Pernahkah anda mendengar mengenai beras sumo? Beras yang agak terkenal ini sebenarnya mempunyai beberapa kualiti dan khasiat yang lebih baik berbanding beras biasa. Ketahui beberapa maklumat penting berkenaan jenis beras ini, khasiatnya serta cara masak beras sumo di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Apakah itu beras sumo?
Beras ini dikenali dengan nama tersebut disebabkan jenama atau pembungkusan pek beras tersebut yang memaparkan kartun penggusti sumo yang sinonim dengan negara Jepun.
Namun tahukah anda, nama sebenar bagi jenis beras ini ialah beras Calrose dan ia bukanlah berasal dari Jepun!
Beras Calrose sebenarnya dihasilkan di Rice Experiment Station yang dikendalikan oleh California Cooperative Rice Research Foundation.
Ia mula diperkenalkan untuk ditanam oleh peladang di California pada tahun 1948 dan berkembang menjadi antara jenis bijirin popular di sana.
Perkataan ‘Cal’ merujuk kepada California dan ‘rose’ pula bermaksud jenis beras tersebut yang bersaiz sederhana.
Pada hari ini, 85% daripada pengeluaran beras California adalah terdiri daripada beras Calrose.
Jenis beras Calrose
Terdapat dua jenis beras Calrose yang boleh didapati di pasaran iaitu beras bersaiz sederhana dan bersaiz pendek.
Di California, jenis yang paling banyak ditanam ialah jenis yang bersaiz sederhana.
Ia juga merupakan jenis beras yang paling banyak dimakan di negara-negara sekitar Kepulauan Pasifik.
Bagi jenis bersaiz pendek pula, ia lebih popular di Jepun dan dikenali sebagai Japonica style.
Jenis ini lebih pendek dan agak bulat, menjadikan ia beras yang amat sesuai digunakan dalam pembuatan sushi.
Khasiat beras Calrose
Sebenarnya, beras Calrose ini mempunyai beberapa kualiti dan khasiat menarik berbanding jenis beras yang lain.
Antaranya ialah tiada kandungan lemak. Satu hidangan beras ini iaitu sekitar satu suku cawan tidak mengandungi sebarang kandungan lemak (0 gram).
Selain itu, jenis beras ini juga boleh dikatakan agak rendah kalori. Ini kerana, satu hidangan beras ini hanya mengandungi sekitar 150 kalori.
Jumlah ini lebih rendah berbanding kalori daripada beras jenis lain.
Bukan itu sahaja, walaupun beras ini agak tinggi kandungan karbohidrat, namun ia tidak mempunyai tekstur yang kenyal seperti beras pulut.
Malah ia masih lagi lembut untuk dimakan walaupun sudah sejuk.
Hidangan apakah yang sesuai menggunakan beras ini?
Beras Calrose atau sumo ini adalah jenis beras bersaiz sederhana.
Apabila anda memasak nasi dengan menggunakan beras ini, nasi akan menjadi sedikit lembut dan juga melekit.
Oleh sebab itu, beras ini amat sesuai untuk sebarang hidangan yang boleh dibentuk seperti sushi, sup atau bersama salad.
Beras Calrose juga mempunyai rasa yang sangat lembut. Ini bermakna, ia boleh menyerap sebarang bahan atau rasa yang lebih kuat seperti herba, rempah dan sebagainya dengan baik.
Cara masak beras sumo
Jika anda mahu memasak beras Calrose ini seperti menanak nasi putih biasa yang lain, anda boleh mencuba kaedah ini:
- Ambil setengah cawan beras Calrose dan basuh berulang kali dengan air sehingga air basuhan beras menjadi jernih. Ini bertujuan untuk menyingkirkan lebihan kanji agar nasi tidak menjadi terlalu melekit.
- Masukkan beras ke dalam periuk dan masukkan bersama ¾ cawan air.
- Masak nasi seperti biasa dengan menggunakan periuk elektrik.
- Jika anda menggunakan periuk dapur gas, buka api yang kuat terlebih dahulu sehingga air beras mendidih.
- Kemudian, tutup periuk dan kecilkan api agar nasi tidak hangit. Biarkan nasi masak selama 20 minit.
- Setelah siap, tutup api dapur dan biarkan ia seketika selama 10 minit (tanpa membuka penutup periuk). Ini bertujuan untuk membiarkan proses stim menanak nasi tanpa api.
- Setelah itu, buka penutup periuk dan gemburkan nasi dengan menggunakan sudu atau senduk.
- Sedia untuk dimakan.
Kini anda telah tahu cara masak beras sumo di rumah. Ia boleh dikatakan hampir sama sahaja dengan kaedah memasak nasi biasa dan tidaklah sesukar mana.
Ambil perhatian mengenai hal ini!
Beras sumo ini berkemungkinan tidak boleh dimakan dengan kerap terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis.
Ini kerana, seperti jenis beras yang lain, beras Calrose juga tinggi dengan kandungan karbohidrat atau gula.
Ia boleh menaikkan paras gula darah pesakit kencing manis jika dimakan selalu.
Selain itu, beras Calrose juga kurang kandungan serat pemakanan, vitamin A, vitamin C, kalsium dan juga zat besi.
Namun, beras ini juga sangat rendah kandungan kolesterol dan ia merupakan sumber makanan yang baik untuk mereka yang sedang berdiet kolesterol.
[embed-health-tool-bmi]