini berbentuk bulat atau bujur dan kadangkala akan bercantum menyebabkannya menjadi lebih besar dan luas.
Kebiasaannya, ia akan menyerang bahagian kulit yang terdapat banyak penghasilan minyak seperti muka, leher, kulit kepala, dada serta belakang badan.
Selain daripada menjejaskan penampilan, penderita jangkitan kulat ini juga akan berasa gatal pada kawasan kulit yang mengalami kondisi ini.
Persoalannya, apakah penyebab sebenar kepada jangkitan kulat ini?
Apa punca panau?
Seperti yang telah kami nyatakan di atas tadi, kondisi kulit berpanau boleh terjadi disebabkan oleh jangkitan kulat jenis genus Malassezia.
Namun apakah perkara yang akan mencetuskan jangkitan ini? Adakah benar mandi selepas berpeluh adalah angkaranya?
Tidak! Untuk pengetahuan anda, kepercayaan ini adalah tidak benar kerana tiada kajian yang menyatakan panau boleh berlaku akibat perkara ini.
Punca panau
- Kulit berminyak
- Kerap berpeluh
- Sistem imun tidak kuat
- Cuaca panas dan lembap
- Selalu memakai pakaian yang lembap atau basah
- Kurang menjaga kebersihan diri
- Kelenjar adrenal telah dibuang
Usah berdiam diri dan menyangka bahawa tiada apa yang kalian boleh lakukan kerana wujud beberapa cara hilangkan panau secara saintifik.
Ini cara hilangkan panau secara saintifik!
Sebenarnya, cara merawat kondisi ini tidaklah sesukar yang disangka dan kalian sendiri boleh mengubati panau di rumah. Bagaimana?
Namun sebelum itu, kalian perlu mendapatkan ubatan sapuan yang berbentuk krim atau syampu untuk membunuh kulat ini.
Dapatkan ubat panau di farmasi atau klinik berdekatan selepas berbincang dengan doktor tentang cara terbaik untuk mengubatinya.
Berikut adalah senarai ubatan sapuan yang terbukti berkesan sebagai cara hilangkan panau secara saintifik:
- Clotrimazole (Lotrimin AF, Mycelex)
- Miconazole (Monistat, M-Zole)
- Selenium sulfide (Selsun Blue shampoo)
- Terbinafine (Lamisil)
- Ciclopirox (Loprox, Penlac)
- Ketoconazole (Extina, Nizoral)
- Fluconazole (Diflucan)
- Itraconazole (Onmel, Sporanox)
- Ketoconazole
Selepas berjaya membunuh kulat penyebab jangkitan ini, anda perlu tahu bahawa ia akan mengambil masa sebelum kulit berpanau ini akan hilang sepenuhnya.
Bergantung kepada keterukan jangkitan, ia mungkin akan memakan masa beberapa minggu atau bulan dan jangkitan boleh kembali semula jika tidak dijaga dengan baik.
Selain ubatan sapuan klinikal ini, wujudkah petua hilangkan panau dengan cepat lain yang boleh diamalkan?
Petua hilangkan panau dengan cepat secara tradisional!
Ya memang wujud cara hilangkan panau secara tradisional namun keberkesanannya tidaklah begitu pasti atau tinggi.
Namun, tidak salah untuk ambil tahu dan mungkin cuba selagi ia tidak mendatangkan mudarat bukan? Ini dia caranya!
#1. Bawang putih
Bawang putih boleh digunakan untuk menghilangkan panau kerana ia bersifat antikulat dan caranya, anda hanya perlu sapukan ia pada kawasan bertompok yang dijangkiti.
#2. Yogurt
Yogurt merupakan agen yang sangat bagus dalam mematikan kulat lantas menjadikannya sangat berkesan menghilangkan panau dengan hanya menjadikan yogurt ini sebagai masker.
Cara hilangkan panau #3. Limau & kapur
Limau dan kapur adalah bahan alkali yang mampu meneutralkan kadar pH pada kulit yang mungkin boleh menghilangkan panau.
Caranya juga adalah mudah iaitu campurkan sahaja limau dan kapur ini kemudian titiskan atau sapukan ia pada kawasan yang terjejas.
#4. Mentega, serbuk kunyit & serbuk cedana
Bahan-bahan yang sangat terkenal dalam petua penjagaan kulit ini boleh juga digunakan untuk menghilangkan panau pada kulit anda.
Caranya, sila campurkan bahan-bahan ini menjadi masker sama seperti yogurt dan tampalkan ia pada kawasan yang dijangkiti kondisi ini.
Dalam pada itu, anda juga mungkin boleh ambil vitamin tambahan sebagai suplemen di samping mengamalkan kebersihan diri untuk mengelakkan panau berlaku dan berulang kembali okay!
Kesimpulan
Kini anda telah mengetahui 4 petua hilangkan panau dengan cepat secara tradisional. Namun begitu, sekiranya simptom panau anda menjadi semakin kronik, anda dinasihati untuk segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.