Hari Alzheimer Sedunia- 21 September
Sempena Hari Alzheimer Sedunia yang disambut pada 21 September, kami di Hello Doktor berpeluang menemubual seorang penjaga profesional daripada penyedia penjagaan warga emas di rumah iaitu Homage bagi mendapatkan maklumat berkenaan situasi semasa dan cabaran penjagaan warga emas yang menghidap Alzheimer. Ikuti kupasan berkenaan hal ini melalui penulisan di bawah.

Hello Doktor: Apakah cabaran terbesar dalam menjaga pesakit AD?
Andrea: Individu yang mempunyai penyakit Alzheimer akan mengalami kehilangan memori. Mereka ini akan mudah resah dan mula berkeliaran serta akan menjadi lebih agresif. Selain itu, mereka juga akan sentiasa mengucapkan sesuatu dan melakukan sesuatu secara berulang-ulang.
Golongan ini juga sering memerlukan bantuan bagi mengendalikan rutin harian seperti mandi, memakai pakaian, makan dan menggunakan tandas. Sesuatu aktiviti yang mudah untuk kita lakukan akan menjadi sesuatu yang sukar bagi penghidap Alzheimer. Walaupun ini tidak terus terjadi, namun ia akan berlaku seiring dengan masa dan lambat-laun mereka akan kehilangan keupayaan untuk menjaga diri sendiri.
Apabila ahli keluarga mendapatkan bantuan daripada Homage, pada awalnya, ia menjadi satu tugas yang sukar untukmembantu penghidap Alzheimer membiasakan diri dengan kami. Mereka cenderung untuk berasa hilang harapan dengan kehilangan privasi mereka. Justeru, kami akan memastikan wujudnya hubungan yang selesa antara penghidap Alzheimer dan profesional penjagaan kami bagi mendapatkan kepercayaan mereka. Ini biasanya dicapai melalui lawatan secara kerap dan berinteraksi dengan penghidap Alzheimer.
Kesilapan penjagaan pesakit Alzheimer
Hello Doktor: Apakah kesilapan yang biasa dilakukan oleh individu yang menjaga pesakit Alzheimer, terutamanya bagi mereka yang tidak menggunakan perkhidmatan penjagaan profesional dan memilih untuk melakukannya secara sendiri?
Andrea: Kesalahan umum yang dilakukan oleh keluarga dalam penjagaan pesakit Alzheimer biasanya adalah tidak mendapatkan rawatan atau nasihat yang betul semasa peringkat Alzheimer yang berlainan. Ahli keluarga cenderung untuk mengabaikan tanda-tanda dan simptom yang dialami oleh ahli keluarga mereka yang mempunyai Alzheimer. Ahli keluarga juga cenderung untuk memberikan pendapat mereka atau rawatan mereka sendiri selain gagal untuk melihat bahawa rawatan segera daripada penjagaan kesihatan profesional adalah lebih penting. Sesetengah keluarga juga perlu mendidik diri mereka mengenai pelbagai jenis rawatan atau ubat-ubatan yang telah ditetapkan, termasuklah amalan gaya hidup yang dapat memperlahankan perkembangan penyakit tersebut. Penyelesaian yang baik adalah dengan cara mengupah jururawat terlatih untuk datang dan menjaga warga emas yang menghidap Alzheimer.