backup og meta

Warga Emas Yang Suka Minum Kopi, Minuman Ini Boleh Kurangkan Risiko Nyanyuk & Parkinson

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/08/2023

    Warga Emas Yang Suka Minum Kopi, Minuman Ini Boleh Kurangkan Risiko Nyanyuk & Parkinson

    Minuman kopi sering menjadi antara salah satu minuman wajib ketika bersarapan pagi. Namun, tahukah anda bahawa minum kopi sebenarnya boleh memberikan manfaat kepada otak manusia.

    Ada kajian menunjukkan bahawa meminum kopi boleh melambatkan perkembangan penyakit berkaitan otak seperti demensia dan kehilangan memori.

    Ia juga mungkin boleh memberikan banyak manfaat kepada warga emas yang merupakan kumpulan paling berisiko untuk mendapat gangguan berkaitan otak. Ikuti kupasan lanjut di bawah ini.

    Baca lebih lanjut tentang Sihat Pada Usia Emas di sini.

    Kandungan dalam minuman kopi yang mungkin anda tidak tahu!

    Kopi mengandungi sebatian bioaktif yang membuatkannya mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan manusia.

    Kebanyakan daripada sebatian ini adalah antioksidan, yang membantu melawan kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas dalam sel tubuh.

    minum kopi

    Antara bahan aktif yang terdapat dalam minuman kopi ialah:

    • Kafein: ia adalah bahan aktif utama dalam kopi. Kafein merangsang sistem saraf pusat. Ia adalah bahan psikoaktif yang paling banyak digunakan di seluruh dunia
    • Asid klorogenik (CGA): Antioksidan polifenol ini dapat memberikan manfaat kepada beberapa jalur biologi, seperti metabolisme gula darah dan tekanan darah tinggi, yang keduanya berkaitan dengan risiko penurunan mental yang berkaitan dengan usia
    • Cafestol dan kahweol: Terdapat dalam minyak semula jadi kopi, sebilangan besar sebatian ini terdapat dalam kopi yang tidak ditapis. Ia mungkin bermanfaat untuk hati dan melindungi diri daripada kanser, tetapi pengambilan yang tinggi dapat meningkatkan kolesterol LDL

    Namun, jumlah bahan ini dalam secawan kopi yang anda nikmati adalah berbeza. Perbezaannya juga bergantung kepada bagaimana kopi tersebut dihasilkan, jenis kopi yang anda minum, dan jumlah kopi yang anda ambil. 

    Kopi dan peningkatan memori

    Minum kopi dan kafein juga boleh mempengaruhi ingatan anda, tetapi kajian mengenai perkara ini mempunyai hasil yang pelbagai.

    minum kopi

    Beberapa kajian mendapati bahawa kafein dapat meningkatkan ingatan jangka pendek. Kajian lain pula melaporkan tidak ada sebarang kesan pada memori, bahkan mendapati bahawa kafein boleh merosakkan prestasi tugas memori.

    Para penyelidik masih membahaskan kesan kafein pada ingatan jangka panjang.

    Namun, satu kajian kecil mendapati bahawa kafein dapat meningkatkan ingatan jangka panjang ketika diberikan setelah tamat waktu belajar.

    Ketika responden mengambil tablet kafein setelah mempelajari satu set gambar, kemampuan mereka untuk mengenali gambar ini dalam tempoh 24 jam seterusnya menjadi semakin kuat.

    Kafein juga menjadikan ingatan ini lebih sukar untuk dilupakan, berbanding dengan responden dalam kumpulan plasebo.

    Minum kopi kurangkan risiko penyakit demensia dan Alzheimer

    Penyakit Alzheimer adalah penyebab demensia yang paling biasa di seluruh dunia.

    Secara amnya ia bermula dengan perlahan tetapi semakin teruk dari masa ke masa. Alzheimer boleh menyebabkan kehilangan ingatan, serta masalah dengan pemikiran dan tingkah laku.

    Pada masa ini tidak ada penawar yang diketahui. Menariknya, faktor berkaitan diet boleh mempengaruhi risiko anda menghidap penyakit Alzheimer dan bentuk demensia yang lain.

    Kajian pemerhatian telah mengaitkan pengambilan kopi secara biasa dan sederhana boleh mengurangkan risiko sebanyak 65% untuk mendapat penyakit Alzheimer.

    Walau bagaimanapun, kesan perlindungan yang diberikan oleh kopi dan kafein ini belum disahkan oleh percubaan terkawal secara rawak.

    Baca juga:

    Minum kopi juga kurangkan penyakit Parkinson

    Penyakit Parkinson adalah sejenis gangguan kronik pada sistem saraf pusat. Ia dicirikan oleh kematian sel saraf di otak yang mengeluarkan dopamin dan penting untuk pergerakan otot.

    Penyakit Parkinson mempengaruhi pergerakan dan sering merangkumi gegaran. Tidak ada penawar yang diketahui untuk penyakit ini, yang menjadikan pencegahan terhadapnya sangatlah penting.

    Namun, ada kajian menunjukkan bahawa kopi dapat membantu mencegah penyakit ini.

    Satu kajian tinjauan yang besar melaporkan bahawa risiko penyakit Parkinson adalah 29% lebih rendah dalam kalangan mereka yang minum 3 cawan kopi setiap hari.

    Namun, pengambilan 5 cawan kopi kelihatan seperti tidak memberikan lebih banyak faedah berbanding 3 cawan kopi.

    minum kopi

    Ia menunjukkan bahawa lebih banyak jumlah kopi yang diminum tidak semestinya memberikan kesan yang lebih baik.

    Kafein dalam kopi merupakan bahan aktif yang bertanggungjawab memberikan kesan perlindungan ini.

    Jadi, perlukah saya meminum kopi?

    Jika diminum dengan kadar yang sederhana, ia boleh memberikan beberapa manfaat terhadap kesihatan anda.

    Bagi tempoh jangka masa pendek, kopi boleh membantu anda untuk memperbaiki emosi, pembelajaran dan kewaspadaan.

    Untuk tempoh jangka masa panjang pula, ia boleh melindungi atau mengurangkan risiko otak untuk mendapat gangguan berkaitan minda seperti Parkinson dan Alzheimer.

    Oleh itu, minum kopi mungkin boleh memberikan manfaat yang banyak kepada warga emas seperti datuk dan nenek anda untuk perkembangan otak mereka. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan