Memori yang melibatkan perkara seperti pengetahuan am dan pengalaman pula disimpan pada struktur bahagian lobus temporal tengah (medial temporal lobe). Memori ini digelar sebagai memori deklaratif memandangkan ia melibatkan memori semantik dan episodik (pengalaman, ingatan berkenaan sesuatu peristiwa). Mereka yang mengalami hilang ingatan mempunyai kerosakan pada struktur ini.
Walaupun pada suatu ketika dahulu, definisi bagi memori deklaratif sering dikaitkan dengan sesuatu yang mesti dipelajari secara aktif dan memori bukan deklaratif kebiasaannya dipelajari secara separuh sedar, tetapi ia adalah tidak tepat. Definisi itu merupakan satu bentuk ringkasan yang tidak menggambarkan fungsi sebenar.
Sebagai contoh, memori peristiwa yang melibatkan emosi seperti kematian orang tersayang, kemalangan dan sebagainya tidak dipelajari secara aktif. Ia merupakan komponen memori deklaratif. Pergerakan individu yang melibatkan aspek kecekapan seperti menunggang basikal, mempelajari sesuatu sukan dan bermain alat muzik, perlu dipelajari secara aktif. Ini merupakan komponen memori bukan deklaratif.
Pelbagai jenis faktor boleh mempengaruhi memori namun dalam artikel ini, kita akan memberikan keutamaan kepada masa dalam seharian. Sebelum itu, mari kita kenal dengan komponen memori yang lain dahulu.
Memori jangka pendek (short term memory, STM) dan memori jangka masa panjang (long term memory, LTM)

Ini merupakan komponen kognitif yang penting buat setiap individu. Menurut William James, bapa psikologi, memori jangka pendek akan mengawal atur maklumat secara sedar dalam masa beberapa saat setelah stimuli berkenaan dengan maklumat tersebut hilang dari pandangan mata. Manakala memori jangka masa panjang pula bergantung kepada pengalaman atau peristiwa lepas.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen